Jika bercuti ke Sabah pasti ramai mengimpikan untuk sebuah percutian laut dan pantai yang sangat memukau pandangan serta terkenal di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Tetapi anda jangan tak tahu bahawa Sabah juga sebenarnya memiliki sebuah pantai yang indah dan hidupan laut yang unik serta mempunyai pelbagai lagenda misteri yang pastinya menarik minat anda.
Lokasi yang dimaksudkan adalah Pantai Batu Luang di Kuala Penyu, Sabah.
Kuala Penyu merupakan sebuah daerah terletak di Bahagian Pedalaman atas, yang bersempadan dengan daerah Beaufort di timurnya dan berkongsi sempadan laut dengan Wilayah Persekutuan Labuan di sebelah selatannya.
Pantai Batu Luang ini menyimpan pelbagai keunikan yang mampu menarik minat para pelancong setiap kali berkunjung ke tempat tersebut. Berikut kami kongsikan sejarah dan keunikan Batu Luang:
1. KERUNTUHAN GUA BATU LUANG
Antaranya melibatkan kisah seorang wanita yang terperangkap di dalam gua Batu Luang sewaktu bersiar-siar di kawasan tersebut. Wanita itu dikatakan baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan seorang pemuda. Tiba-tiba hujan turun dengan begitu lebat. Si suami terus membawa isterinya berteduh di gua tersebut sementara hujan kembali reda.
Malangnya, gua tersebut runtuh sewaktu lelaki itu keluar daripada tempat itu untuk meninjau kawasan sekeliling. Keruntuhan gua menyebabkan si isteri ditimbuni batu-batu yang besar dan berat.
Si suami berusaha untuk menyelamatkan isterinya namun hanya menemukan jari yang masih berinai dengan cincin sebagai tanda cinta mereka. Pemuda itu kemudiannya mengambil cincin tersebut sebagai kenangan dan pergi meninggalkan mayat berkenaan bersama timbunan batu didalam gua tersebut.
2. MISTERI BATU BELAH BATU BERTANGKUP
Selain itu, terdapat dakwaan yang mengatakan kawasan ini merupakan batu belah batu bertangkup. Penduduk Batu Luang sering melihat kelibat seorang perempuan yang duduk di atas batu besar seakan menanti kehadiran seseorang.
Bukan itu sahaja, pemandu jentera berat yang pernah singgah berehat di tepi jalan berdekatan Batu Luang turut terlihat seorang perempuan turun menuju ke Batu Luang lalu memasuki gua kecil.
3. KEUNIKAN HIDUPAN LAUT
Batu Luang juga terkenal dengan hidupan laut seperti ular laut yang gemar bersembunyi di sebalik timbunan dan susunan batu sebagai cara untuk mengelakkan dirinya daripada terkena cahaya matahari pada waktu siang.
Maka tidak hairanlah jika pelawat yang berkunjung digalakkan untuk mematuhi peraturan yang dikemukakan agar tidak menganggu hidupan liar seperti itu.
4. MUSIM KALABUTAN & TUHUR
Kawasan Batu Luang juga terkenal dengan musim mencandat sotong atau nama lainnya digelar sebagai Kalabutan. Pantai ini akan menjadi tempat utama mencandat kerana terlalu banyak sotong yang terdampar di kawasan tersebut.
Pantai Batu Luang turut terkenal dengan musim tuhur yang memudahkan para penduduk untuk mencari rezeki. Pada musim ini, penduduk berpeluang memperoleh hasil laut yang lumayan secara percuma seperti sotong kurita, siput laut, ketam, ikan dan udang karang atau lobster.
Berdasarkan lagenda dan keistimewaan Batu Luang di atas, jelaslah bahawa uniknya tempat ini sekiranya dikunjungi sebagai satu daripada destinasi pelancongan ketika berada di Sabah.
Pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat keindahan pulau itu pada waktu senja namun berupaya membawa pulang pelbagai jenis hidupan laut terutamanya pada musim Tuhur dan Kalabutan.
Penulis
- Dg Suzahnah binti Mohd Kassim adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber: iamlejen.com