Negeri Sembilan memang sangat terkenal dengan keunikan makanannya. Yang paling ternama tentulah daging salai masak lemak cili api, kan? Tetapi terdapat satu restoran di Pedas Linggi yang menghidangkan lauk Salai sebagai speciality mereka iaitu Grobok Salai.
Terletak di Kampung Kundur Hulu, Pedas, anda pasti akan nampak dan tidak terlepas papan tanda restoran yang besar berwarna kuning. Selalunya, memang penuh di sini terutama sekali waktu makan tengah hari.
Namun, jika berkesempatan, pastikan anda datang awal untuk mendapatkan tempat letak kereta dan tempat makan. Restorannya simple tetapi luas dan mampu memuatkan ramai pelanggan.
Menu utama di sini tentulah daging salai masak lemak cili api, tetapi mereka juga menyediakan masakan masak lemak bersama isi berbeza seperti udang galah, puyuh, ikan, ayam dan paling istimewa, itik salai.
Makanan yang disajikan di sini boleh dikategorikan sebagai makanan tradisional orang Negeri Sembilan kerana cara masakan dan rasanya yang authentic. Di makan pula bersama nasi putih panas, sayuran pilihan anda, memang layan.
Kalau anda lebih berani, boleh juga tambah sambal belacan bersama hidangan pilihan anda. Masakan bergoreng, sambal dan berlada juga disediakan di sini.
Dengan suasana yang berangin, redup dan selesa, pengalaman makan di sini cukup seronok. Untuk menikmati hidangan masakan orang nogori yang sebenar, pastikan anda singgah ke Grobok Salai bila singgah ke Negeri Sembilan nanti.
Jangan lupa sediakan tisu ya, pedas memang menjadi ciri utama masakan orang Negeri Sembilan. Namun, tentu memuaskan.
Alamat: N9, Kampung Dato Abdul Samad, 71400 Pedas, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: 10am-5pm (Selasa-Ahad, tutup pada hari Isnin)