Cara sujud sahwi yang betul aku kongsikan dalam blog ni adalah panduan lengkap cara mengerjakannya beserta panduan video cara melakukan sujud sahwi. Aku harap perkongsian ini dapat membantu korang untuk melakukan sujud sahwi ini. Walaupun sujud sahwi ni merupakan perkara sunat, tetapi kita digalakkan untuk melakukannya jika terlupa beberapa perkara semasa melakukan solat.
Bila Kita Perlu Lakukan Sujud Sahwi?
Kita perlu lakukan sujud sahwi ini jika kita terlupa salah satu perkara seperti yang berikut:-
- Tertinggal rukun solat (kecuali niat dan takbiratul ihram)
- Ragu-ragu terhadap bilangan rakaat dalam solat
- Melakukan perbuatan yang dilarang dalam solat
- Melakukan rukun bukan pada tempatnya
- Meninggalkan Sunat Ab’adh
Cara Sujud Sahwi Yang Betul
Sujud sahwi ini dilakukan pada penghujung solat iaitu ketika kita sudah selesai mengerjakan tahiyat akhir di dalam solat. Walaupun sujud sahwi ini hanya perkara sunat, tetapi ia tergolong di dalam perkara sunat yang dituntut untuk dilakukan apabila kita terlupa lakukan perkara-perkara seperti yang di atas. Berikut merupakan langkah-langkah melakukan sujud sahwi.
Niat Sujud Sahwi
“Sahaja aku melakukan sujud sahwi” di baca sebelum melakukan sujud sahwi selepas selesai membaca tahiyat akhir di dalam solat.
Bacaan Ketika Dalam Sujud Sahwi Pertama
Selesai niat, kita hendaklah terus melakukan sujud seperti sujud biasa di dalam solat. Kemudian bacaan di dalam sujud sahwi di baca seperti berikut sebanyak 3 kali:-
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ
Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa”
Duduk Antara 2 Sujud Sahwi
Kemudian bangun daripada sujud dan duduk antara 2 sujud seperti solat biasa. Ketika ini korang boleh memilih untuk membaca bacaan seperti bacaan duduk antara 2 sujud ataupun korang boleh diam seketika beserta tamakninah (diam sebentar).
Bacaan Ketika Dalam Sujud Sahwi Kedua
Sama seperti sujud sahwi yang pertama, bacaan sujud sahwi di baca sebanyak 3 kali:-
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ
Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa”
Duduk Tahiyat Akhir Sebelum Memberi Salam
Kemudian bangun daripada sujud sahwi yang kedua dan duduk seperti duduk tahiyat akhir. Kemudian berikan salam pertama seperti dalam rukun solat yang biasa untuk menyelesaikan solat yang dilakukan.
Video Cara Melakukan Sujud Sahwi Dengan Betul
Berikut merupakan video cara sujud sahwi jika korang masih belum faham cara melakukannya.
Kebaikan Sujud Sahwi
Sujud sahwi sangat dituntut untuk membaiki solat kita yang serba kekurangan. Allah yang Maha Penyayang masih boleh menerima ibadah kita walaupun ada cacat celanya. Segala amalan yang dituntut dalam Islam pasti ada hikmahnya. Dalam perihal sujud sahwi, kita sebagai hamba Allah banyak kekurangannya. Maka, Rasulullah SAW mengajar kita cara sujud sahwi sebagai salah satu cara menutup kekurangan kita. Kita sebagai hamba perlu segera memohon keampunan kepada Allah jika berlaku khilaf. Hanya kepada Allah tempat kita bersujud dan memohon keampunan atas kealpaan kita.
Aku harap dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat bersama kepada kita semua. Semoga segala amal kebaikan yang kita kerjakan di muka Bumi ini akan diterima oleh Allah. Sekian.