Baru-baru ni kecoh tentang air terjun sungai pisang yang di banjiri ribuan pengunjung lantas menyebabkan ianya menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen. Dah macam taak ada air terjun lain dekat Selangor kan. Ini dia 10 Air Terjun yang koraang boleh berkelah di Selangor.
1. Air Terjun Pisang
Satu lagi destinasi air terjun di Selangor yang sangat popular di kalangan warga setempat yang sukakan aktiviti melihat pemandangan hutan yang indah & jungle trekking. Destinasi mandi manda ini tidak disyorkan untuk yang berkeluarga terutamanya yang bersama anak-anak kecil kerana memerlukan aktiviti redah hutan untuk sampai ke lokasi utama air terjun. Lokasinya juga tidaklah di kawasan pedalaman & pengembaraan anda hanya bermula di sebelah Lebuhraya KL-Karak di Gombak.
Tempoh masa meredah hutan untuk ke air terjun sekitar 30 minit – 1 jam sahaja & trek laluannya sejauh 1.5 km ini tidak sukar serta sesuai untuk mereka yang tidak pernah melakukan aktiviti jungle trekking. Apa yang diperlukan hanyalah berjalan kaki tanpa perlu mendaki bukit yang tinggi & tebing yang curam. Sekiranya anda mencari air terjun di Selangor yang cantik & tidak sesak dengan pengunjung pada hujung minggu, Air Terjun Pisang ini sangat disyorkan untuk anda terokai bersama kawan-kawan. Bagi kaum hawa, sebaiknya ditemani jejaka untuk tujuan kesalamatan.
Air Terjun Pisang memang jernih & kawasan mandi mandanya pula tidaklah terlalu besar tetapi lebih daripada mencukupi untuk aktiviti berendam, ‘terjun tiruk’ ataupun bertenggek di atas batu dalam sungai. Perlu anda tahu, di sekitar kawasan air terjun ini tiada kemudahan asas seperti tandas atau bilik persalinan. Sebaiknya, bawalah khemah & pacakkan di kawasan camping di sini untuk dijadikan tempat bersalin pakaian ataupun untuk dapatkan ‘feel’ suasana camping.
Alamat: Air Terjun Pisang, Gombak, Selangor
2. Air Terjun Serendah
Air Terjun Serendah adalah sebuah tarikan alam semulajadi yang sering dilawati terutama sekali pada hari Sabtu dan Ahad atau musim cuti sekolah, suasana sekitar air terjun ni boleh jadi agak meriah dengan kehadiran keluarga bermandi-manda.
Walaupun hanyalah sebuah air terjun yang kecil, Air Terjun Serendah merupakan sebuah tarikan yang sangat sesuai untuk dijadikan destinasi anda sekeluarga menenangkan fikiran, bersantai menikmati udara segar dan bunyi deruan air sungai yang menyegarkan halwa telinga.
Di sini, anak-anak boleh bermandi-manda dengan sepuas hati tanpa anda perlu risau terutama sekali di kawasan yang berdekatan dengan pondok dan jambatan yang terdapat di kawasan sungai ini.
Berkaitan dengan kemudahan yang disediakan, segalanya telah tersedia kerana kawasan air terjun ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, tandas, bilik mandi, gerai-gerai jualan, pondok untuk anda bersantai, taman permainan kanak-kanak, tapak perkhemahan dan tempat meletak kereta.
Lokasinya, terletak hanyalah dalam sekitar 3 km daripada kawasan Perkampungan Orang Asli Serendah.
Alamat: Air Terjun Serendah, Kampung Orang Asli Serendah, 48200, Serendah, Selangor
3. Hutan Lipur Gunung Nuang
Satu destinasi yang sangat popular di Selangor terutamanya di kalangan ‘kaki hiking’. Di hutan simpan ini, terdapat Gunung Nuang yang berketinggian 1493 m dari aras laut & merupakan antara puncak tertinggi di Selangor. Perlu anda tahu, cabaran untuk menawan puncak Gunung Nuang bukannya terletak dalam kategori mudah seperti Bukit Broga atau Gunung Tok Wan. Untuk yang baru berjinak-jinak pastikan anda sudah ada pengalaman di kawasan bukit lain & mempunyai orang yang berpengalaman untuk memimpin.
Perjalanan menuju ke puncak memang agak lama sekitar 5-8 jam bergantung kepada keadaan laluan semasa & juga tahap stamina anda. Sekiranya ingin lakukan aktiviti pendakian untuk menawan puncak, disyorkan untuk bermula awal pagi. Cabaran mendaki gunung ini yang terletak di sepanjang perjalanan juga berbeza. Ada yang mudah & ada juga yang terpaksa memanjat kerana terlalu curam serta merentasi anak sungai. Kalau penat & badan berlengas, terdapat juga kawasan air terjun yang boleh mandi manda untuk segarkan diri.
Terdapat beberapa camp site yang perlu dilalui sebelum sampai ke puncak seperti Camp Lolo & Camp Pacat. Kepenatan para pendaki sebaik sampai ke puncak pasti hilang selepas melihat panorama sekeliling yang sungguh menakjubkan & saujana mata memandang. Tidak kurang juga pendaki yang bermalam di camp site kerana mencari waktu sesuai ke puncak untuk melihat keindahan panorama matahari terbenam. Ada juga pendaki yang hanya sekadar ke Camp Lolo & Camp Pacat sebelum berpatah balik mungkin kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan & juga stamina yang kurang.
Alamat: Hutan Simpan Gunung Nunang, Hulu Langat, Selangor. Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah, Km 11 (Batu 7), Jalan Cheras, 43200 Cheras, Kajang, Selangor
4. Air Terjun Lepoh
Air Terjun Lepoh adalah sebuah tarikan yang terletak di dalam hutan hujan tropika. Cukup mudah diakses dengan laluan yang sederhana mudah untuk digunakan.
Setibanya di kawasan air terjun, anda dapat melihat orang ramai menggelongsorkan badan pada batu besar yang ada sebelum masuk ke dalam kolam. Cukup meriah!
Selain bermandi-manda, anda juga boleh merancang untuk berbbq, mendaki, berkhemah, berkelah atau sebagainya yang sesuai untuk dilakukan di dalam hutan rimba dan di sekitar sungai.
Alamat: 43100 Hulu Langat, Selangor
5. Taman Eko Rimba Kanching
Satu destinasi air terjun untuk perkelahan keluarga yang sangat popular di kalangan orang KL & Selangor. Lokasi air terjun ini memang sesuai untuk anda yang berkeluarga kerana segala kemudahan disediakan & akses dengan kenderaan ke sini juga mudah. Air Terjun Kanching ini merupakan kawasan air terjun yang mempunyai 7 tingkat & kawasan tadahan paling bawah adalah yang paling mesra untuk golongan berkeluarga berkelah kerana mudah untuk diakses dari kawasan parkir kereta tanpa perlu berjalan jauh.
Cabaran utama di sini adalah kehadiran monyet liar yang agak banyak & sentiasa memerhati pengunjung yang membawa plastik makanan. Jadi, simpan makanan anda dalam beg atau bekas tertutup. Sekiranya waktu anda tiba di sini sesak dengan pengunjung di kawasan tadahan air terjun utama, anda jangan cepat kecewa. Teruskan pendakian melalui denai di sepanjang sungai untuk ke lokasi air terjun di aras seterusnya. Hipotesisnya, semakin anda berjalan ke tingkat atas air terjun, semakin kuranglah kesesakan pengunjung yang mandi manda.
Namun, kalau anda malas mendaki kerana terkekang dengan anak kecil, jangan mudah berputus asa. Anda gunakan ‘Plan B’ untuk ke satu lagi air terjun yang terdapat berdekatan dengan Air Terjun Kanching ini, iaitu di Taman Rimba Templer yang terletak kira-kira 4 km dari sini. Air terjun di Taman Rimba Templer mungkin tidak sedalam di sini tetapi lebih memadai untuk anak-anak bersuka ria.
Alamat: Kilometer 17, Jalan Kuala Lumpur – Rawang, Templer Baiduri, 48000 Rawang, Selangor
6. Hutan Lipur Sungai Congkak
Hutan Lipur Sungai Congkak adalah sebuah tarikan hutan rimba yang sesuai untuk dilawati bersama keluarga. Apa kata kalau dah sampai di sini nanti anda masak bbq dan nikmati makanan sambil berehat di atas hammock yang dibawa? Satu pengalaman yang cukup indah.
Sepanjang berada di sini, anda boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti tandas awam, gazebo untuk disewa, tempat meletak kereta, surau, dan lain-lain lagi. Di kawasan meletak kereta ini juga terdapat banyak jualan makanan, barangan mandian dan lain-lain.
Tak cukup hanya beberapa jam di sini? Anda boleh memilih untuk bermalam dengan mendirikan khemah di tapak perkhemahan yang disediakan. Nak lebih selesa? Menginaplah di chalet yang ditawarkan.
Alamat: Hutan Rekreasi Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor
7. Santuari Ikan Sungai Chiling
Kalau bercadang bercuti ke Bukit Fraser melalui Kuala Kubu Baru, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke satu tempat berkelah di Selangor yang sangat popular iaitu Santuari Ikan Sungai Chiling. Destinasi air terjun ini pasti memberikan anda satu pengalaman baru yang tiada di mana-mana air terjun di Selangor yang lain. Untuk yang berkeluarga & mempunyai anak-anak kecil, mungkin anda perlu berfikir 2 kali sebelum melangkah ke sini terutamanya ke kawasan utama air terjun. Ini kerana untuk sampai di kawasan tadahan utama air terjun, pengunjung perlu berjalan kaki meredah hutan & merentasi 6 anak sungai.
Namun, anda jangan bimbang kerana masih terdapat lokasi mandi manda yang mesra anak-anak kecil & mudah diakses dari tempat pakir kereta yang berdekatan dengan jambatan gantung di sini. Untuk ke santuari ikan kelah, anda perlu meredah hutan & merentasi 6 anak sungai sejauh 3 km yang mengambil masa sekitar 40 minit – 1 jam. Anda jangan bimbang kerana tahap cabaran meredah hutan di sini sangatlah mudah. Malah, merentasi 6 anak sungai juga bukanlah sehingga terpaksa berenang & menyelam.
Sebaik sampai di kawasan utama air terjun, lelah meredah hutan pasti terubat kerana pemandangan air terjunnya sangat menakjubkan. Airnya sangat jernih & di sinilah terdapatnya ikan kelah yang jinak & boleh anda rasai ‘spa ikan’. Pengunjung juga boleh memberi makan ikan kelah di sini & makanan ikan boleh dibeli di kaunter masuk. Tidak jauh dari sini, terdapat juga kawasan camp site untuk aktiviti camping & perkhemahan harian, namun tidak dibenarkan bermalam.
Alamat: 44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor
8. Templer Park
Templer Park adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang cukup mudah untuk diakses dari Kuala Lumpur.
Setibanya anda di sini, anda boleh terus menikmati mandian atau berbbq di kawasan kolam yang terletak tidak jauh dari pintu masuk. Namun, sekiranya anda berniat untuk melihat kawasan air terjunnya, anda perlu berjalan kaki dalam sekitar 1 jam setengah dari kolam.
Selain bermandi-manda, berbbq dan hiking, aktiviti lain yang boleh anda rancang untuk lakukan bersama keluarga adalah berkhemah.
Antara kemudahan yang disediakan adalah tempat meletak kereta dan tandas awam.
Alamat: 48200 Rawang, Selangor
9. Hutan Rekreasi Sungai Tekala
Destinasi air terjun ini terletak kira-kira 17 km dari satu lagi tempat menarik di Semenyih yang sangat popular, iaitu Bukit Broga. Mungkin selepas penat mendaki Bukit Broga pada waktu pagi & melihat suasana matahari terbit di sana, bolehlah berkunjung ke sini pula untuk berendam di dalam sungai yang sangat menyegarkan ini.
Air terjun ini sangat mudah untuk diakses adalah di Hutan Rekreasi Sungai Tekala yang terletak di Semenyih. Dari kawasan parkir kereta, tidak perlu mendaki jauh untuk sampai ke kawasan perkelahan. Sesuai untuk golongan berkeluarga & anak-anak bersuka ria di air sungai yang jernih tanpa perlu memerah keringat meredah denai hutan. Air sungai di sini juga tidak deras & tidak dalam.
Air terjun di Sungai Tekala ini merupakan air terjun bertingkat. Sekiranya di kawasan bawah penuh dengan pengunjung, anda boleh mendaki sedikit melalui anak tangga ke kawasan air terjun di tingkat atas. Suasana di Sungai Tekala ini sangat mendamaikan kerana dipayungi rimbunan pokok-pokok hutan yang tumbuh meninggi. Malah, kawasan tebing sungai juga lapang untuk anda hamparkan tikar serta barbecue sambil melihat anak-anak mandi manda di sungai.
Alamat: Hutan Rekreasi Sungai Tekala, Jalan Sungai Lalang, 43500 Semenyih, Selangor
10. Air Terjun Sungai Tua – Ulu Yam
Air Terjun Sungai Tua merupakan salah satu kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti anda sekeluarga. Terdapat sungai yang cetek dan amat sesuai serta selamat bagi aktiviti mandi manda si kecil. Selain itu, terdapat juga kemudahan pondok untuk berteduh di tepi sungai serta mudah untuk diakses dengan menggunakan kereta ke kawasan ini adalah antara faktor utama tempat ini menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu.
Bukan itu saja, lokasinya bersebelahan dengan taman rekreasi juga menjadikan ia lebih istimewa berbanding kawasan air terjun yang lain. Bagi anda yang merancang untuk ke sini nanti, pastikan anda membuat persiapan yang rapi dan memastikan cuaca yang baik.
Sekiranya hujan, kami nasihatkan supaya anda membatalkan dulu aktiviti di kawasan ini bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini berlaku seperti kes kepala air pasang. Ingat keselamatan anda dan orang tersayang adalah lebih dari segala-galanya.
Alamat: B23 Jalan Hulu Yam Bharu – Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor
11. Air Terjun Komanwel – Selayang
Jika sebelum ini Air Terjun Kanching sudah anda terokai, apa kata sekarang kita jelajahi pula Air Terjun Komanwel yang terletak di Hutan Rimba Komanwel, berhadapan dengan Hutan Lipur Kanching. Ramai yang kata destinasi ini sangat sesuai untuk aktiviti lasak secara berkumpulan mahupun persendirian.
antara aktiviti lasak yang boleh anda lakukan di sini adalah menunggang kuda, berakit, jungle trekking serta flying fox. Di samping itu, jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru jangan lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti abseiling dan juga mountain bike di trek yang disediakan.
Bagi anda yang sukakan aktiviti santai pula, kami syorkan anda untuk berkampung di tapak perkhemahan yang disedaikan. Pasti seronok apabila waktu pagi boleh mandi-mandi dan malam hari pula boleh berborak sambil diterangi unggun api!
Alamat: Taman Rimba Komanwel, km23, Jalan Kuala Lumpur Rawang, 48000 Rawang.
12. Air Terjun Perdik – Hulu Langat
Air Terjun Perdik adalah kawasan yang sangat sesuai bagi kumpulan atau rakan sekerja yang inginkan aktiviti team building. Jungle trekking yang mencabar serta aktiviti pendakian ke Bukit Chenuang yang berketinggian 850 meter dari paras laut pasti dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli kumpulan.
Tambahan pula suasana yang mendamaikan serta berbagai kemudahan yang disediakan membuat Air Terjun Perdik di Hulu Langat lokasi ideal untuk beriadah bersama rakan sekerja.
Alamat: Hutan Lipur Perdik, Hulu Langat.
13. Air Terjun Sungai Gabai Hulu Langat
Kejernihan air sungai di Air Terjun Sungai Gabai pasti akan memikat hati anda sekeluarga. Kelestarian yang masih terjaga, kedingin air yang terasa serta kemudahan yang disediakan adalah yang terbaik.
Air Terjun Sungai Gabai bukan hanya sesuai untuk aktiviti mandi manda sahaja tetapi di sini anda boleh berBBQ bersama keluarga.
Antara kemudahan lain yang disediakan di sini adalah pondok tempat berteduh yang memuatkan lebih dari 5 orang pengunjung, penjaga parking yang memudahkan urusan pengunjung serta tandas dan surau yang bersih untuk digunakan. Pendek kata Air Terjun Sungai Gabai ini serba lengkap dan anda pasti berpuas hati untuk ke sini lagi.
Alamat: Air Terjun Sungai Gabai, Selangor, 43100 Hulu Langat, Selangor
14. Air Terjun Lata Makau – Kuala Kubu Bharu
Kuala Kubu Bharu (KKB) sememangnya menjanjikan kepuasan yang maksimum buat si penggemar aktiviti lasak dan ekstrem. Jika sebelum ini anda sudah pun mengetahui sedikit sebanyak cabaran dan aktiviti lasak yang perlu diharungi untuk sampai ke kawasan Air Terjun Chilling yang juga terletak di KKB. Kali ini anda bakal berkenalan pula dengan Air Terjun Lata Makau.
Persiapkan mental dan fizikal sebaiknya sebelum ke sini. Ini antara pesanan untuk anda yang merancang ke air terjun Lata Makau. Untuk sampai ke lokasi ini, anda perlu meredah hutan terlebih dahulu dan perjalanannya mengambil masa kira-kira selama 2 hingga 3 jam. Agak mencabar bukan?
Melihat pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan serta dapat menyejukkan badan dengan dingin air sungai sudah pasti perjalanan anda meredah hutan sebentar tadi sememangnya berbaloi-baloi.
15. Air Terjun Batu Asah – Hulu Langat
Air Terjun Batu Asah turut dikenali sebagai Air Terjun Kemensah kerana lokasinya terletak di kawasan Kampung Kemensah, Hulu Klang Selangor. Jadi, jangan keliru bila ada sesetengah yang meyebut Air Terjun Kemensah dan yang lain menggelarnya sebagai Air Terjun Batu Asah kerana ianya lokasi yang sama dengan dua nama yang berbeza.
Bagi anda yang inginkan pengalaman yang baru dalam menerokai keindahan semula jadi di lokasi ini, All Terrain Vehicle atau juga dikenali sebagai ATV rides adalah sesuatu yang wajib anda cuba. Bukan saja dapat merasai kelasakan ketika mengikuti geng ATV rides bahkan anda juga dapat menikmati keindahan alam semula jadi secara lebih dekat lagi.
Di samping itu, kewujudan camp site, tempat khas untuk berBBQ serta chalet Jeram Teratak Angah menjadikan ia sangat popular di kalangan keluarga untuk berlibur pada hujung minggu atau pada hari cuti am.
Sebenarnya air terjun di Selangor memang ada banyaak lagi. Jadi bagi korang yang teringin sangat nak mandi air terjun tu masih banyak lagi tempat yang korang boleh pergi. Tak perlu semua nak tumpukan dekat aair terjun sungaai pisang je. Laagi satu jangan lupa mohon permit sebelum korang nak pergi.