Kota Kinabalu merupakan ibu negeri Sabah yang cukup terkenal dan sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Bukan sahaja unik dengan keindahan alam semula jadinya malahan Kota Kinabalu sememangnya kaya dengan adat dan budaya masyarakat Sabah.
Disebabkan kepelbagaian dan variasi etnik dan kaum di Sabah, terdapat banyak tempat makan menarik untuk dikunjungi sekiranya anda berkunjung ke sini terumatanya makanan laut. Mari kami kongsikan antara tempat makan menarik di Kota Kinabalu wajib singgah yang perlu anda terokai.
25. Kampung Nelayan (Floating Seafood Market Restaurant)
Restoran ini cukup unik dengan berkonsepkan Minangkabau dan dibina seakan-akan berada di dalam kapal, anda pasti teruja menikmati hidangan sambil ditemani dengan suasana yang cukup mendamaikan.
Apa yang lebih menarik ialah, selain makanan lautnya yang segar, dimasak dengan pelbagai jenis lauk pilihan anda, sama ada ala buffet atau hidang, anda akan dihiburkan dengan tarian tradisional pada setiap malam bermula jam 7.45pm. Amat sesuai untuk membawa keluarga ataupun rakan-rakan untuk makan besar sambil mengeratkan lagi silaturrahim.
Alamat: Taman Tun Fuad, Bukit Padang, P.O Box 23004, 88790 Luyang
Waktu Operasi: Setiap hari (730am – 2pm, 630pm – 11pm)
24. Lave KK Burger Bakar
Senang saja kalau anda mengidam makanan ala western ketika berkunjung di Kota Kinabalu. Cubalah sendiri kelazatan makanan ala barat di Lava KK Burger Bakar ini.
Tentunya hidangan burger bakar sudah menjadi buah mulut dan bualan masyarakat setempat. Ini kerana burger yang dihidangkan merupakan 100% daging tulen patti yang dibuat sendiri oleh chef berpengalaman.
Dalam pada anda menikmati keenakan burger yang merupakan signature dish disini, cubalah juga hidangan western lain yang turut popular seperti Grill Chicken, Chicken Chop, Meatball, Fish & Chip dan banyak lagi.
Selain itu, suasana restorannya yang dihias kemas dan bersih tentu menjadikan suasana makan anda sekeluarga tenang dan seronok.
Alamat: 88, Market Place Austral, Kepayan, Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (11am – 11pm), ditutup pada hari Isnin
23. D’Place Kinabalu
Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman makan di dalam suasana berlatar belakangkan hiasan buluh yang cukup sinonim dengan adat masyarakat Kadazadusun di D’Place Kinabalu. Bukan itu sahaja, anda pasti teruja untuk menerokai hidangan esotik yang dihidangkan seperti ulat sago atau butud.
Jangan bimbang, pelbagai lagi hidangan menarik yang ada seperti The Famous Ambuyat set dan sekiranya anda keliru, pelayan yang mesra tentu dapat membantu anda untuk mendapatkan pilihan makanan yang menarik mengikut citarasa anda. Restoran ini turut mempersembahkan tarian tradisional masyarakatnya sebagai hiburan buat para tetamu. Rugi kalau tak cuba!
Alamat: Lot 2.01 & 2.02, Tingkat 2, Plaza Shell, Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Isnin (6pm – 10pm),Selasa (11am – 4pm, 6pm – 10pm),Rabu – Jumaat (11am – 4pm, 6pm – 930pm), Sabtu – Ahad (1130am – 10pm)
22. Borenos Fried Chicken
Pasti tempat makan ini menjadi tumpuan anda, penggemar ayam goreng ala KFC. Kalau di Sabah, Borenos Fried Chicken tentunya cukup popular dengan hidangan ayam gorengnya yang unik dan tersendiri. Malah, ada yang mengatakan bahawa kerangupan dan rasa rempah pada ayam yang digoreng lebih sedap berbanding KFC.
Hidangan lain seperti burger dan Fish & Chips juga turut menjadi pilihan pelanggan yang berkunjung ke sini. Restoran ini dibuka 24 jam, jadi anda boleh menjamu selera bersama rakan ataupun keluarga pada bila-bila masa saja.
Alamat: Lot G23, Ground Floor, Star City North Complex, Jalan Asia City, 88000 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap hari (24 jam)
21. Todak Waterfront Seafood Market
Tempat makan ini boleh dikatakan sebagai syurga makanan laut. Berkunjunglah kesini untuk menikmati pelbagai jenis hidangan makanan laut yang segar dan bersaiz besar pada harga yang cukup berpatutan.
Sebagai contoh, lobster disini tentunya murah berbanding yang boleh anda dapati di Semenanjung, jadi jangan lepaskan peluang ini untuk menikmati hidangan tersebut sepuasnya.
Persekitarannya yang berdekatan dengan laut menjadikan suasana makan malam anda begitu romantis ditemani pemandangan matahari terbenam. Pasti seronok menjamu selera hidangan lazat sambil ditemani keluarga atau rakan-rakan.
Alamat: Jalan Tun Fuad Stephen, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap Hari | Jumaat (12am- 12pm) | Ahad (12am- 12pm, 5pm-12am) | Selasa-Khamis (5pm- 12am)
20. Mahshawi Grill Nasi Arab
Berita baik buat penggemar masakan timur tengah, anda boleh menikmati hidangan ini di Mahshawi Grill Nasi Arab. Restoran ini terkenal dengan masakan arabnya yang kurang berminyak, sedap dengan kuantiti yang banyak pada harga yang berpatutan.
Anda boleh mencuba sendiri menu istimewa mereka seperti Lamb/Chicken Kabsah, Nasi Mandy ataupun kebab yang dihidangan panas. Sungguhpun hiasan dalamannya tidak mempamerkan konsep arabian, tetapi suasananya nyaman dan selesa menjadikan pengalaman makan anda tenang dan mengenyangkan.
Alamat: Bandar Sepanggar 1, 88400 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Khamis – Selasa (11am – 1030pm), kecuali hari Rabu
19. Warung Bandung Kepayan
Macam-macam makanan istimewa penuh variasi yang boleh anda cuba di Sabah ini, seperti di Warung Bandung Kepayan ini yang menjanjikan hidangan terbaik masakan asli Indonesia.
Menu popular disini ialah Nasi Ayam Penyet dan Ayam Panggang Berlado yang dihidangkan bersama nasi panas tentunya membangkitkan selera anda.
Sambalnya merupakan resipi istimewa pemilik restoran yang dikatakan pedas tetapi bertepatan dengan selera rakyat Malaysia yang tentunya cukup menggemari rasa pedas seperti ini. Jadi tidak hairanlah restoran ini dikunjungi ramai orang terutamanya pada waktu makan tengahari. Pastikan anda datang lebih awal untuk mendapatkan tempat dan membuat pesanan dengan segera.
Alamat: Tingkat Bawah Lot 4, Block C, Lintas Jaya Fasa 1, Jalan Penampang, 88300 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 10.30pm)
18. Brunei Satay House
Pemiliknya AG Shahril AG Ali berhasrat untuk memperkenalkan keunikan dan kelainan masakan Brunei khusus buat rakyat Malaysia melalui restoran ini.
Sekiranya anda berkunjung ke sini, tentunya anda kagum dengan keenakan satenya yang terdiri daripada daging, ayam ataupun kambing, dicecah bersama kuah kacangnya yang asli.resipi tradisional masyarakat Brunei.
Anda juga boleh memesan hidangan popular Brunei yang lain seperti Nasi Goreng Pulau Brunei, Kelupis, Kouchung, Ikan Ampap, Ambuyat dan banyak lagi. Tentunya pengalaman yang tidak mungkin anda dan keluarga lupakan.
Alamat: Taman Indah Permai, Jalan Sepanggar – Menggatal, 88450 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (11am – 10pm), Jumaat (1.30pm – 10.30pm)
17. Restoran D’Soka
Tidak puas hanya sekadar meneroka kebudayaan masyarakat Sabah, tetapi inginkan lebih dengan mencuba sendiri menu tradisional mereka, berkunjunglah ke Restoran D’Soka ini.
Uniknya, hidangan set yang dipesan dihidangkan menggunakan talam menampakkan lagi elemen tradisional dan ala kampung. Antara menu yang sering mendapat permintaan yang tinggi ialah seperti Ambuyat, Gulai Ikan, Kerabu Kerang, Sambal Ikan Masin, Sup Tulang, Daging Hitam Manis, disajikan bersama minuman terkenal Coconut Shake.
Suasana restorannya bersih dan cukup selesa, tentunya anda akan berpuas hati dengan harga yang ditawarkan setanding dengan kualiti makanan serta persekirannya yang ditawarkan.
Alamat: KM 17, Papar Highway, Kampung Laut Kinarut, 89600 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap hari (1030am – 11pm)
16. BTC Bistro Restaurant
BTC Bistro ini sebenarnya antara restoran ala mamak yang sangat terkenal di Sabah. Di Kota Kinabalu, cawangannya terletak di Heritage Plaza Luyang. Buat pengetahuan anda, BTC Bistro ini boleh dikategorikan sebagai mamak trendy atau mamak modern. Membawa menu dah pilihan hidangan yang sama seperti restoran mamak biasa tetapi suasana dan cara hidangan mereka lebih classy dan bergaya modern.
Menu popular di sini termasuklah nasi beriyani, nasi daun pisang, roti canai dan mee goreng ayam. Nasi Beriyani di sini agak istimewa kerana ada didatangkan dalam bentuk set di dalam talam untuk dinikmati bersama beberapa orang.
Nasi daun pisang di sini juga mempunyai pilihan vegetarian atau boleh dinikmati bersama sampingan protein seperti ayam, ikan, sotong dan lain-lain. Anda juga perlu mencuba roti naan yang mereka hidangan bersama ayam tandoori, memang sedap. Bukan itu sahaja, mereka turut bawakan makanan popular Penang seperti Laksa dan pasembur. Memang banyak pilihan di sini, sebab itulah ramai yang jadikannya tempat lepak.
Alamat: No.C27.1, C28.1, Plaza Heritage, Lorong Plaza Legenda, Taman Regent, 88300 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: 7am-11pm (setiap hari)
15. Kandi 5 Cafe
Restoran Kandi 5 Cafe di Metro town, menjadi antara kafe pilihan ramai di sekitar Kota Kinabalu. Restoran ini simple tetapi cukup menarik, kemas, bersih dan selesa untuk para pelanggan menikmati juadah yang mereka sediakan. Menu mereka yang pelbagai juga menjadi antara faktor mereka menjadi restoran pilihan ramai.
Makanan tempatan, Indonesia, western dan Timur tengah menjadi taruhan Kandi 5 Cafe ini. Macam-macam ada. Hidangan popular di sini ialah nasi ayam penyet yang mengikut resepi asli Indonesia. Untuk sarapan juga mereka Ada sediakan gado-gado dan soto.
Masakan tempatan kegemaran ramai seperti Nasi lemak, nasi berlauk, goreng-goreng, tomyam, semuanya ada di sini. Makanan western seperti grilled chicken chop, grilled lamb, fish and chips dan lain-lain menambahkan lagi pilihan dalam menu mereka. Jadi jika anda ingin dapatkan tempat yang selesa dan menu yang bervariasi, jangan lupa singgah ke Kandi 5 Cafe.
Alamat: Metro Town, Jln Lintas, 88300 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (10am-8pm) | Jumaat (2pm-8pm)
14. A-Square Container Night Market
Sekiranya anda mahukan sesuatu yang berlainan dengan variasi pilihan makanan daripada hidangan ala western hinggalah kepada masakan melayu, sajian berat yang mengenyangkan ataupun sekadar hanya ingin makan secara santai, A-Square Container Night Market merupakan pilihan yang tepat.
Disini disediakan pelbagai jenis masakan yang boleh anda pilih termasuklah dessert hipster , ala-ala medan selera. Tempat ini turut menjadi tumpuan pelanggan kerana anda akan dihiburkan dengan persembahan live band pada sebelah malamnya yang tentunya akan menjadikan suasana makan malam anda lebih menyeronokkan bersama yang tersayang.
Alamat: Api-api Centre, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (4pm-11pm)
13. Nook Café
Siapa kata Sabah hanya sekadar makanan tradisional dan kebudayaan semata-mata? Nook Café yang beroperasi berdekatan dengan bandar Kota Kinabalu ini mempunyai lokasi yang strategik untuk dikunjungi.
Malahan, konsep kafe yang mendamaikan dengan pilihan warna pastel sebagai tema utama kafe ini cukup menarik perhatian pelanggan. Disini, anda bukan sahaja boleh menikmati aneka pilihan kopi atau minuman hipster yang berkualiti tetapi juga boleh menjamu selera bersama hidangan ala barat yang ringan tetapi mengenyangkan.
Apa yang popular disini tentunya sajian waffle dan pancake yang boleh dipesan bersama pelbagai jenis topping yang menarik seperti buah-buahan atau coklat. Menariknya juga, di Nook Café, untuk set sarapan pagi, anda sendiri boleh menentukan hidangan apa yang hendak dipesan mengikut citarasa anda. Tunggu apa lagi? Jom cuba!
Alamat: 19, Lorong Dewan, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 11pm)
12. Anjung Senja
Bagi mereka yang menginap di Hotel Hard Rock Kota Kinabalu, tidak perlu berjalan jauh untuk menikmati hidangan makanan laut segar kerana Anjung Senja yang terletak berhampiran dengan tempat penginapan anda menjanjikan aneka pilihan hidangan laut yang segar dan sedap.
Di sini lebih menjadi tumpuan berbanding dengan Medan Selera Pasar Filipino kerana persekitarannya yang lebih bersih dan selesa. Seperti biasa, menu yang menjadi pilihan pelanggan disini tentunya hidangan laut yang pelbagai dimasak secara ala Thai. Bersesuaian dengan namanya, anda boleh datang kesini untuk menikmati keindahan matahari terbenam sambil menjamu selera.
Alamat: Jalan Tun Fuad Stephen, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (3pm-12pm) | Isnin (12am–12pm, 3pm-12am)
11. Kedai Makan Islamic
Jika rindukan suasana makan di Mamak, singgahlah di Kedai Makan Islamic ini tidak kira sama ada untuk makan pagi, tengahari ataupun malam. Apa yang menjadi viral disini ialah Roti Cobra yang cukup istimewa.
Hidangan ini merupakan roti canai yang dimakan bersama telur goreng goyang serta dibanjiri dengan kari ayam yang dimasak pekat. Anda juga boleh mencuba menu lain yang menjadi kegemaran ramai iaitu Mee Goreng Mamak.
Tidak hairanlah sekiranya restoran ini sering mendapat kunjungan pelanggan tidak kira luar dan dalam negara dan rata-rata mereka memberikan respon yang cukup positif. Rugi kalau tak cuba!
Alamat: Basement, S40, S41, Lorong Centre Point, Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 9.15pm)
10. Mee Tauhu Corner
Merupakan antara restoran wajib singgah sekiranya anda berkunjung ke Sabah. Rasakan sendiri keenakan asli Mee Tauhu makanan asli orang Tawau ini. Mee kuning digaul mesra bersama kicap manakala untuk kuahnya pula adalah hasil campuran tauhu yang dimasak bersama taucu.
Rasa masam dan kelainan pada hidangan ini tentunya memberikan pengalaman yang menarik buat anda. Selain itu, anda boleh juga mencuba set Nasi Kuning yang Cuma berharga RM5.00. Sungguh berbaloi!
Alamat: 88300 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Jumaat–Ahad (7am-8pm) | Isnin (6am–7.30pm) | Selasa (6-8.30pm) | Rabu-Khamis (6am-8pm)
9. The Warung Nasi Kuning Kepayan
Walaupun keadaan restorannya agak tersorok tetapi ianya bukan penghalang buat pelanggan setia The Warung untuk tetap berkunjung ke sini pada waktu sarapan pagi mahupun tengah hari.
Buat anda yang menggemari masakan nasi campur bagi memenuhi selera anda, berkunjunglah ke sini untuk menikmati menu istimewa Nasi Kuning dan Nasi Lalap yang dihidangkan bersama ayam goreng panas dimakan bersama sos istimewa.
Kombinasi resipi masakan tradisional Sabah dan Indonesia ini menjadikan restoran ini cukup unik tetapi ringkas. Sesuai buat kunjungan anda sekeluarga yang mahukan sesuatu yang santai tetapi mengenyangkan dengan harga yang berpatutan.
Alamat: Bangunan Koperasi Kepayan Berhad, Jalan Kepayan, 88200 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap hari (8am- 9pm) Sabtu (8am -2pm)
8. Kantin Bakut
Ini berita baik buat anda yang cukup gemarkan masakan ala Thailand terumatanya Tom Yam. Kantin Bakut menyediakan pelbagai hidangan Tom Yam sama ada dimakan bersama nasi ataupun mee. Selain itu, anda juga boleh memesan menu hidangan laut yang lain bagi memenuhi citarasa anda.
Antara yang digemari dan unik disini ialah seperti Sup ikan sayur masin, sup peria dan banyak lagi. Istimewanya lagi ialah, kopi yang dipesan dihidangkan di dalam botol kaca mengekalkan ciri tradisional masyarakat setempat. Rata-rata pelanggan cukup berpuas hati dengan harga setanding dengan kualiti makanan yang disediakan.
Alamat: KM28.7, Jalan Tuaran, Kampung Bakut, 89208 Tuaran, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (6.30am–3pm) kecuali Ahad dan Isnin
7. Kafe Abang J
Kafe ini merupakan antara salah satu tempat makan menarik yang wajib anda kunjungi sekiranya anda mengidam untuk makan hidangan ala western.
Baca: 25 Hotel Bajet Di Kota Kinabalu | Bilik Selesa Bawah RM200
Tempatnya cukup selesa bertemakan latar belakang berwarna hitam menonjolkan lagi konsepnya yang elegan tetapi masih santai.
Hidangan menarik disini ialah seperti masakan grilled ala western ataupun set hidangan masakan melayu seperti daging masak kicap, ayam masak black pepper dan ikan masak sambal. Pasti anda akan berpuas hati dengan saiz sajian yang besar pada harga yang cukup berpatutan. Tunggu apa lagi? Cepat cuba dan rasai sendiri kelazatannya!
Alamat: Lorong Dua Puluh 4, Bandaran Berjaya, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (11.30am-2pm / 6pm-10pm)
6. Restoran Happy Muslim II
Kalau hendak bersarapan pagi dengan hidangan yang sedap tetapi ringkas, cubalah Mee Rojak dan Soto Campur di restoran ini.
Bak kata orang, memang champion! Kuah rojaknya cukup pekat membuatkan anda tidak mahu berhenti makan manakala sup soto yang dihidangkan merupakan resipi asli dan direneh dengan sempurna.
Tentunya pagi anda akan lebih bertenaga dengan sajian daripada restoran Happy Muslim II ini.
Alamat: Block C, Lot 23, Ruang Singgah Mata 2, Kompleks Asia City, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (6am – 5pm)
5. Warung Pokdi Kelate
Jika rindukan masakan orang semenanjung, berkunjunglah ke Warung Pokdi Kelate ini yang menghidangkan pelbagai masakan melayu asli istimewa seperti Nasi Lemak, Nasi Dagang, Nasi Berlauk, Laksa Penang dan pelbagai lagi.
Selain itu, roti canai cheese dan kerang cheese juga merupakan menu wajib yang perlu anda pesan sekiranya anda berkunjung kesini. Persekitarannya agak sibuk tetapi hidangan lazatnya pasti membuatkan anda tidak jemu untuk berkunjung kembali ke sini.
Alamat: Sulaman Sentral, Sepanggar, 88450 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10am – 9pm)
4. Restoran Makanan Sedap
Bersesuaian dengan namanya, makanan yang dihidangkan disini tentunya sedap-sedap belaka. Sungguhpun diasaskan oleh orang bukan beragama Islam tetapi restoran ini mendapat kelulusan halal daripada JAKIM, jadi anda tidak perlu meragui status hidangan disini.
Restoran berkonsepkan mewah dan elegan ini menjanjikan sajian yang menarik seperti Claypot Fish Head, Honey Lamb, Soft Shell Crab dan masakan ikan kukus. Sungguhpun harganya agak mahal tetapi kualiti makanan dan persekitaran yang disediakan cukup berbaloi dan berpatutan. Apa salahnya berbelanja sekali sekala bersama keluarga dan yang tersayang.
Alamat: No. 1-0-1, Block B, Lot 20, Kolam Centre Fasa 2, Jalan Lintas, 88300 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap hari (12am – 12pm, 5pm – 12am)
3. Steamboat Bakar Kota Kinabalu
Kesedapan dan keenakan makanan disini memang tidak dapat dinafikan, apatah lagi anda diberi kebebasan untuk memilih pelbagai jenis hidangan makanan laut dan bahan steamboat yang banyak pasti menjadikan makan malam anda cukup mengenyangkan.
Setelah puas menikmati hidangan steamboat, anda juga boleh mencuba pelbagai pemanis mulut seperti ais krim, cendol, ABC, buah-buahan sebagai pelengkap makan malam anda. Fasiliti seperti surau awam juga turut disediakan menjadikan keadaan di restoran ini cukup santai dan menenangkan.
Alamat: Taman Mat Salleh Phase 2, 88200 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (5.30pm- 11pm)
2. Asia Rasa Café
Restoran hasil buah fikiran pemiliknya, Watie, menengenengahkan konsep sajian ala masakan kampung yang digabungkan atau fusion bersama makanan tradisional negara asia yang lain.
Beroperasi semenjak tahun 2011, restoran ini sudah berjaya mendapat pelanggan setia yang sememangnya gemarkan hidangan disini dan tidak putus-putus berkunjung untuk menjamu selera.
Bukan sahaja masakan kampungnya yang pelbagai, iaitu sebanyak 50 sajian lauk pauk, tetapi cara hidangan yang dipamerkan juga cukup menarik. Anda pasti tidak akan rugi membawa keluarga atau rakan-rakan untuk makan secara ala buffet disini kerana harga yang dikenakan juga cukup berpatutan, malahan promosi juga kerap diadakan. Jadi, jangan lepaskan peluang anda ya!
Alamat: D-0-3, Lorong Capital, Sabah, 88400 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (7.30 a.m – 9.00 p.m)
1. October Coffee
Bosan juga kalau asyik disogokkan dengan masakan-masakan tempatan di sekitar Kota Kinabalu ini bukan? Anda tidak perlu risau, untuk mencari kelainan dan lari sebentar daripada kebiasaan, anda bolehlah berkunjung ke October Coffee House ini. Kafe yang sungguh cantik berlatar belakangkan ranting dan kehutanan menjadikan suasana di dalam kafe ini cukup rustic dan kontemporari.
Sambil-sambil bersantai merehatkan minda, anda boleh juga mencuba pelbagai hidangan pemanis mulut hipster yang menjadi olahan kreatif pemilik restoran. Yang paling utama tentunya minuman kopinya yang asli dan dibrew secara langsung.
Menu paling istimewa pula ialah French Toast dan sandwiches yang ringkas tetapi mengenyangkan. Rugi kalau anda lepaskan peluang ini!
Alamat: 13, Lorong Dewan, Pusat Bandar, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap hari (10.30am- 12am)
Begitulah sedikit sebanyak perkongsian tentang tempat makan menarik di Kota Kinabalu yang boleh anda kunjungi sekiranya anda ke sana nanti.
Bandar ini tentunya menjanjikan pelbagai pengalaman yang menarik terutamanya dari segi sajian makanan yang dihidangkan sesuai buat anda yang suka mencuba sesuatu yang agak berbeza daripada kebiasaan.
Rancangan percutian anda dengan baik supaya segala keseronakan yang dijanjikan di Kota Kinabalu tidak terlepas begitu saja. Selamat bercuti!