Hantu Papan
Ingat MS ni terus berani ke bila berdepan dengan ‘hantu’? Idok weh… Jeli juga lah kaki saya ni…
Sebelum saya teruskan penceritaan, marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ibu Alin Makcik Zaharah yang baru meninggal dunia beberapa bulan yang lalu…
Setiap orang mesti ada kisahnya yang tersendiri. Kisah bertemu dengan makhluk yang dipanggil ‘hantu’. Sama juga seperti saya. Kisah ni adalah kisah sebelum saya menjadi betul-betul berani setelah saya tahu apa itu jin.
Sebelum kakak diserang histeria, saya juga berani orangnya. Mungkin sebab masa itu Indera dan Seri masih bersama saya. Mungkin juga sebab saya tak pernah jumpa atau lihat rupa yang buruk-buruk lagi kerana waktu itu hijab saya tidak terbuka sepenuhnya.
Selepas Indera dan Seri meninggalkan saya diusia saya 7 tahun, saya mula menjadi penakut dan lebih teruk selepas kejadian kakak diserang histeria. Daripada situlah hijab saya sedikit demi sedikit terbuka yang membolehkan saya melihat rupa yang buruk dan menakutkan. Tanpa berceloteh panjang lebar mari saya ceritakan beberapa pengalaman saya berjumpa dengan ‘hantu’.
Kisahnya bermula disini. Petang tu saya dan Alin adik beradik bermain sorok-sorok di sebuah sekolah lama di kampung saya. Sekolah tu dipenuhi dengan papan dan kayu yang tersusun. Biasanya di situ kami akan bermain cikgu-cikgu sebab ada peninggalan papan hitam dan saki baki kapur tulis dalam pelbagai warna.
Pada petang kejadian tergerak hati nak main sorok-sorok sebab rasa macam bosan lah pulak asyik main cikgu-cikgu saja. Alin adik beradik pun setuju. Seperti biasalah saya orang pertama yang akan mengira sebab selalu kalah dalam latalilat lali tam plom.
Saya pun mula mengira dan mereka lari bersembunyi seperti tikus disergah selepas mencuri makanan. Bunyi derapan kaki mereka bertiga jelas kedengaran mencari tempat untuk bersembunyi. Selesai kira sehingga 20, saya pun mula mencari.
Hampir beberapa minit saya mencari, saya mula berasa bosan. Itulah kelemahan saya apabila bermain dengan kawan-kawan, cepat rasa bosan. Namun terpaksa teruskan juga permainan ini kerana bimbang mereka tidak mahu bermain dengan saya lagi sebab selalu ‘spoile’ kan ‘mood’ mereka untuk bermain.
“Alin… Saya nampak awak…” Ujar saya dengan riang apabila ternampak tali baju gaun Alin. Mungkin ikatan riben nya tercabut maka tali tersebut terjuntai di lantai.
Alin segera menarik tali tersebut. Saya ketawa dengan ‘kebijakkan’ Alin ketika itu.
“Alin tak payah lah awak tarik tali tu saya dah nampak…” Ujar saya sambil berjalan mendekati Alin yang masih bersembunyi di balik papan yang disusun menyerupai kotak kayu.
Memang menjadi syarat bermain. Selagi orang yang mencari tidak sentuh orang yang dicari selagi itulah tidak dikira sebagai jumpa.
“Daaaa…” Sergah saya sekuat hati sambil menepuk tangan.
Kosong!! Alin tiada disitu. Jika bukan Alin, tali baju siapakah yang saya nampak tadi? Saya tunduk sedikit untuk mengintai di ruang bawah lapisan papan. Ruang itu tidak lah besar mana pun, tetapi setakat badan Alin yang kurus melidi tu muat jer jika nak menyelit di situ.
Saya pun meniarap untuk mengintai lebih rapat di celah ruangan tersebut. Tidak puas dengan itu kerana celah susunan papan itu agak gelap saya masukkan sedikit kepala saya kedalam sambil meraba-raba untuk menyentuh Alin dan memanggil namanya.
“Aaaliinnn… Saya dah nampak awak tadi. Keluar lah…” Marah saya sebab terpaksa menghidu bau tikus m**i.
Tiba-tiba ada mata merah dengan senyuman yang menyeringai memandang saya. Saya yang terkejut itu cuba mengelak kerana tangannya yang berkuku tajam itu cuba untuk menarik saya masuk. Mujur saya cepat keluarkan kepala saya daripada celahan papan itu dan berguling ke tepi. Tangan berkuku panjang itu kembali masuk ke celahan papan kerana tidak dapat mencapai tubuh saya walaupun kukunya berjaya menggores bahu saya.
“Lariii tempat ni ada hantu…”
Saya yang tidak berfikir panjang itu menjerit nama Alin dan adik-adiknya dengan sekuat hati sambil merangkak keluar daripada bangunan sekolah lama tersebut. Kenapa saya merangkak? Sebab kaki saya dah jeli, lembik dan tidak mampu berdiri sebab berasa takut yang amat.
Sepantas kilat mereka keluar daripada tempat persembunyian. Alin membantu saya berdiri lalu kami berlari sekuat hati. Jeritan saya itu bukan sahaja Alin dan adik-adiknya yang lari malah seisi pejabat bangunan bersebelahan juga turut keluar untuk melihat apa yang sedang belaku.
Setibanya di rumah Alin, Alin bertanya hantu apa yang saya nampak. Saya jawab hantu papan… Masa tu memang main taram jer lah nama pun budak… Mereka tidak percaya, lalu saya tunjukkan kesan calar di bahu saya. Ada 3 calar seperti di cakar kucing. Ada ke patut mereka ajak saya ke sana lagi untuk tengok sendiri hantu papan tu. Gila apa… Memang tak lah saya nak bawa .
“Kau nak pergi, pergi sendiri jangan lupa bawa AL Quran..” Jawab saya sambil menonong balik sebab geram mereka tak percayakan saya.
Bila saya kenangkan peristiwa itu rasa nak gelak pun ada. Dah kenapa disuruh bawa Quran… Buatnya betul-betul mereka pergi, boleh ke dengan tunjukkan AL Quran jer hantu tu akan lari… Nasib baik mereka tak pergi .
Buat pencerahan pembaca, di kampung saya ada bangunan lama yang pernah menjadi sekolah. Ada 3 bangunan semuanya. Satu telah menjadi tempat saya dan kawan-kawan bermain, satu lagi telah di jadikan sebagai pejabat urusan kerajaan dan satu lagi jadi rumah guru. Jadi memang tidak jadi masalah lah jika kami bermain disitu asalkan tidak membuat bising.
Sejak peristiwa itu, lama juga lah saya dan kawan-kawan tidak bermain di situ. Tetapi selepas semua dah reda, biasalah budak-budak kan, kami kembali bermain lagi dengan syarat jangan bising seperti haritu
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit