Bandar Venice di Itali merancang untuk mengenakan bayaran masuk sebanyak 5 euro atau RM25 untuk pelancong tahun depan.
Majlis Bandar Raya Venice berkata, langkah itu sebagai usaha menguruskan aliran pelancong yang mengunjungi lokasi berkenaan dan melalui terusan bersejarahnya.
Yuran itu akan dikenakan secara percubaan pada 30 hari tahun depan, memfokuskan terutamanya pada cuti musim bunga dan hujung minggu musim panas apabila bilangan pelancongan berada di puncaknya.
Semua pelawat yang berumur 14 tahun ke atas perlu membayar yuran masuk itu.
Matlamatnya adalah untuk mencari “keseimbangan baharu antara hak mereka yang tinggal, belajar atau bekerja di Venice dan mereka yang melawat bandar itu”.
Menurut ahli Majlis Pelancongan Venice, Simone Venturini — ia bukan satu langkah mencari wang namun bayaran itu hanya akan menampung kos pentadbiran skim itu.
Tarikh sebenar rancangan itu dan cara bagaimana ia dijalankan akan dipersetujui selepas kelulusan majlis akhir yang dijangkakan minggu depan.
Sementara itu, pelancong kembali membanjiri Venice dengan pengunjung luar melebihi jumlah kira-kira 50,000 penduduk pusat bandar itu.
Dengan kata lain, pelancong yang menyusuri lorong-lorong sempit di Venice mengatasi bilangan penduduknya.
Kunjungan luar atau kedatangan pelancong luar secara berlebihan sudah terlalu lama menjadi masalah di Venice.