Camping Cameron Highland kini tular dan menjadi tumpuan ramai kaki camping. Sememangnya berkhemah di Cameron Highland memberikan suasana yang berbeza berbanding di tempat lain. Salah satu perbezaannya semestinya suhu dan cuaca.
Kini, makin banyak tempat camping Cameron Highland diwujudkan dan setiap tempat mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri. Walaupun begitu, jika lambat ditempah, pasti tapak campsite tersebut penuh dengan pengunjung lain.
Buat mereka yang baru menceburkan diri dalam aktiviti perkhemahan dan ingin berkhemah di Tanah Tinggi Cameron, kami sertakan lokasi perkhemahan yang ada di sini!
Stellar Golden Hill Cameron
Stellar Golden Hill Cameron merupakan antara lokasi perkhemahan terkenal di sini. Selain berkhemah, tempat ini terkenal dengan konsep glamping dan caravan, dimana pengunjung tidak perlu bersusah payah membawa peralatan berkhemah dan memacak khemah kerana kesemuanya telah tersedia.
Bagi yang mahu pengalaman unik, apa kata memilih untuk menginap di caravan yang jarang dijumpai di tempat lain. Di sini, ada beberapa caravan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk katil, dapur dan ruang bersantai.
Ramai yang memuji keindahan apabila berada di Stellar Goldin Hill Cameron. Kawasan sangat bersih, luas dan cantik. Antara kemudahan awam yang disediakan adalah tandas, kafe, heater, hair dryer dan lain-lain.
Lokasi: Lot 13, Jalan Golden Hills 9, Tanah Rata, 39000 Tanah Rata, Pahang
One Ground at Golden Hills Cameron Highlands
Satu lagi lokasi perkhemahan menarik yang berada di Golden Hills adalah One Ground. Terdapat 15 tapak perkhemahan tersedia dengan luas dan selesa. Setiap pakej juga termasuk sarapan.
Harga plot serendah RM 150 untuk hari minggu dimana setiap plot tertakhluk untuk tiga orang sahaja. Lebih banyak plot yang anda ambil, lebih berbaloi dengan diskaun yang diberi. Bukan itu sahaja, setiap penginapan untuk tiga hari dua malam akan mendapat tambahan penginapan untuk satu malam lagi dengan percuma.
Banyak kemudahan terdapat di sini yang dapat membuatkan pengunjung selesa seperti tandas, kafe, drinking water dispenser, tempat mengecas, pembekalan tenaga yang kuat dan lain-lain. Paling penting, ada parkir persendirian dan mempunyai pengawasan 24 jam.
Lokasi: Jalan Golden Hills, Cameron Highland
Parit Falls Campsite
Nak berkhemah di tengah-tengah alam semulajadi dan dikelilingi tumbuhan menghijau? Parit Falls Campsite pasti dapat memenuhi citarasa perkhemahan anda kerana berdekatan sungai dan dikelilingi pokok. Untuk pengetahuan anda, tapak perkhemahan ini berada di Taman Eko Rimba Parit Falls.
Ramai yang ke sini untuk merasai konsep perkhemahan sebenar. Di sini, setiap tapak perkhemahan dilengkapi sinki, plug point dan pit barbeku. Banyak kemudahan awam disediakan termasuk bilik mandi yang dilengkapi water heater, surau, peti ais dan tempat berteduh.
Lebih banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti hiking dan trekking ke Kg Taman Sedia mahupun Kem Sungai Pauh. Selain itu, anda boleh bermandi-manda, berkelah dan ootd di sungai terdekat.
Lokasi: Taman Eko Rimba Parit Falls, Cameron Highland
The Backyard Glamping
Ada peminat glamping Cameron Highland? The Backyard Glamping antara pilihan menarik dan berbaloi untuk anda berkhemah dengan santai, mudah dan menyeronokkan. Tapak perkhemahan ini dimiliki oleh pemilik Muslim sepenuhnya dan berada di lokasi yang strategik.
Beberapa kemudahan asas disediakan dengan selesa seperti tandas dan bilik mandi yang dilengkapi dengan pemanas air, dapur yang dilengkapi peralatan memasak serta wifi. Kadar penginapan bermula RM 150 tertakhluk pada waktu yang anda ingin kunjungi.
Menariknya di sini, penginap dapat menikmati pengalaman mengutip sayur sendiri. Bagitahu sahaja pemilik tempat ini dan penginap akan memperoleh bakul dan boleh memetik sebanyak mana yang dimahukan.
Lokasi: Jalan Taman Sedia, Tanah Rata, 39000 Pahang
Kem Site Sungai Pauh
Tempat camping Cameron Highland yang susah untuk didapati ekoran terlampau ramai kaki camping yang ingin berkhemah di sini adalah Kem Site Sungai Pauh. Ramai yang ingin berkhemah di sini memandangkan suasananya berbeza iaitu berada dikelilingi alam semula jadi serta harga yang murah. Jika anda berpeluang, anda memang bertuah!
Tapak perkhemahan ini berada di Taman Eko Rimba Sg Pauh. Walaupun berada dikelilingi alam semulajadi, namun lebih banyak kemudahan disediakan termasuk parkir, tandas dan bilik mandi, sinki, surau, wakaf, pit barbeku dan plug point.
Waktu daftar masuk bermula 2.00 petang namun anda digalakkan untuk datang awal jika mahu tapak berkhemah yang selesa dan strategik. Hanya 25 tapak perkhemahan tersedia dan ada chalet rumah Hobbit dalam pembinaan buat masa ini dan dijangka siap dalam waktu terdekat.
Lokasi: Tanah Rata
Glamz Hills
Ada lagi pecinta glamping di kalangan anda? Lagi satu port yang pasti memberikan pengalaman indah glamping adalah Glamz Hills. Tapaknya tidak luas tetapi cukup selesa untuk glamping dengan privasi.
Khemah glamping juga terhad dengan lapan buah khemah sahaja yang berbentuk dome. Khemah glamping terbahagi kepada dua jenis iaitu Double Room yang sesuai untuk dua dewasa manakala Family Room memuatkan empat dewasa.
Setiap tapak glamping mempunyai tandas persendirian yang berada di luar khemah dan dilengkapi dengan water heater, sabun, syampu, set berus gigi dan tuala. Dalam khemah pula sudah tersedia bantal dan tilam, bean back dan hammock, air botol dan cerek serta kopi 3 in 1. Tempat memang cantik dan memukau. Kemudahan yang ada sesuai dengan harga penginapannya.
Lokasi: The Retreat, Parking B3C/B3D Jalan Aranda Nova, Greencow, Cameron Highland
Azam’s Orange Farm Campsite
Setakat ini, Azam’s Orange Farm Campsite hanya dibuka pada hujung minggu sahaja bermula Jumaat, namun kadangkala dibuka pada hari biasa. Sebarang maklumat, anda boleh melayari laman Facebook Azam’s Orang Farm Campsite. Waktu daftar masuk bermula 4.00 petang dan daftar keluar pada 6.00 petang.
Satu kelebihan di sini adalah tapak perkhemahan berada di dalam kawasan kebun limau. Penginap dibenarkan memetik dan makan limau secara percuma hanya di dalam kebun. Jika di tempat lain ada aktiviti memetik sayur dan strawberi, di sini anda dapat memetik limau yang segar!
Lokasi tapak perkhemahan tinggi. Sepanjang laluan untuk ke sini, anda akan menempuhi ladang teh yang cantik dan luas. Berada di tempat tinggi membolehkan anda menikmati pemandangan yang lebih memukau.
Lokasi: GCH2+9Q, Brinchang, 39000 Pahang
Pine Valley Villa & Camper Site
Kelihatan kecil namun Pine Valley Villa & Camper Site mempunyai empat zon perkhemahan. Setiap zon dapat memuatkan 3 hingga 6 khemah bergantung kepada saiz khemah serta aksesori dan kemudahan tambahan.
Jika ada yang datang dengan keluarga besar atau rombongan, apa kata sewa sahaja villa di sini. Terdapat villa besar yang mempunyai empat jenis bilik untuk disewa dengan harga berbaloi iaitu serendah RM 90 untuk bilik Twin Pine. Lokasi villa dan tapak perkhemahan berdekatan dengan kedai makan dan cenderahati.
Lokasi: Lot 197, Tanah Rata, Pahang
Hola Campsite
Hola Campsite mempunyai dua tapak perkhemahan berbeza iaitu Hola 1.0 dan Hola 2.0. Harga setiap tapak perkhemahan dicas mengikut kepala. Pemilihan tapak adalah bebas dimana siapa yang sampai awal, boleh memilih tapak yang sesuai dan selesa.
Kedua-dua tapak menyediakan kemudahan tandas yang cantik dan bersih, sinki, parkir yang dekat serta mempunyai pengawasan. Kawasan memang bersih dan rata. Tempatnya juga strategik dan berhampiran dengan kedai. Mudah untuk pengunjung mendapatkan barang keperluan.
Lokasi: Lot 28A, Jalan Golden Hills, Taman Cameron Golden Hills, Cameron Highland
Zakka Campsite
Satu-satunya tapak perkhemahan yang berada dikelilingi dalam kawasan ladang teh dan berdekatan kilang teh semestinya Zakka Campsite. Suasana tempat ini sangat menenangkan serta cantik.
Terdapat empat zon perkhemahan yang ada dan setiap zon mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri. Kemudahan yang ada pasti memuaskan anda seperti tandas dan bilik mandi yang bersih dan cantik, surau untuk lelaki dan perempuan, plug point, parkir yang luas dan sebagainya.
Harga tapak perkhemahan di sini dicas mengikut kepala.Lebih lama anda menginap, lebih banyak diskaun yang anda perolehi.
Lokasi: Lot 32A, Jalan Habu, 39200 Ringlet, Pahang
A’Moss Farmstay
Tapak perkhemahan ini juga sangat terkenal di kalangan kaki camping. Terletak di Brinchang, tempat ini pernah tular dengan konsep glampingnya yang memukau hingga membuatkan tapak ini sering dipenuhi pengunjung setiap minggu.
A’Moss Farmstay berada dikelilingi kebun sayur. Bukan sahaja dalam gambar, anda pasti terkesima dan terpukau dengan permandangan dan keindahan sekeliling. Sesuai untuk kaki ootd kerana tempat yang sangat Instagrammable.
Hanya empat dome sahaja yang ada di sini iaitu tiga dome biasa yang mempunyai 1 katil queen serta 1 hammock dan satu dome yang lebih besar. Bukan itu sahaja, tandas dan bilik mandi disediakan dengan selesa dan tak perlu dikongsi dengan penginap yang lain.
Kemudahan yang ada termasuklah pantri kecil yang dilengkai chiller dan freezer serta kelengkapan memasak yang lain.
Lokasi: Amoss Road, Kampung Gerak Sepadu, 39000 Brinchang, Pahang
Hikers Paradise
Hikers Paradise pula tempat camping Cameron Highland dengan suasana kampung. Tapak perkhemahan berada berdekatan sungai yang tiada batu-batuan, bersih dan jernih, sesuai untuk membawa anak-anak mandi sungai.
Tandas disediakan memang bersih dan selesa. Untuk penggunaan plug point, pengunjung boleh menggunakannya di pondok terdekat dan dibenarkan menggunakannya bermula 7.00 petang hingga 12.00 tengah malam sahaja. Pada waktu ini juga, lampu dan generator dihidupkan.
Kadar sewaan dikenakan mengikut saiz khemah yang dibawa. Datang seawal yang boleh untuk mendapatkan tapak yang lebih selesa dan privasi.
Lokasi: Kg Tersusun Mawar Tepian Desa-Jalan Simpang Pulai-Lojing
Masjid Lojing Highlands Campsite
Tapak perkhemahan ini berada berdekatan dengan masjid. Tapak untuk berkhemah memang luas, bersih dan rata. Kemudahan yang ada termasuklah tandas dan sinki. Pengunjung boleh menyewa tapak mengikut keluasan yang diinginkan iaitu 10×15 dengan harga RM 35 manakala saiz 20×15 RM 60.
Berada di kawasan yang sedikit tinggi, di sini pengunjung juga dapat menikmati pemandangan yang memukau. Tempat yang sesuai jika ada yang ingin melihat matahari terbit dengan kabus yang tebal. Bukan sekadar berkhemah, pengunjung juga boleh hiking atau mendaki bukit dengan mendapatkan seorang tour guide.
Lokasi: Masjid Long Tan, Lojing
Memang seronok setiap tempat camping Cameron Highland. Satu kelebihan berkhemah di Tanah Tinggi Cameron ini semestinya suasana yang cantik dan sejuk. Tidak perlu membawa kipas untuk berkhemah. Senang cerita, nak berkhemah tanpa berpeluh menjalankan aktiviti tersebut datanglah berkhemah di sini.
Seperti yang anda lihat dan ketahui, setiap lokasi perkhemahan di atas memang mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri. Memang sukar untuk memilih lokasi yang sebaiknya kerana semuanya memukau.
Aktiviti berkhemah lebih seronok jika dilakukan bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Jom rancangnya sekarang. Selamat berkhemah!
Alang-alang berada di Cameron Highland, jom ke tempat menarik yang ada di sini seperti: