Tengok sahaja gambar rumah biru Kampung Baru, pasti mengenalinya walaupun tidak pernah berkunjung ke sini. Rumah ini menjadi popular dan tarikan utama di Kampung Baru. Masihkah anda ingat di mana anda melihatnya?
Jika ada yang tidak tahu atau terlupa, rumah biru ini terkenal kerana sering dijadikan lokasi pengambaran drama dan filem tempatan. Antara drama dan filem top yang pernah melakukan pengambaran di sini termasuklah Adnan Sempit, Rem-pit, Impak Maksima dan sebagainya.
Bukan sahaja terkenal kerana dijadikan lokasi pengambaran malah terkenal dengan kecantikan rumahnya yang unik. Rumah biru yang berkonsepkan tradisional ini berada di ibu kota dan berlatarkan bangunan pencakar langit iaitu Menara Berkembar Petronas atau KLCC.
Info Anda Perlu Tahu
Jika anda ingin ke sini, pastikan anda tahu lokasinya kerana ramai yang tidak menjumpai jalan sebenar ke rumah biru ini. Anda juga perlu tahu beberapa maklumat sebelum sampai ke sini.
Ramai yang menganggap rumah ini adalah sebuah rumah kosong. Namun, Rumah biru Kampung Baru sebenarnya berpenghuni. Oleh itu, jagalah adab dan anda perlulah meminta izin terlebih dahulu pada tuan rumah sebelum mengambil gambar rumah unik ini.
Pemilik rumah yang mahu dikenali sebagai Mama Long kadang kala kecewa dengan sikap sesetengah pengunjung yang datang tanpa meminta izin untuk bergambar. Tak cukup dengan itu, ada juga yang membuang sampah di halaman rumahnya. Sebagai ‘tetamu yang tak diundang’ kita seharusnya menjaga adab dan tingkah laku apabila berada di rumah orang.
Berbalik pada keunikan rumah biru, sumber mengatakan rumah ini berusia menjangkau lebih 100 tahun. Ia merupakan sebuah rumah yang diwarisi sehingga enam generasi. Walaupun begitu, rumah ini masih teguh berdiri dengan megah disebalik pembangunan yang giat dibangunkan.
Tengok sahaja dari halaman rumah, anda dapat melihat keadaannya yang sangat bersih, cantik dan kemas. Oleh sebab ini, rumah biru pernah memenangi pelbagai anugerah dalam pertandingan rumah tercantik dan terbersih.
Berusia 65 tahun, pemilik rumah biru ini mengatakan pada asalnya rumah ini lebih tinggi namun telah direndahkan atas faktor tertentu. Jika dahulu, pemandangan KLCC akan terlihat jelas di belakang rumah ini. Namun sekarang, terdapat bangunan baru yang membuatkan rumah biru ini sedikit terlindung.
Tips Ke Sini
Buat anda yang tidak ingin melepaskan peluang untuk ke rumah biru Kampung Baru, kami ingatkan anda untuk memberi salam dan meminta izin untuk bergambar di rumah ini. Jaga tutur kata dan bercakaplah dengan sopan, sudah pasti pemilik rumah akan melayan anda dengan baik. Pemilik rumah sangat peramah jika anda datang dengan beradab.
Datanglah pada waktu yang sesuai seelok-eloknya pada siang hari dan tidak membuat bising di halaman rumah ini demi menjaga privasi masing-masing. Bukan itu sahaja, jangan buang sampah di halaman rumah ini dengan sesuka hati. Apabila mendapat keizinan untuk bergambar, ucapkanlah terima kasih sebagai penghargaan.
Semoga Rumah Biru Kampung Baru kekal utuh dan dikekalkan kerana keunikan rumah tradisionalnya yang berada di tengah ibu kota serta dikelilingi bangunan pencakar langit. Jika ada yang ingin bergambar di sini, anda boleh mencari ‘Rumah Biru’ di Google Maps.
Rumah biru ini berada di lokasi strategik dan berdekatan dengan tempat menarik yang lain termasuklah Pintasan Saloma dan KLCC. Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke sini jika anda bercuti ke Kuala Lumpur!
Nak bercuti ke Kuala Lumpur? Lokasi ini mungkin anda cari untuk percutian menyeronokkan di sini: