Pernah disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 destinasi di Asia yang wajib dikunjungi, Ipoh, menjanjikan pengalaman pelancongan yang bakal menggegarkan dunia anda.
Dikelilingi oleh bangunan kolonial yang telah mencecah usia berdekad lamanya, anda bukan sahaja dapat ‘merasai’ era lama, tapi juga berpeluang untuk merasai bermacam hidangan yang keenakannya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Begitu banyak sekali tempat makan menarik untuk dipilih sampai berdenyut kepala untuk membuat pilihan.
Untuk mengelakkan anda daripada kepeningan mencari kedai makan yang menarik, Mai Singgah ingin memudahkan ‘food hunt’ anda dengan menyenaraikan tempat makan menarik di Ipoh yang terbaik berdasarkan review yang wajib anda singgah. Teruskan membaca.
01. Miker Food
Anda rasa Pizza Hut dah cukup sedap? Mai cuba makan pizza di Miker Food pula. Mengeluarkan bauan yang menggoda, kerak pizza ini terlampau lazat, apabila digigit terus terasa kepaduan kejunya.
Dah puas mencuba pizzanya, ada banyak lagi menu lain yang mesti anda nikmati seperti chicken chop, tom yam nyior ketam, nasi goreng dan banyak lagi. Sambil menikmati hidangan, anda boleh melihat lanskap indah yang disajikan di depan mata iaitu padang Ipoh dan bangunan-bangunan bersejarah di sekitar.
Jika anda bercadang untuk ke sini, elakkan daripada datang selepas pukul 9 malam kerana kemungkinan pizzanya dah licin. Sedih pula tak dapat merasa menu utamanya.
Alamat: Jalan Padang, 30020 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (5.00 pm – 12.00 am) | Isnin (Tutup)
Baca: 53 Destinasi Menarik Di Ipoh
02. Dinosaurs Sandwich
Ingin mencuba sesuatu yang berbeza? Marilah kunjungi Dinosaurs Sandwich, sebuah restoran yang menyajikan pelbagai jenis sandwich sebagai menu utama.
Restoran yang cukup menarik dengan warna kuning hitam ini pasti mudah terlihat dari jauh. Malah, lambang dinosaur yang terpapar di papan tanda restoran ini pastinya sudah mula dikenali ramai.
Dinosaurs Sandwich terletak di Station 18, Ipoh, di belakang Aeon Mall Station 18. Suasana di restoran ini cukup meriah. Hiasan dalamannya bukan sahaja menarik perhatian para kanak-kanak, malah orang dewasa pon tentu suka.
Mereka turut menyediakan ruang khas untuk majlis harijadi dan sambutan istimewa. Siap dengan deco sekali. Ruang ini boleh ditempah secara percuma.
Apakah makanan yang ditawarkan di restoran bertema Jurassic ini? Tentulah aneka jenis sandwich! Namun yang istimewanya, sandwich yang mereka tawarkan adalah hasil resepi ciptaan tersendiri. Sandwich yang menjadi kegemaran ramai termasuk Toast Sweet Spicy Chicken, Toast Pulled Lamb dan Toast Daging Salai.
Dengan konsep fast food yang mereka tawarkan, anda boleh menikmati sandwich pilihan dalam bentuk set yang datang bersama air dan kentang goreng, atau dalam bentuk a-la carte. Selain dari aneka jenis sandwich, mereka juga tawarkan beberapa jenis side dish atau snek seperti Korean Chicken Wing, kentang goreng dan mac & cheese.
Untuk si kecil pula, ada Kids Meal yang mempunyai pilihan menu tersendiri. Banyak kan pilihan di sini? Jika anda ingin mencuba hidangan yang cukup lazat, sihat dan berlainan dari biasa, pastikan anda kunjungi Dinosaurs Sandwich apabila berada di sekitar Ipoh!
Sosial Media: Facebook | Instagram | Tiktok
No Telephone: 013 646 2131
Baca Review Penuh Disini: Dinosaurs Sandwich
Alamat: No. 27, Medan Station 19/9, Station 18, Ipoh, Perak
Waktu Operasi: 11am-10pm (setiap hari)
03. Nasi Kandar Al Matha’am Syed Corner
Untuk penggemar makanan dan restoran mamak, jangan lupa untuk singgah ke Restoran Al-Matha’am Syed Corner yang terletak di Station 18, Ipoh.
Lokasinya yang terletak di belakang Aeon Mall Station 18 memudahkan orang ramai untuk menemuinya. Malah, ia antara restoran mamak yang mudah dicam kerana terletak di bahagian “corner” atau hujung barisan kedai dengan warna biru yang cukup menarik perhatian. Suasana di restoran ini juga cukup menarik.
Dengan pengunjung yang padat, dari pelbagai kaum dan latar belakang, memang melambangkan perpaduan masyarakat Malaysia sebenar. Tentunya membuatkan restoran ini nampak meriah dan ceria.
Selain dari suasana yang hebat, menu mereka juga menjadi tumpuan ramai. Cukup dikenali dengan sajian Nasi Kandar dan Nasi Beriyani, menu utama mereka ini sangat digemari ramai kerana variasi lauk-pauk dan kuah kari yang padu yang menjadi padanan tepat untuk Nasi Kandar dan Nasi Beriyani anda.
Bagi penggemar Nasi Beriyani, anda tentu teruja kerana Nasi Beriyani mereka dimasak menggunakan beras pusar yang panjang dan berderai elok. Bukan sahaja itu, rasa rempah yang digunakan untuk memasak nasi beriyani ini juga sangat sedap can cukup rasa.
Sebagai padanan Nasi Kandar dan Nasi Beriyani, anda boleh memilih dari bermacam jenis lauk pauk termasuk kari ayam, kari ikan, ayam madu, ayam masak kicap, aneka jenis sayuran, telur dan bermacam-macam lagi. Selain dari menu utama ini, anda juga boleh menikmati pelbagai hidangan lain termasuk aneka jenis roti canai, tosai, capati, roti tisu, roti sarang burung dan lain-lain.
Masakan panas, goreng-goreng dan masakan ala thai juga tersedia di sini. Bersama hidangan makanan pilihan anda, anda juga boleh menikmati seleksi minuman yang cukup sedap. Selain dari pilihan minuman yang biasa, anda juga boleh mencuba jus buah-buahan mereka. Memang menyegarkan. Jadi, jangan lupa untuk cuba sendiri pelbagai hidangan istimewa di sini apabila anda berada di sekitar Ipoh!
Media Sosial: Facebook | Instagram | Tiktok
Alamat: No. 108, Medan Station18/3, Station 18, Ipoh, Perak
Waktu Operasi: 6.00am-12.00am (setiap hari)
04. Restoran M Salim
Tercari-cari mana kedai makan yang menyediakan hidangan kari kepala ikan dengan rasa yang betul-betul asli? Mai singgah makan di Restoran M Salim. Bukan itu sahaja, ayam goreng berempahnya tidak kurang sedapnya.
Apa sahaja lauk yang ditawarkan di sini boleh dimakan bersama dengan nasi briyani ‘Anarkali’atau nasi briyani daripada gred yang terbaik, ya, nasi ini sudah cukup enak walaupun dimakan kosong. Tapi kenapa nak makan tanpa lauk pula kan?
Lebih-lebih lagi bila lauknya dimasak dengan enak, apa sahaja hidangan yang diambil sama ada, ayam atau kambing, kesemuanya dimasak dengan sempurna sehingga lembut. Selain nasi briyani, hidangan lain juga tak kurang menariknya seperti murtabak, roti canai dan juga mee goreng.
Alamat: 75, Jalan Bahru off Jalan Tokong, Ipoh, Perak
05. Restoran Simpang Tiga
Nikmati masakan padang, seafood dan barat yang menyelerakan di sebuah restoran yang cukup memuaskan hati tahap kebersihan, keselesaan dan juga kualiti hidangannya hanya di Restoran Simpang Tiga.
Di restoran ini, anda boleh memilih sama ada ingin mengambil lauk-pauk sendiri atau menempah daripada menu yang disediakan.
Antara menu yang ada adalah seperti ayam penyet, masak lemak telur itik, ikan jenahak bakar, dan sebagainya. Di sini nanti, anda boleh memilih sama ada ingin menjamu selera di ruang terbuka atau tertutup yang lengkap dengan penyejuk udara.
Alamat: d-g, Jln Dato Seri Ahmad Said, Kmpng Kastam Greentown, 30450 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 10.00 pm)
06. Nasi Ganja Ipoh
Kalau ke Ipoh, tidak lengkap jika anda tidak merasai keenakan nasi ganja yang terletak di dalam Restoran Yong Suan di Jalan Yang Kalsom. Nama nasi ganja sebenarnya diberi oleh pelanggan kerana ia membuatkan orang ‘ketagih’ akan rasa kelazatan hidangan ini.
Nama sebenarnya ialah Nasi Kandar Ayam Merah. Restoran ini sebenarnya telah beroperasi sejak sebelum merdeka dan kini diusahakan oleh generasi ke-4 dengan mengekalkan konsep dan resipi yang sama.
Jika anda memandu di Jalan Yang Kalsom, akan kelihatan ramai pelanggan sedang beratur seawal jam 10 pagi lagi. Malah kedai-kedai bersebelahan juga turut mengambil peluang menyediakan tempat duduk kepada pelanggan nasi ganja yang tidak mahu menunggu lama untuk mendapatkan tempat duduk.
Nasi ganja menjadi pilihan ramai pengunjung dari negeri lain terutamanya Kuala Lumpur. Malah ada juga pelanggan dari Singapura yang sanggup memandu jauh untuk menikmati nasi kandar legenda ini.
Nasi ganja dihidang bersama kuah kari campur, ayam goreng merah, timun, telur masin dan sambal kelapa yang istimewa. Harga sepinggan hanyalah RM5.80 sahaja! Selain itu terdapat banyak lagi lauk pauk yang boleh anda tambah seperti kambing, daging, ayam masak merah, sotong dan banyak lagi.
Satu-satunya keunikan nasi kandar ayam merah ini ialah sambal kelapanya yang tidak mungkin terdapat di mana-mana tempat di dunia. Sambal kelapa yang pedas digaul dengan limpahan kari campur akan menghasilkan satu rasa yang cukup sempurna bagi satu suapan sehinggakan anda teringin untuk makan lagi di sini. Sebab itulah nasi kandar ini dinamakan nasi ganja oleh pelanggan.
Nasi Kandar Ayam Merah tidak mempunyai sebarang cawangan. Jika anda ke Ipoh, pastikan restoran ini diletakkan di dalam senarai tempat makan anda.
Lokasi: Kedai Kopi Yong Suan, Jalan Yang Kalsom, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.30am – 6pm)
07. Plan B (Ipoh)
Plan B adalah sebuah kedai makan yang sepatutnya menjadi ‘plan A’ anda semasa bercuti di Ipoh. Dengan dekorasi dalaman yang begitu menarik, masuk sahaja ke dalam kedai ini, anda tidak akan dapat menahan diri dari berposing.
Berkonsep hipster, kedai ini terletak di dalam bangunan yang dahulunya adalah sebuah gudang lama, dengan siling yang tinggi serta dinding batu-bata, atmosfera kedai ini terasa cukup santai.
Bukan sekadar memiliki vibe yang menarik, makanan yang dihidangkannya juga cukup enak. Minuman coklat panasnya terasa begitu lemak berkrim dan kopinya pula sangat kaw! Mengenai hidangan yang ditawarkan, antara yang patut anda cuba adalah salted egg spaghetti, rockyroad raspberry cake, serai chicken rice, chocolate brownie yang lembut di lidah dan banyak lagi!
Segala hidangan di kedai ini seperti diberikan perhatian yang begitu terperinci sewaktu dihasilkan, tiada yang mengecewakan.
Alamat: No. 75, Jalan Panglima, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (10.00 am – 11.00 pm) | Jumaat, Sabtu (10.00 am – 12.00 am)
08. Green Town Dimsum Café
Green Town Dimsum Café adalah sebuah kedai makanan Cina yang halal untuk dinikmati Muslim. Kalau anda tak pernah tahu lagi macam mana rasa sebenar dimsum, singgahlah ke kedai ini. Tak pasti dimsum apa yang best? Anda boleh mendapatkan cadangan daripada staff di sini yang cukup mesra.
Selain dimsum, hidangan lain yang turut ditawarkan di sini adalah yee mee goreng, chi cong fan dan banyak lagi. Masakan Melayu seperti nasi lemak dan nasi goreng kampung pun turut ditawarkan. Mengenai minumannya pula, paling wajib anda cuba adakah white coffeenya yang sangat enak.
Alamat: 10, Persiaran Greentown 4, Pusat Perdagangan Greentown, 30450 Menglembu, Negeri Perak
Waktu Operasi: Isnin, Selasa, Khamis, Sabtu (7.00 am – 10.30 pm) | Rabu, Jumaat, Ahad (8.00 am – 9.00 pm)
09. Kafe Setinggan (Laksa Sarang)
Laksa Telur Goreng Bersarang adalah lokasi yang kejam bagi peminat laksa, kerana di sini anda akan dibuli dengan pelbagai pilihan laksa enak yang ditawarkan. Antara pilihan yang akan menerjah pandangan anda setibanya di sini adalah laksa special, laksa dimsum telur bersarang, laksa fishcake / fishball, laksa tanpa telur dan laksa telur bersarang.
Tertanya-tanya kenapa menunya dipanggil telur bersarang? Ini kerana telur goreng yang dicampurkan dengan laksa ini dimasak dengan menggunakan teknik special untuk membuatkan telur itu kelihatan seperti sarang burung.
Telur bersarang inilah yang menjadi keunikan kafe jika dibandingkan dengan kedai lain yang menggunakan telur rebus. Wajib cuba kalau tak pernah lagi!
Sebagai info tambahan, kafe ini turut lengkap dengan surau yang selesa untuk memudahkan para pengunjung.
Alamat: Jalan Margosa D/8 Jalan Margosa D/8, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (12.00 pm – 7.00 pm) | Jumaat (Tutup)
10. Pakeeza Restaurant and Catering
Kelaparan? Anda akan pulang dengan perut yang penuh sebaik pulang dari Pakeeza Restaurant and Catering kerana restoran ini sangat ‘bermurah hati’ dengan saiz hidangan yang diberikan.
Menawarkan beraneka masakan mamak dengan kualiti dan tahap kebersihan yang jauh berbeza daripada kebanyakan restoran mamak lain. Cukup sesuai untuk dilawati bersama keluarga.
Masakan seperti daging kambing dan ayamnya cukup empuk dan enak. Roti naan keju dan juga naan bawang putihnya juga sangat mengiurkan lebih-lebih lagi bila ditambah dengan perahan limau nipis.
Alamat: 15-17, Jalan Dato Seri Ahmad Said, 30450 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 10.00 pm)
11. Konda Kondi Café & Bistro
Konda Kondi Café & Bistro bukanlah kedai untuk anda bermain permainan tradisional ni, tapi namanya ini agak sesuai dengan konsep kafe ini yang bergaya hipster.
Kafe ini menghidangkan masakan barat seperti chicken chop, pasta, burger, fish & chips, spaghetti dan banyak lagi. Tak kisahlah apa pun yang anda tempah, rata-rata yang pernah makan di sini memuji keenakan banyak hidangannya.
Lokasinya, begitu strategik, terletak di tengah-tengah bandaraya Ipoh berdekatan dengan Ipoh Parade.
Alamat: 183, Jalan Sultan Idris Shah, Taman Jubilee, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 12.00 am)
12. Restoran Halimah Bachik
Seringkali padat dengan orang ramai terutama sekali pada waktu tengahari, Restoran Halimah Bachik adalah kedai makan yang cukup sesuai untuk anda yang inginkan makanan dengan rasa yang sempurna dalam harga yang ‘ultra’ murah, jauh lebih murah daripada kedai makan lain!
Salah satu komen yang pernah dikongsikan mengatakan bahawa caj hanya RM5 dikenakan untuk sepinggan penuh dengan nasi campur dengan mee, 2 biji telur dan potato wedges. Murah tak murah?
Hidangan lain yang ada di sini adalah ayam bakar, roti canai, nasi ayam dan lain-lain lagi.
Alamat: 29, Regat Sri Cempaka, Taman Cempaka, 31400 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (7.15 am – 4.00 pm) | Ahad (Tutup)
13. 21 Grilled
Bukan kedai masakan barat yang biasa anda jumpa, di 21 Grilled, anda dapat menikmati burger bakar bersaiz gergasi yang sangat murah dan super sedap! Selain menawarkan pelbagai variasi burger, menu lain yang ditawarkan adalah seperti roti john, nasi beryani kambing bakar dan nasi beryani ayam bakar.
Takkanlah nak makan sambil termenung je kan? Di sini, anda boleh mengamati ‘pameran’ anime pada dinding kedai yang digantungkan dengan poster-poster anime seperti Luffy, Goku dan Naruto yang penuh dengan warna-warni.
Alamat: 87, Regat Sri Cempaka, Taman Cempaka, 31400 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.30 am – 11.00 pm)
14. Hadramout Paradise Restaurant
Lengkap dengan pendingin hawa dan tempat duduk yang selesa, cukup sesuai untuk dijadikan lokasi bersantap bersama keluarga. Masakan Arab yang dihidangkan di Hadramout Paradise Restaurant ini terasa sungguh asli kearabannya kerana diusahakan oleh orang Arab sendiri.
Antara masakan yang menarik untuk dinikmati di sini adalah nasi arab ayam mandy, shawarma, daging kambing dan sebagainya. Untuk air pula, anda mesti mencuba arabian mint tea, minuman yang sungguh melegakan tekak. Saiz hidangannya juga begitu besar menjadikan caj yang perlu dibayar terasa sangat berbaloi.
Alamat: Kinta Riverfront, K1, Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 12.00 am)
15. Restoran M. Salim, Jalan Tokong
Ada sesiapa yang ketagih dengan kari kepala ikan? Restoran M. Salim yang sudah pun beroperasi lebih daripada 50 tahun ini menjanjikan kari kepala ikan yang paling ‘epik’ pernah anda rasai.
Kari yang enak ini anda boleh juga makan bersama dengan roti canai, thosei atau chapati yang turut ditawarkan di restoran ini. Gandingan lain yang boleh dicuba adalah seperti nasi beryani, nasi kandar dan lain-lain lagi. Untuk minumannya pula, anda mesti cuba air oren laicinya, gabungan kedua-dua buah ini semacam sedapnya!
Disebabkan keenakannya, restoran ini seringkali padat dengan ramai pelanggan, jadi kalau anda nak lebih selamat, anda boleh membuat tempahan meja terlebih dahulu sebelum ke sini.
Alamat: 75, Jalan Tokong, Taman Hoover, 31650 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (6.30 am – 10.00 pm) | Jumaat (6.30 am – 1.00 pm & 2.00 pm – 10.00 pm)
16. Suhaimi Café
Suhaimi Cafe adalah sebuah kedai makan yang sering menjadi buah mulut masyarakat setempat kerana hidangan simple mereka yang menarik semacam! Menu utama yang menjadi kegemaran ramai di sini adalah roti benggali yang berkuahkan kari ayam. Roti yang tebal dan lembut ini bila dicicahkan dengan kari ayam memberikan sensasi yang sangat menggemparkan lidah.
Hidangan wajib cuba yang seterusnya pula adalah roti titab kaya berserta dengan telur goyang. Untuk hidangan ini, rotinya dibakar rangup sebelum disapukan dengan kaya dan diletakkan telur separuh masak. Memang sedap!
Bagaimana pula dengan minumannya? Juga menjadi daya penarik kedai ini, anda mesti mencuba sama ada green tea, kopi mocha atau kopi Vietnam. Memang padu rasanya!
Alamat: 57, Laluan Jelapang Selatan, Taman Kledang Permai, 30020 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (7.45 pm – 12.00 pm) | Selasa (Tutup)
17. Eight Miles Burger Banjir
Cara burger dihidangkan di Eight Miles Burger Banjir ini memang unik. Tapi keunikan inilah yang memaksimakan keenakan burgernya. Setiap hidangan burger dibanjiri dengan sos black pepper yang sangat sedap. Bukan setakat burger ayam dan daging lembu, burger rusa dan arnab pun ada!
Selain burger, makanan lain yang boleh dicuba adalah fish & chips, breaded chicken chop (ayam digoreng dengan serbuk roti), lamb chop dan full tank (gabungan daging burger, fries, coleslaw, sosej, red bean dan telur). Dengar pun dah kenyangkan? Apatah lagi bila menikmatinya sendiri, memang sesuai untuk dilawati ketika perut menggerodak kelaparan.
Alamat: Kampung Melayu, 31250 Tanjung Rambutan, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.30 pm – 12.30 am) | Selasa (Tutup)
18. Restoran Fuziah
Bila melihat kemeriahan kedai makan, mesti ada yang akan tertanya-tanya, “Apa yang bestnya?” Beginilah suasana Restoran Fuziah hampir setiap hari.
Restoran ini yang turut dikenali sebagai Restoran Nasi Ayam Pasar Bulat adalah sebuah kedai makan yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk Ipoh sejak dari tahun 1980-an lagi.
Seperti yang anda dapat teka, masakan terhangat di sini adalah nasi ayamnya yang dihasilkan dengan menggunakan beras wangi berserta minyak lemak ayam. Manakala ayamnya pula digoreng sehingga garing serta dicampurkan dengan sos soya untuk melahirkan rasa manis. Nak tahu betapa enaknya nasi ayam ni? Sampai sahaja di Ipoh nanti, terus singgah ke sini ya?
Alamat: No. 78, Jalan Mustapa Al-bakri, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.30 am – 10.30 pm)
19. Restoran Warteg Ipoh
Restoran Warteg Ipoh adalah sebuah warung moden yang menawarkan pelbagai jenis hidangan inspirasi masakan Indonesia.
Menu wajib dicuba di sini adalah masakan jawa ala shellout ketam raja dan udang karang yang memang superb rasanya, seafood yang digunakan cukup segar.
Hidangan lain yang tidak kurang hebatnya di sini adalah kacang pol dan nasi uduk. Tak terasa nak makan masakan Jawa? Pilihan masakan baratnya juga agak pelbagai dengan hidangan seperti chicken chop, seafood linguine, chicken grill dan banyak lagi.
Alamat: 73, Jalan Raja Musa Aziz, Kampung Jawa, 30300 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (4.00 pm – 1.00 am)
20. Char Kuey Teow Abang Sayang
Char Kuey Teow Abang Sayang bukanlah seperti kedai char kuey teow biasa yang pernah anda cuba, di sini anda dapat menikmati makanan di bawah langit malam sambil dihiburkan dengan persembahan live muzik.
Yang menarik di sini bukan hanya suasananya, tapi juga kerana kesedapan menu utama yang menjadi nama kedai ini, char kuey teownya yang dikatakan menggunakan kuah special dan tidak lokek dengan udang yang besar. Sebaik rasanya mencecah lidah, anda tak akan teringat lagi char kuey teow lain.
Hidangan enaknya tidak terhenti di situ, ramai juga yang jatuh cinta dengan menu lain yang ditawarkan kedai ini seperti nasi ayam, sate dan sup dagingnya.
Alamat: 25, Jln Meru Bestari A14, 31200 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 1.00 am) | Selasa (Tutup)
21. Canning Dim Sum
Canning Dim Sum adalah sebuah restoran yang menghidangkan dimsum halal untuk para peminat masakan Cina yang beragama Islam. Bukan sedikit, tapi lebih daripada 50 pilihan dimsum ditawarkan di restoran ni!
Tak tahu nak order apa? Salah satu dimsum yang best untuk dicuba adalah dimsum 5 rasa, Lau Sa Pau yang menggabungkan telur asin, teratai, bijan hitam, keladi dan coklat.
Jangan lupa untuk mencuba kopinya juga ya? Aroma kopi kedai ini cukup menggoda dan sangat kaya dengan kelazatan.
Bila makanan dah tiba di meja, anda boleh menikmatinya dalam keadaan yang sangat selesa memandangkan kedainya lengkap dengan pendingin hawa. Dekorasi dalamannya juga cukup menarik pandangan mata.
Alamat: 1, Lebuh Cecil Rae, Taman Canning, 31400 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (6.30 am – 2.30 pm) | Rabu (Tutup)
22. David’s Diner
Tersangatlah lazat! Sekali cuba, anda tak akan pandang kedai makan western lain lagi, begitulah hebatnya penangan David’s Diner. Bukan hanya menu utamanya, berdasarkan maklum balas, rata-rata pengunjung mengatakan hampir kesemua yang ditawarkan di dalam menu memiliki rasa yang sungguh lazat.
Antara menu yang tak patut anda lepaskan dari merasa adalah t-bone steak, mozarella cheese burger dan the Manhattan Club sandwich. Untuk airnya pula, anda patut mencuba jus oren, jus belimbing atau jus tembikai susunya.
Alamat: B-G-1, Persiaran Greentown 7, Pusat Perdagangan Greentown, 31350 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 10.30 pm)
23. Assam House Restaurant
Terletak di Medan Gopeng adalah sebuah restoran yang menghidangkan makanan dengan keenakan yang mengalahkan hotel 5 bintang. Tak percaya? Singgahlah ke Assam House Restaurant dan cuba sendiri.
Tapi apa yang bestnya di restoran ni? Sangat banyak, dari ikan asam, masakan sotong dan petai, kari, ayam pandan dan bermacam-macam lagi, hampir kesemuanya memiliki rasa yang sukar ditandingi kedai makan lain.
Buktinya, kedai ini mendapat liputan yang cukup meluas dalam media massa seperti RTM, Jalan-Jalan Cari Makan TV3, NTV7, 8TV, Astro, Era, Majalah Rasa, Utusan dan banyak lagi.
Alamat: 2, Medan Gopeng, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (11.30 am – 3.00 pm & 6.00 pm – 10.30 pm) | Isnin (Tutup)
24. Restoran Bintara Ampang Ipoh
Menawarkan pelbagai pilihan makanan, Restoran Bintara Ampang Ipoh adalah umpama ‘one stop center’ untuk segala hidangan yang dapat membahagiakan deria rasa.
Dari masakan Melayu hinggalah barat, antara menu yang perlu anda nikmati adalah beef steak, lamb chop, pasta, roti john, nasi ayam penyet, pecal leleh dan banyak lagi.
Alamat: Jalan Sri Ampang 2, Kampung Sri Ampang, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 am – 12.00 pm)
25. Mee Kari Kak Yah
Salah satu hidangan kegemaran ramai adalah mee kari. Kalau mee kari biasa pun dah sedap, apatah lagi sekiranya anda cuba mee kari dari restoran yang memiliki reputasi hebat seperti Mee Kari Kak Yah di Ipoh ni.
Kesedapan yang tak terkata dengan aroma yang sungguh mengasyikkan, anda dapat merasakan perbezaan mee kari ini daripada kedai makan lain, cukup sedap!
Selain mee kari, masakan lain seperti nasi dagang, char kuey teow, dan murtabak, tak kurang enaknya. Hanya yang terbaik dihidangkan di sini.
Alamat: 12, Jalan Jelapang Selatan 1, Taman Keledang Jaya, 30100 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (6.30 am – 12.00 pm & 5.00 pm – 10.00 pm) | Isnin (Tutup)
26. Rojak dan Cendol Padang Ipoh
Dah puas menikmati bermacam makanan berat di restoran-restoran viral yang tak terkira banyaknya di sekitar Ipoh ni? Apa kata kalau anda singgah pula ke kedai Rojak dan Cendol Padang Ipoh untuk merasai hidangan pencuci mulut.
Antara dessert yang dihidangkan di sini adalah cendol durian, rojak pasembor, cendol pulut, ais kacang dan lain-lain lagi. Betapa sedapnya kesemua menu yang ditawarkan sampai tak sedar dah bermangkuk-mangkuk dicuba. Hati-hati ya?
Alamat: 17, Jalan Tun Sambanthan, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 8.00 pm)
27. Restoran Saffani
Restoran Saffani adalah antara kedai masakan Melayu di Ipoh yang menjadi pilihan rancangan Jalan-Jalan Cari Makan.
Apa istimewanya kedai makan ni dengan kedai lain? Untuk pengetahuan anda, restoran ini dimiliki oleh seorang chef yang pernah menjadi tukang masak di hotel. Sebagai bekas chef hotel, sudah semestinya, rasa makanan yang dihidangkan diberikan perhatian yang tinggi.
Buktinya dapat dilihat daripada komen-komen positif yang banyak diberikan oleh mereka yang pernah merasa masakan di sini.
Antara menu yang boleh dicuba adalah seperti kari kambing, ikan keli bakar yang dimasak dengan kuah special, ayam bakar, kari kepala ikan dan banyak lagi.
Alamat: 54, Persiaran Pulai Baru 2, Taman Muda, 31300 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (6.30 am – 4.00 pm) | Jumaat (Tutup)
28. Zul Yahya Steamboat
Masihkan anda ingat pelakon komedi Zul Yahya yang pernah popular suatu ketika dulu? Tertanya-tanya ke mana perginya sekarang? Kalau anda nak tahu, pelakon ini kini giat menguruskan perniagaan kedai makan yang makin meriah dilawati orang ramai, Zul Yahya Steamboat yang terletak di Bandar Meru Raya.
Mendapat rating lebih daripada 4 bintang daripada 200 lebih review, kedai makan ini adalah salah satu tempat santapan yang perlu anda singgah kalau datang ke Ipoh.
Di sini anda boleh menghilangkan lapar dengan hidangan buffet bbq serta steamboat yang sungguh menyelerakan. Sambil menikmati makanan, anak-anak juga boleh berseronok dengan permainan yang disediakan di ruang santai.
Berminat untuk datang ke sini? Sebaiknya anda membuat tempahan awal untuk mengelakkan masalah ketika mencari tempat duduk kosong.
Alamat: 1, Jln Meru Bestari A8 , Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (4.00 pm – 12.00 am)
Banyak sekali kedai makan yang best dekat Ipoh ni kan? Dah jumpa kedai yang anda teringin nak cuba?
Tak perlulah anda pening kepala mana nak makan kalau bercuti di Ipoh nanti, rujuk sahaja artikel ni. Kalau diikutkan memang banyak lagi kedai makan best lain di sekitar Ipoh, namun semua yang tersenarai dalam Tempat Makan Menarik di Ipoh ini adalah antara yang terbaik berdasarkan rating dan review.
Macam mana? Makin membuak-buak perasaan nak bercuti ke Ipoh kan? Apa-apa pun, rancang perjalanan anda sebelum ke Ipoh sebaik yang mungkin untuk mengelakkan daripada bersesak-sesak dengan pelancong yang lain ya? Selamat berjalan-jalan cari makan di Ipoh!
Baca: 14 Hotel Menarik Di Ipoh Untuk Pengalaman Menginap Luar Biasa