Kisah seram asrama kali ni dikongsikan oleh seseorang yang mengalami gangguan semasa beliau masih belajar di salah sebuah kolej swasta di Selangor. Kisah seram yang di alaminya berlaku ketika beliau sering tinggal berseorangan di dalam asrama tersebut. Ikuti kisah seram asrama ini.
Kisah Seram Asrama Berhantu
Kisah ini terjadi tahun 2008-2009. Lepas SPM aku dapat offer sebuah kolej swasta daerah selangor. Asrama 4 tingkat disediakan dengan bayaran RM600 satu sem (6 bulan).
Setiap tingkat terbahagi kepada beberapa lorong koridor. Ada lebih 50 buah bilik yang saling mengadap pintu di setiap lorong koridor. Kalau jalan sepanjang koridor ni yang kita nampak hanyalah pintu-pintu bilik yang tertutup rapat (pintu autolock) dan hujung koridor terdapat satu emergency exit.
Manakala tingkap pulak bertemu tingkap. Setiap 2 bilik dipisahkan dengan toilet. Kawan-kawan bilik ini kami gelar toiletmate. Memang mewah la asrama macam tu pada aku. Ala-ala apartment gitu. Turun katil boleh terus pergi toilet. Tak payah menapak keluar bilik. 1 bilik dikongsi 3 orang.
Setiap weekend roomate aku dua orang akan balik kampung. Macam tu jugak dengan toiletmate. Yela diorang tinggal dekat-dekat je. Kampung aku jauh jadi aku selalu ditinggalkan sorang-sorang.
Malam pun tiba. Aku jenguk keluar tingkap dari bilik aku (tingkat 3), bilik seberang dari tingkat 1 sampai tingkat 4 semuanya gelap menandakan takde orang. Cuma kelihatan 2-3 bilik je yang terang.
Timbul rasa seram. Macam mana plak floor aku? Ntah-ntah tinggal aku sorang je. Cafe bawah pun tutup. Kalau tak, ade jugak dengar bunyi TV. Malam tu memang terasa sunyi. Terasa terlalu sunyi sebab mungkin ramai yang balik kampung membuatkan aku mengantuk. Dalam seram-seram sendiri tu aku layankan jugak mata.
Tepat jam 11malam aku dengar pintu bilik sebelah yang terpisah dengan dinding ni dibuka dan ditutup. Macam orang masuk bilik lagaknya. Kemudian terdengar bunyi petikan suiz dari bilik sebelah. Tak tau la mungkin suiz lampu mungkin suiz plug. Kuat bunyinya. Tapi bunyi -bunyian tu tak langsung buatkan aku jadi seram.
Lega rasanya sebab nampaknya bukan aku sorang kat floor tu yang tak balik kampung. Dan begitu la sepanjang weekend, bersambung sepanjang study week seterusnya sepanjang sem. Setiap kali aku ditinggal sorang, bunyi-bunyi itula yang menemani dan secara tak langsung buat aku rasa lega.
Kadang-kadang pukul 2 3 pagi dia bagi bunyi. Cuma peliknya pukul pukul 11 malam keatas je bunyi dan tak pernah pulak bertembung bila keluar bilik. Aku pun tak tau rupa budak bilik sebelah ni macam mana.
Kalau kenal nak jugak ajak pergi makan sama ke tapau makanan sama-sama ke. Kalau hari biasa hostel penuh takde pulak dengar pintu dan suiz segala. Mungkin tenggelam dek kebisingan roomate dan toiletmate kot.
Tapi baik pagi, baik petang kalau pergi kelas memang tak pernah bertembung. Budak ni tak pergi kelas ke? Soal aku dalam hati. Sehingga la habis sem, masuk sem baru. Waktu ni sem 2. Aku dapat bilik yang sama atas persetujuan dengan roomate sebab selesa dengan view bilik tu.
Cuma toiletmate kami bertukar. Toiletmate ni study course sama dengan roomate aku. Diorang selalu buat study group kat bilik aku. Dalam 3-4 orang tu ada sorang dari bilik lain. Dah selalu nampak muka kami pun jadi kawan.
Namanya Zai (bukan nama sebenar). Aku pun saja berbasi-basi, sem lepas dia duduk di bilik mana. Katanya dulu dia duduk bilik sebelah. Oh! rupanya dialah yang sepanjang sem lepas temankan aku dengan bunyi-bunyian.
“Tapi duduk seminggu je lepas tu mintak tukar bilik. Tak tahan kena kacau.” Aku dah terdiam. Lalu Zai pun membuka cerita. Setiap malam pukul 11 keatas, kadang-kadang tengah malam akan nampak perempuan berbaju putih lusuh duduk mencangkung ditengah bilik air mengadap kearah bilik diorang dengan rambut panjang mengurai ke lantai.
Walaupun pintu yang memisahkan pintu toilet ditutup, diorang tau dia ada disitu. Sanggup pergi bilik kawan kat lantai bawah tumpang toilet kalau dah tengah malam. Lepas cerita macam tu pada warden, warden bagi pindah dan tutup bilik tu tanpa berpenghuni. Toiletmate diorang pun pindah sama. Dan roomate aku pun mengiyakan yang kawan dia tu memang dah pindah bilik. Jadi, tahulah aku siapa yang teman aku dengan bunyi -bunyian sepanjang semester lepas.
Kesimpulan Kisah Seram Asrama
Begitulah perkongsian kisah seram asrama pada kali ini. Kadang-kadang kita ni kena bertanya juga kawan-kawan yang duduk di bilik berdekatan sama ada dorang pun dengar bunyi-bunyi pelik yang sama atau tidak. Macam dalam kisah ni dia boleh tak tahu pulak kawan tu dah pindah bilik lain. Yang bestnya berani pulak duduk sorang-sorang setiap kali hujung minggu. Kalau aku mungkin tak kot. Sekian.