Bila masuk je cuti sekolah semua ibu bapa dah macam tak tahu apa aktiviti cuti sekolah yang menarik untuk anak-anak kan. Tak macam zaman dahulu, cuti sekolah penuh dengan aktiviti bersama rakan-rakan. Zaman sekarang yang penuh dengan pelbagai gadjet ni risau jugak kan kalau cuti anak-anak ni di habiskan dengan gadjet. Jadi kat sini aku kongsikan beberapa aktiviti cuti sekolah yang bermanfaat untuk anak-anak.
Aktiviti Cuti Yang Bermanfaat
Kem Motivasi
Kem Motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak diadakan. Kem Motivasi yang diadakan ini terdapat dalam banyak kategori. Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepimpinan, akademik dan pelbagai lagi. Pilihlah Kem Motivasi daripada penganjur yang dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda juga berpuas hati dengan hasilnya nanti.
Kem Ibadah
Ini juga merupakan aktiviti cuti sekolah yang baik untuk anak-anak. Kem Ibadah selalunya akan dipenuhi dengan aktiviti dan program yang berkaitan dengan hal-hal ibadat seperti teknik solat yang betul, memperbaiki bacaan Al-Quraan dan aktiviti pemantapan iman. Malahan kini juga ada kursus pendek cuti sekolah bagi melatih anak-anak untuk mempelajari teknik menghafal Al-Quraan. Mudah-mudahan perkara asas agama ini dapat membimbing anak-anak melayari kehidupan ini ke jalan yang benar.
Klinik Sukan
Bagi anak-anak yang meminati sukan pula serta berhajat untuk meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi, aku cadangkan anak-anak ni mengikuti Klinik Sukan. Klinik sukan memang banyak diadakan pada musim cuti sekolah, terutamanya bagi sukan-sukan popular seperti bola sepak, futsal, tenis, badminton, renang dan golf. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, bolehlah melantik jurulatih peribadi bagi sukan kegemaran anak masing-masing.
Belajar ICT
Penggunaan komputer pada masa sekarang adalah amat meluas dalam kalangan anak-anak. Sekiranya itu adalah minat mereka, maka cubalah didik mereka untuk menggunakannya dengan cara yang berfaedah. Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan kepada anak-anak. Mungkin dengan mengikuti kelas-kelas berikut membolehkan anak-anak mahir dalam menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.
Aktiviti Cuti Sekolah Yang Bermanfaat
Kursus Pendek Bahasa
Ini merupakan kursus yang bagus untuk anak-anak. Mempelajari bahasa tambahan dapat memberi kelebihan buat anak-anak. Bagi yang lemah menggunakan Bahasa Inggeris, boleh ambil kursus Bahasa Inggeris yang banyak diadakan. Antara bahasa asing lain yang dicadangkan adalah Bahasa Mandarin, Bahasa Arab, Bahasa Jepun dan lain-lain bahasa utama dunia.
Kemahiran Bertukang
Kemahiran bertukang juga merupakan aktiviti cuti sekolah yang menyeronokkan. Anak-anak boleh mulakan dengan menghasilkan bahan-bahan mudah yang berguna seperti rak buku dan alat tulis. Kemudiannya dengan pengawasan daripada ibu bapa, anak-anak boleh mula menghasilkan bahan yang lebih besar, seperti bangku, reban ayam dan sangkar burung.
Kraftangan dan Anyaman
Bagi anak-anak yang suka dengan kerja tangan, anak-anak bolehlah mencuba menghasilkan kraftangan atau pun menganyam. Kraftangan yang dihasilkan boleh terdiri daripada bahan kertas, plastik, besi dan juga bahan buangan. Boleh rujuk di dalam internet dan bahan bacaan bagaimana menghasilkan bahan kraftangan yang kreatif dan cantik.
Belajar Alat Muzik
Mempelajari penggunaan alat muzik juga merupakan aktiviti cuti sekolah yang menyeronokkan. Tambahan pula jika anak-anak merupakan penggemar muzik. Mula lah belajar dengan menggunakan teknik asas terlebih dahulu. Jika berminat, anak-anak boleh teruskan ke tahap yang lebih tinggi. Alat muzik yang dicadangkan adalah gitar, piano, biola dan seruling.
Belajar Berenang
Bagi anak-anak yang masih belum boleh berenang, aktiviti cuti sekolah ini adalah amat digalakkan. Tempoh sebulan sudah cukup untuk menjadikan anak-anak seorang perenang yang baik. Tak rugi jika sekiranya anak mempelajari kemahiran berenang. Malah jika berminat selepas ini, anak-anak boleh menjadikannya aktiviti riadah yang rutin.
Belajar Memasak
Bagi anak-anak perempuan, ini lah masa untuk belajar memasak terutamanya jika anda tinggal di asrama. Bermula lah dengan menolong ibu di dapur dengan masakan yang biasa dimasak oleh ibu. Jika berminat, teruskan lagi dengan mempelajari masakan dari buku resepi atau dari internet. Cuba juga belajar memasak jenis-jenis kek seperti kek keju, kek cawan dan sebagainya. Tentu lebih menarik kan?
Belajar Menari
Ini juga adalah satu aktiviti cuti sekolah yang menarik. Anak-anak boleh peruntukkan masa cuti sekolah ini dengan belajar menari. Terpulang kepada anak-anak untuk mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional. Sekurang-kurangnya, anak-anak telah menambah satu lagi kelebihan kepada diri anak-anak. Selain daripada tarian yang disebutkan tadi, mungkin anak-anak juga boleh cuba Zumba, aerobik atau tarian kecergasan lain.mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional
Berkebun
Berkebun juga antara aktiviti cuti sekolah menyeronokkan. anak-anak boleh memilih sama ada untuk menanam pokok hiasan di sekitar rumah atau menanam sayur. Sekurang-kurangnya dapat juga sayur tadi digunakan untuk makan sendiri atau pun boleh dijual. Jika berkebun bagi tujuan untuk makan atau dijual, pilihlah daripada jenis yang cepat membesar dan memerlukan tempoh yang singkat untuk mengeluarkan hasil. Sempat juga anak-anak merasa hasilnya sebelum kembali ke sekolah.
Melancong
Bagi anak-anak dari keluarga yang berkemampuan, keluarlah pergi bercuti dengan keluarga. Aktiviti cuti sekolah ini memang sangat menyeronokkan dan juga dapat membuka minda anak-anak. Selain daripada mengeratkan hubungan kekeluargaan, aktiviti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman anak. Antara pilihan yang baik untuk melancong adalah tempat-tempat bersejarah, tempat menarik, taman tema, pusat pelancongan dan tempat yang belum dilawati.
Sukan Ekstrem
Ada juga dalam kalangan anak-anak yang meminati sukan ekstrem. Jadi apakata gunakan masa cuti sekolah ini untuk mengasah lagi bakat anak-anak dalam sukan ini. Anak-anak boleh dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang ini. Tapi ingat! Utamakan keselamatan anda sepanjang menyertai aktiviti lasak ini dengan memakai peralatan dan pakaian yang sesuai.
Bekerja Sambilan
Ini juga merupakan aktiviti cuti sekolah yang menarik dan bermanfaat yang boleh dilakukan semasa cuti sekolah. Bagi anak-anak yang berminat mencari duit poket, ini lah masa yang paling sesuai. Pastikan kerja yang dilakukan adalah selamat dan tidak menyalahi undang-undang. Ada kerja sambilan yang boleh dijalankan dari rumah dan ada juga yang di luar. Dapatkan kebenaran ibubapa terlebih dahulu. Jika niat dan tujuan anak-anak betul, inshaAllah ibubapa tak akan keberatan untuk membenarkan anak-anak bekerja sambilan semasa cuti sekolah ini.
Membantu Datuk dan Nenek di Kampung
Aktiviti cuti sekolah menyeronokkan ini lebih bersifat kekeluargaan, namun ada banyak kebaikan dan manfaatnya. Bagi yang masih mempunyai datuk dan nenek di kampung, ini adalah masa terbaik bagi membolehkan anak-anak mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Cara hidup dan didikan di kampung dah tentu jauh beza dengan kehidupan bersama ibubapa di bandar. Banyak yang akan diperolehi, terutamanya hal-hal dalam melayani orang tua.
Menolong Ibu Bapa di Rumah
anak-anak yang hanya berada di rumah, boleh juga membantu ibubapa ketika mereka keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci pakaian, menyapu sampah, memasak, melipat pakaian dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya kehadiran anak-anak di rumah sepanjang cuti dapatlah juga membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibubapa. Masa untuk berbakti.
Melakukan Kerja Amal
Selain daripada membantu ibu bapa, aktiviti cuti sekolah yang bermanfaat lain adalah, anak-anak juga boleh melakukan kerja amal. Tak perlu memikirkan dan menggerakkan satu kerja amal yang baru. Cukup lah sekadar mencurahkan bakti kepada badan amal kebajikan yang anak tahu. Ajak juga rakan-rakan bagi memeriahkan lagi aktiviti. Banyak kerja amal yang boleh dilakukan seperti membersihkan kawasan masjid dan kawasan perkuburan. Sertai juga badan kebajikan yang membantu memberi makanan kepada gelandangan. Rumah orang tua juga menarik untuk dijadikan tempat untuk kerja amal.
Baca Novel / Buku Ilmiah
Bagi anak-anak yang berminat dengan membaca buku, boleh juga meneruskan minat dengan membaca novel atau pun buku ilmiah. Pilih lah daripada senarai novel-novel berkualiti tinggi, supaya anak-anak dapat juga mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini. Sekurang-kurangnya anak-anak akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan baru yang berguna.
Ulangkaji Mata Pelajaran Untuk Persediaan Tahun Hadapan
Mungkin ini adalah cadangan aktiviti cuti sekolah yang paling akhir saya utarakan, namun ada manfaat dan juga kelebihannya. Sekalipun mungkin agak membosankan kepada anak-anak, namun persediaan untuk tahun depan adalah amat penting. Apatah lagi jika pada tahun depan, anak-anak bakal berhadapan dengan PBSMR atau pun SPM. Maka sebaiknya, ambil sedikit masa untuk merancang apa yang akan anak-anak lakukan untuk tahun hadapan.
Itu lah antara aktiviti cuti sekolah yang bermanfaat yang boleh dilakukan oleh anak-anak semasa cuti. Kita sebagai ibu dan bapa perlu lah memainkan peranan ketika anak-anak sedang melalui cuti persekolahan. Wujudkanlah aktiviti yang berfaedah kepada mereka supaya mereka tidak mengadap gajet 24 jam.