Perkongsian kisah seram pada kali ini dihantar oleh Lana (bukan nama sebenar). Ia berkisahkan mata batin Lana yang melihat perkara-perkara mistik yang sukar untuk dipercayai. Penceritaan yang baik dan mudah faham cerita yang disampaikan oleh Lana. Tanpa membuang masa, lets jump into the story.
Aku Lana – Mata Batin
Aku bersiap seadanya bila kak long mempelawa balik ke kampung suaminya di kawasan pedalaman. Masa cepat berlalu, akhirnya kak long berkahwin dengan seorang pemuda tempatan. Sebahagian kaum kerabat suaminya masih mengamalkan kepercayaan animisme dan percaya kepada alam semesta, namun sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam dan Kristian. Sebahagian besar daripada mereka telah berhijrah ke kawasan bandar termasuk ahli keluarga abang iparku.
Kami berangkat awal pagi ditemani kak Ana, kakak ipar kak long. Hanya dia yang masih arif untuk pergi ke perkampungan mereka. Dari rumah kami berangkat, jalan berkawah dan berlubang besar memperlahankan perjalanan kami. Kereta Ford Rangers itu bergerak perlahan menuju ke pekan. Dari jeti pekan, kami akan mengambil bot untuk pergi ke perkampungan mereka di sana. “Nanti dalam perjalanan atau sampai sahaja di kampung, jikalau ternampak sesuatu yang pelik dan aneh, jangan tegur ya.” Kak Ana berpesan kepada kami.
“Lagi-lagi awak Lana orang luar. Kak long kamu mungkin terhindar sebab laki dia berasal dari sana. Lana buat tak tahu saja apa yang berlaku ya. Tapi jangan risau, takda apa-apa akan berlaku. Cuma kebiasaannya bila ada orang luar datang macam Lana mungkin Lana akan nampak sesuatu yang pelik, abaikan saja,” pinta kak Ana sambil senyum, menenangkan hatiku. Aku mula risau dengan mata batin ku yang satu ni ternampak sesuatu.
Kami tiba di jeti pekan selepas 2 jam perjalanan. Bayu laut menyapa nyaman. Kiri kanan peraih ikan sibuk memunggah muatan tanpa menghiraukan kami. Ikan segar yang masih hidup melompat-lompat di dalam bakul. Di tepi bakul itu ada seorang budak berbaju lusuh melihat ke arah aku. Tepat memandang ku. Renungannya tajam tanpa senyuman. Sebelum meneruskan perjalan, kami sempat singgah di masjid berdekatan untuk mengerjakan solat jamak dan qasar.
“Lana, jom!!” jerit kak long. Pandangannku beralih ke kak long. Apabila melihat semula ke arah budak tadi, budak itu sudah menghilang. Rasa batinku melonjak ragu. ’Manusia ka?’. Ah sudah.. Masih awal sangat nak merasanya Lana. Aku dapat merasakan perjalanan kali ini pasti akan banyak ceritanya.
Di atas bot penambang, kami di temani pemandu arah. Kak Ana duduk santai di tengah bot. Kak long dan abang iparku lebih selesa duduk di bahagian belakang. Air tampak tenang di permukaan, cuma buih-buih dari kipas bot timbul berirama mengikuti larian bot laju itu. Secara tiba-tiba bot bergerak perlahan seperti mengelak sesuatu yang sedang menghalang perjalan kami.
“Banyak batu, bot kena jalan perlahan-lahan kawasan ni. Kalau tidak, karam kita nanti” Seloroh pemuda pengemudi bot. Aku ikut tersenyum. Gerakan perlahan itu, menampakkan jernih air laut bercampur dengan air sungai. Sungguh cantik!! Sedang asyik aku melihat permukaan air, terdapat gerakan halus di permukaan air yang menampakkan ikan-ikan berenang. Tapi ada yang pelik pada ikan itu. Ikan itu berenang tanpa isi. Melopong aku! “Jangan tegur”, kak Ana pantas mengingatkan. Pandangan mata kami bertembung. Nalurinya kuat.
“Ikan-ikan kat sini istimewa sikit,” Selorohnya sambil memuncungkan bibir ke arah ikan-ikan tanpa isi yang berenang ke arah batu-batu di laluan bot kami. Pemuda pengemudi tersebut senyum nipis. Zaman dulu masa zaman penjajah, orang-orang di sini terkenal dengan ilmu-ilmu pertahanan diri. Aku takjub dengan kuasa Allah yang menghidupkan dan mematikan. Semua atas izin-Nya.
Lebih kurang 5 jam perjalanan menggunakan bot, kami sampai ke daratan. Kawasan kampung yang aman dan tenang, dengan anak-anak kecil berlari-lari tidak seperti di bandar yang bising dengan deruan bunyi kenderaan. Pandangan mata penduduknya memusat tajam ke arah kami, namun pandangan tajam itu berubah ramah apabila kak Ana menyapa dalam bahasa etniknya. Dari situ, Atan remaja yang bertubuh kecil menanti dengan kereta Datsun lama. Dengan kereta itu, atan membawa kami ke destinasi yang berikutnya. Jauh rasanya perjalanan ini. Usai 20 minit perjalanan kami tiba di rumah yang di rencanakan.
Sebuah rumah papan yang agak besar pada pendapat aku, terdapat beberapa orang duduk yang berada di beranda rumah sambil minum air. Aku berpendapat yang mereka sedang minum air tapai. Terdapat beberapa biji gong terletak elok di atas lantai. Tuan rumah menegur kak Ana & abang iparku dan setelah itu kami berdua di perkenalkan. Makcik tuan rumah tersenyum simpul, namun matanya masih mengamati aku. Tangannya menepuk berulang kali lengan abang iparku. “Lama betul dia tiada ke sini. Dulu masa ke sini kecil betul budak ini” Dia ketawa kuat. Kami di beri bilik. Satu bilik kak long dan suaminya. Aku sebilik dengan kak Ana.
Aku lalu di depan pintu dan aku melihat satu keranda diletakkan di situ. Di sisi keranda tersebut terdapat seorang lelaki tua duduk sambil melihat sekeliling. Di tepi keranda itu ada sedulang minuman & kuih. Benakku mula kehairan dengan keranda yang selamba ada di depan pintu masuk rumah. Sampai di bilik,aku berehat dengan kak Ana. Aku bertanya pada kak Ana “Kak, tanya boleh? kenapa ada keranda dalam rumah?” perasaan ingin tahuku membuak-buak. “Keranda orang meninggal. Dalam tu ada jasad mendiang pakcik kami,” jawab kak Ana. Aku melopong. Kak Ana rasa kelakar melihat reaksi aku pada ketika itu. Dia menjelaskan, “sudah menjadi adat mereka di situ menyimpan jasad orang telah mati beberapa hari sambil menunggu saudara-mara datang untuk melihat jasad buat kali terakhir. Jasad itu juga dijamukan dengan makanan.” “Jadi kopi tadi?” aku bertanya lagi. Kak Ana mengiakan pertanyaan aku itu.
“Orang di sini, kepercayaan mereka dengan alam, semangat & roh sangat kuat. Mereka mempercayai semangat dan roh masih berlegar-legar di rumah itu setelah mati. Pakcik yang Lana nampak tadi, dialah mendiang pakcik kami. Sebab itulah tujuan itu lah kita ke sini,” kak Ana memberikan penjelasan. Sekali lagi aku terkejut dengan penjelasan kak Ana. Bermakna kak Ana juga ada mata batin terbuka.
Di bilik sebelah, kak long dan suaminya berehat keletihan kesan perjalanan yang jauh. “Letih saya abang, jauh perjalanan ke kampung halaman abang,” ngomel kak long pada suaminya. “Lama abang tak ke sini, kali terakhir datang ke sini masih kanak-kanak dengan arwah mak.” kata abang iparku. Memang lama dia tidak ke situ. Dulu dia datang masa masih lagi budak-budak nakal. Dalam berbual, terdengar perlahan bunyi berdesing dari luar kelambu. Cahaya pelita yang malap menyukarkan pandangan. Bob, suami kak long menyelinap keluar kelambu melihat-lihat. Satu gerakan pantas bergerak berputar sekeliling kelambu. Bob pantas mencapai kayu di samping. Tiba-tiba kak long menjerit kuat..
“Abang!!!!!!!!!! ada tangan…” kak long menjerit. Bob dengan segera mendapatkan kak long yang duduk di tengah-tengah kelambu sambil menutup mata. Satu objek bergerak-gerak menjalar di lantai. Satu tangan sampai pergelangan tangan sahaja sedang menguis-nguis kain kelambu. Sambil jari jemari nya bergerak-gerak. Apakah objek itu?? Jari jemari itu mengacah Bob dan terbang di sekeliling nya. Makhluk apa ni? Tak dapat di terima akal. Pintu bilik di ketuk bertalu-talu. Tersembul muka Pak Bayau bila pintu di kuak. “Maaf, ada barang pakcik di sini. Sini kau, jangan ganggu mereka,” kata Pak Bayau. Tak semena-mena tangan tadi terbang ke arah Pak Bayau dan hinggap di bahu. “Kau janganlah kacau dorang, mau aku sakitkan kau. Jangan nakal dengan tetamu.” Pak Bayau masih bercakap dengan tangan itu. Tangan tadi masih lincah di bahu pak Bayau. “Makhluk apa ni pak Bayau.Tangan apa boleh bergerak ni.” tanya si Bob suami kak long. Pak Bayau tergelak menampakkan gigih merahnya terkena sirih “Siou, maaf si kecil ni memang nakal kalau nampak tetamu. Ini ibunya” kata Pak Bayau sambil mengambil satu tangan yang duduk diam dan di keluarkan dari kocek bajunya.
Tangan ibu dan anak pontianak yang di potong semasa memburu di hutan untuk kegunaan ilmu. Terkejut abang iparku. Menggigil satu malam kak long selepas diganggu begitu. Siangnya aku berjalan melihat sekeliling rumah. Pakcik sebelah keranda yang telah mati asyik melihat aku lalu mundar-mandir di situ. Aku pura-pura tidak melihat keberadaannya di situ walhal mati batin ini sudah lali melihat kelibatnya di situ. Bila agaknya dia akan di kebumikan? Kami di jemput ke rumah sebelah.Kak long masih lemah lutut mengingatkan kejadian semalam. Jemputan yang tak boleh diabaikan kata Kak Ana. “Tak balik kita nanti,” tambah kak Ana. Jemputan jenis apakah ini?
Sampai je di rumah jiran kami di pelawa naik dan duduk. Baru nak duduk, tak semena-mena tempat untuk kami duduk di simbah air. Kak Ana senyum saja seraya duduk di kawasan yang basah. Di ikuti oleh abang iparku. Kak Ana memberi isyarat mata agar kami duduk jugak. Perasaan hairan yang menerjah aku abaikan. Aku lihat kak long berkerut dahi. Abang iparku nampaknya lebih bersedia. Kami dijamukan dengan hidangan sederhana. Mata mereka memusat memandang kami. Mereka bertanya sesuatu kepada kak Ana dalam bahasa etnik. “Anak sapa ?” “Adikku yang lelaki, anak mak Ena. Tinggal di bandar” Jelas kak Ana. “Itu bininya dan adik bininya” perkenal kak Ana lagi berhati-hati. Mereka saling memerhati sambil memandang kami silih berganti. “Ohh, anaknya mak Ena. Orang asal sini.” Kata tok batin mengangguk kepala. Namun matanya masih mengamati raut wajah di hadapannya. Matanya lama menyinggah melihat aku sambil mencicip air kopi. Rumah itu, walau mata batin ku terlindung, terasa ada aura dan kuasa yang berat dan kuat. Satu bilik di balik dinding, ada yang mengintai mengikut perasaanku. Kali ni mata batin ku tak mampu menembusi apa-apa, terasa ada benteng melindungi.
“Kami balik dulu tok” kak Ana meminta izin. “Mmm…” desisnya sambil masih melihat aku. “Balik cepat, dia menarik yang di darat dan di laut untuk dekat. Kabarnya sudah sampai hutan gua belakang. Semangat-semangat nenek moyang terbangkit, ada yang jahat ingin meraih” Tiba-tiba tok batin bersuara. Nada suaranya ditujukan kepada aku. Kami tersentak. Terasa muka kak Ana memucat cuak dengan kata-kata tok batin yang baru didengarinya tadi.
“Semangat kamu digemari semangat-semangat hutan. Tu di dalam juga tidak mampu keluar, kuat. Tok risau sukma kamu diraih. Mereka berdua inda ku risau, segala semangat kenal Mak Ena, mereka gentar. Balik jangan bertangguh,” tambah tok batin. Mendengar pesanan tok batin itu, tergesa-gesa kak Ana mengajak kami pulang ke rumah sebelah. Terasa kak long juga memucat. Cuma abang ipar saja masih dalam keadaan tenang.
Semasa bersalam dengan abang ipar, sekali lagi tok batin berkata “Kamu mewarisi semangat ibu kamu. Mereka masih takut untuk mendekati mu. Lindungi mereka, terutama sekali adik isteri mu itu. “Abang ipar mengangguk faham. Serasa abang ipar juga tidak kosong, sebab itu dia masih mampu bertenang dalam situasi begini. Di rumah, abang ipar mengarahkan kami bersiap mengemaskan beg, petang ni jugak kami akan bertolak pulang ke bandar. “Kenapa abang, ada sesuatu ka abang,” tanya kak long kepada suaminya. “Nanti abang jelaskan. Sekarang berkemas dulu” mata suaminya melilau ke kiri ke kanan memerhatikan keadaan sekeliling. ’Mereka‘ semakin hampir, desis hatinya.
Di bilik sebelah, aku dan Kak Ana juga ligat berkemas. Kak Ana lebih banyak berdiam diri. Firasatnya berkecamuk, mengamati desiran suara dari luar. “Apapun yang Lana rasa dan lihat nanti, bertahan dan sedar saja ya,” kak Ana berkata kepadaku. “Ada sesuatu ka kak Ana? kenapa kita bergegas?” tanyaku pada kak Ana. Pucat dimuka kak Ana masih boleh dilihat oleh ku. “Di sini masih kuat amalan mempercayai alam-alam dan semangat roh. Di sini jugak masih kurang menerima orang luar. Sudah berapa kali kamu diuji sejak tiba di sini kan, tapi masih tak takut. Ada yang tak senang. Semangat diri Lana yang kuat, baunya di hidu sampai ke hutan gua belakang. Pengamal ilmu hitam, berkehendak sukma kamu untuk digunakan.”
Atan membenarkan kereta Datsun lamanya digunakan oleh kami untuk sampai ke jeti. Abang long memandu perlahan dalam rembang suasana petang yang aman damai. Kak long kelihatan muka berkerut di sebelah. Kak Ana hanya diam sambil menundukkan muka. Kiri dan kanan kulihat angin bertiup mulai kencang. Pokok mulai terliuk-liuk diterpa angin petang. Tiba-tiba mataku melihat seekor ular besar berlilit di satu batang pohon besar, kepalanya menghadap ke arah kereta. “Abang long..” panggilku. “Abaikan Lana, ilusi saja tu, abang long nampak jugak,” jawab abang long yang masih tenang memandu. Kak long kelihatan cuak.
Tiba-tiba terasa sesuatu yang berat menghempap atap kereta. ”Debbuummm..” kuat. Kereta bergoyang sekejap. Kak Ana kelihatan membuka matanya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Bayangan hitam besar muncul di hadapan kereta membuatkan abang long memandu terhoyong-hayang sekejap. Mata merah tepat memandang aku silih berganti dengan abang long dan kak Ana. Walaupun kak long tak ada mata batin untuk melihat sosok hitam itu,dia dapat merasakan kehadiran entiti lain.
“Serahkan dia padaku,” suara garau makhluk ghaib itu bergema. Tangan hitam makhluk itu cuba menembusi masuk melalui tingkap sebelah abang long. Pada masa yang sama makhluk itu berdialog, “dia wangi, aku mau dia. Arhhh..” Lalu bertempik abang iparku “aku tak mahu, setan, nyah kau sebelum aku robek jantungmu.” Abang long terus memandu laju kereta datsun lama kepunyaan Atan itu. Muka kak long pucat tiada darah apabila mendengar suaminya bertempik. Makhluk aneh itu hilang bila disergah oleh abang long. Laju kereta yang dipandu abang long meluncur, perjalanan yang sepatutnya memakan masa 20 minit terasa lama. Sepanjang perjalanan, kami masih diganggu. Pelbagai makhluk hodoh muncul silih berganti tanpa henti. Selama itu jugalah abang long akan bertempik memarahi makhluk-makhluk itu.
Setibanya kami di jeti, kami mencari pemilik bot penambang. Penghuni yang duduk di rumah sewaktu kami tiba sebelum itu duduk di anjung rumah. Kak Ana berhenti berbual seketika. Pandangan mataku jatuh melihat lantai rumah yang kayu lantainya di susun jarang-jarang. Terdapat sesuatu seperti ekor kecil terjulur keluar dari tempat lelaki separuh abad itu duduk. Bila dia berdiri kelihatan benjolan hampir pada bahagian punggung, terjulur keluar ekor kecil tadi. Nafasku mula kencang, manusia berekor? Apa yang sedang aku lihat ini adalah benar? Bahuku disenggol abang long. Beliau mengisyaratkan agar diam. Dia faham dengan pandangan mata batin ku. Seorang wanita agak berusia merenung muka ku dengan tajam.
“Ok marilah. Kunci kereta Atan sudah dititipkan, nanti dia ambil. Kita naik bot terakhir. Jom, sebelum malam berlabuh. Lagi banyak dihadapi nanti,” kata pemilik bot penambang itu. Di dalam bot masing-masing berdiam diri. Kejadian tadi masih terngiang-ngiang di dalam fikiranku, seolah-olah kami tidak dibenarkan pulang ke bandar. Bot yang di pandu juga terasa lambat, terasa lama untuk sampai ke jeti pekan.
Malam pun sudah berlabuh setibanya kami di jeti pekan. Perasaan penat yang teramat sangat menjalar di dalam tubuh kami. Malam itu kami menginap di homestay berdekatan jeti. Selepas mandi dan makan, kami berehat bersama di ruang tamu. Seribu satu persoalan yang ingin aku tanyakan. Kak Ana kelihatan lebih fresh dari sebelum nya. Malam itu kami berbual-bual panjang.
Bila dijelaskan rupanya ada yang kurang senang kehadiran ku sebagai orang luar. Ilmu-ilmu yang dihantar untuk menguji aku tidak berkesan. Orang sana tidak menyukai orang luar. Pegangan mereka masih kuat dengan ilmu ghaib iaitu ilmu hitam dan kepercayaan kepada semangat alam. Ada yang mengetahui mata batin ku terbuka, ada aura ku yang berguna untuk sesetengah yang mengamal ilmu hitam.
Sebab itu tok batin menasihatkan untuk pulang dengan kadar segera. Kak long kurang di kacau kerana mereka masih menghormati arwah mak mertuanya yang disengani di sana. Pengalaman yang pelik tapi benar, ikan tanpa isi masih berenang hidup, manusia berekor, tangan anak pontianak. Benda yang belum pernah aku jumpa selama mata batin ku ini terbuka. Malam itu kami tidur agak selesa, namun dari luar tingkap ada yang memerhati ingin masuk, namun terhalang. Abang long sudah bacakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai ayat pendinding. Dia tahu cerita takkan habis disitu.
Tamat.
Terima kasih kerana berkongsi kisah seram korang kat sini. Semoga kisah mata batin ini kita ambil sebagai tauladan. Bukan Semua orang faham dengan keadaan yang di harungi oleh Lana ini.