Banting, tarikannya bukanlah sekadar Pantai Morib, namun sebenarnya lebih dari itu. Selain tarikan alam semula jadinya, Banting turut menyimpan banyak tarikan lain yang menunggu-nunggu kedatangan anda sekeluarga.
Dari destinasi-destinasi yang diulit sejarah, kedai makan dengan menu yang mengiurkan hinggalah ke kedai buku komik yang murah bukan kepalang, sungguh banyak sekali untuk dilihat dan dinikmati di Banting ini.
Bagi anda yang duduk di bandar yang berdekatan dan sudah puas meneroka tarikan yang urban, tidak perlu meneropong destinasi yang jauh dari tempat tinggal anda, datang sahaja ke Banting untuk mendapatkan angin yang berbeza.
Apa yang menariknya di Banting ini? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai lokasi-lokasi yang tak kurang hebatnya ini dengan destinasi pelancongan terkenal yang lain.
17. Pantai Morib
Bagi mereka yang tinggal di KL ataupun Selangor, inilah salah satu pantai yang menjadi kegemaran untuk dilawati di hujung minggu bersama keluarga tersayang. Kemudahan yang disediakan di Pantai Morib ini cukup lengkap antaranya adalah surau, tandas awam, medan selera, laluan pejalan kaki dan taman permainan kanak-kanak.
Dataran untuk berjalan kaki yang berbata di Pantai Morib ini berkepanjangan dalam sekitar 400 meter, bolehlah anda berjalan menikmati pemandangan dan bunyi air laut dengan sepuas hati.
Sekiranya dah penat berjalan, anda boleh berehat-rehat di pondok-pondok yang tersedia di sini. Waktu yang paling menarik untuk ke sini adalah ketika waktu matahari terbenam kerana pemandangannya cukup memukau. Tidak hairanlah ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menikmati pemandangan ini.
Alamat: Pantai Morib, Morib, 42700 Banting
16. Tadom Hill Resort
Tiada apa yang lebih baik daripada menghabiskan masa lapang atau waktu cuti dengan memacu adrenalin sambil bersatu dengan alam semula jadi. Jika di Banting, Tadom Hill Resort adalah destinasi yang paling tepat untuk anda mendapatkan keseronokan beraktiviti lasak sambil menikmati udara segar.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah seperti bergayut seperti tarzan dan terjun ke dalam tasik, berakit, abseiling, flying fox, ATV, bermain permainan papan, bola jaring dan macam-macam lagi. Tidak puas sehari berseronok di sini?
Anda boleh menginap di bermacam jenis penginapan yang disediakan dari pondok buluh hinggalah ke hammock. Satu pengalaman yang pasti tidak akan dapat dilupakan!
Alamat: Tadom Hill Resort, Kampung Labohan Dagang, 42700 Banting
Waktu Aktiviti: 9.00am – 6.45pm
15. Bukit Jugra
Bukit yang berketinggian 400 kaki ini, Bukit Jugra menawarkan pemandangan yang begitu indah mengasyikkan jiwa. Dari puncak bukit ini anda dapat melihat pertemuan antara Lautan Selat Melaka dengan Sungai Langat.
Bagi anda yang berjiwa fotografi, jangan melepaskan peluang untuk ke sini. Untuk pengetahuan anda juga, angin dari kawasan bukit ini agak kuat membuatkan ia cukup terkenal dalam kalangan peminat aktiviti lasak paragliding.
Bagi anda yang tidak berani berparagliding, aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah menerokai hutan simpan Bukit Jugra yang tidaklah segerun paragliding.
Alamat: Bukit Jugra, 42700 Banting
14. Paragliding Bukit Jugra
Rasai aktiviti ekstrem yang menaikkan adrenalina anda di Banting dengan melakukan Paragliding Bukit Jugra. Bukit Jugra yang berketinggian 12 meter dari aras laut menjadi satu spot strategik untuk menjalankan aktiviti ini disamping memiliki panorama Selat Melaka berbentang luas di hadapan anda.
Pakej yang diberi hanya rm250 seorang bagi satu penerbangan. Pakej ini meliputi peraturan udara, kelengkapan paragliding, penerangan keselamatan, pengangkutan ke lokasi berlepas dan kamera aksi gopro atau kamera 360.
Tidak hanya merasai debaran berlepas dari puncak Jugra, anda juga boleh merakam kenangan ini dengan kamera Gopro. Tiada Gopro? Jangan bimbang kerana urusetia akan menyediakan kamera gopro yang termasuk dalam pakej penerbangan. Untuk kamera 360 pula, anda perlu menambah bayaran RM60 jika masu menggunakan peranti ini.
Memang seronok beraktiviti di sini. Tetapi aspek keselamatan menjadi keutamaan urusetia. Anda akan diberi penerangan sebelum berlepas. Anda juga wajib mengikuti arahan keselamatan sepanjang aktiviti, dan boleh terbatal jika anda enggan berbuat demikian. Jika keadaan angin tidak sesuai (seperti terlalu kuat), aktiviti ini juga terpaksa dibatalkan. Walau bagaimanapun, anda boleh bertukar jadual ke waktu lain yang lebih selamat. Sebab itu sebelum berniat untuk melakukan paragliding, anda perlu menempah slot dan patuh pada jadual yang diberikan.
Lokasi: Jalan Bukit Jugra, Jugra Lama, 42700 Banting, Selangor
Waktu operasi: Mengikut jadual tempahan
Harga tiket:
- RM250 seorang
- Tambahan RM60 untuk kamera 360
- Deposit RM100 untuk membuat tempahan
13. Istana Bandar
Dibina pada tahun 1905, Istana Bandar adalah sebuah istana yang telah dibina dengan sentuhan peribadi Sultan Alauddin Riayat Shah sendiri. Baginda merupakan Sultan Selangor yang ke-5 yang memerintah dari tahun 1898 hingga ke 1938.
Bangunan istana dua tingkat ini dihiasi dengan potret keturunan keluarga diraja pada dindingnya. Dari bahagian luar pula dapat dilihat seni bina gabungan pengaruh Melayu, Eropah, China, Timur Tengah dan India.
Alamat: Istana Bandar, Kampung Sungai Ingat, 42700 Banting
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)
Bayaran: Percuma
12. Kedai Kerepek (Fazz Enterprise Kerepek House)
Kerana banyak sekali tanaman ubi dan pokok pisang di daerah Banting ini, maka sudah semestinya menyebabkan meriahnya industri kerepek di sini sehingga wujudnya kedai-kedai yang menjual kerepek.
Siapa tak suka kerepek yang rangup dimakan dan boleh dinikmati bila-bila masa ini? Untuk pengetahuan anda, salah satu kedai kerepek yang hot di Banting ini adalah Fazz Enterprise Kerepek House. Rugi kalau ke Banting tidak singgah ke sini baq hang! Beli banyak-banyak, mana tahu kalau dapat diskaunkan?
Alamat: Fazz Enterprise Kerepek House, Kampung Kanchong Darat, Banting
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 9.30pm)
11. Makam Sultan Abdul Samad
Bagi anda yang dalam perjalanan untuk ke Bukit Jugra itu, singgahlah terlebih dahulu ke Makam Sultan Abdul Samad. Baginda merupakan Sultan Selangor yang ke-4 yang memerintah negeri ini dari tahun 1857 hinggalah ke tahun 1898.
Sampai sahaja di kawasan makam ini anda akan terlihat bangunan berwarna kuning yang berbentuk persis sebuah masjid.
Makam Sultan Abdul Samad adalah sebuah makam yang cukup indah berlatar belakangkan pokok-pokok yang mekar hijau. Makam baginda terletak di dalam bangunan ini, manakala makam isteri, anak serta cuci dan cicitnya pula terletak di bahagian luar.
Alamat: Makam Sultan Abdul Samad, Bukit Jugra, Jugra, Banting
10. Pantai Kelanang
Pantai Kelanang adalah pantai berpasir putih yang terletak di sebalik pohon-pohon bakau. Jika anda ingin memancing untuk mendapatkan hasil laut yang segar, anda boleh menyewa bot yang terdapat di sini. Memang syoklahkan memancing sambil merasai bayu laut.
Kalau bernasib baik, dapatlah anda menikmati hasil tangkapan di tepi pantai yang berangin ini. Namun begitu, air laut ini tidak begitu sesuai untuk dijadikan tempat bermandi-manda kerana ia agak berselut.
Alamat: Pantai Kelanang (GPS: 2.78946, 101.41217), Banting, Kuala Langat
9. Dataran Banting
Dataran Banting merupakan tempat riadah yang baru sahaja dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan baru. Antara yang masih segar di sini adalah trek berjogging dan pentas yang berbumbung. Ingin mencuba kemudahan ini sementara masih baru? Bercutilah ke Banting cepat-cepat ya.
Alamat: Dataran Banting, Taman Budiman, 42700 Banting
8. Restoran Tawaqal
Tak sah kalau melancong ke mana-mana tanpa mencuba makanan terkenalnya bukan? Kalau anda nak tahu, Banting ini sebenarnya agak popular dengan mee rojak dan cendolnya. Sekiranya anda ingin mencuba resepi yang terbaik bagi makanan-makanan ini, anda sekeluarga mesti singgah ke Restoran Tawaqal.
Menu lain yang boleh dicuba di sini adalah roti canai dengan kari dagingnya, memang menjilat jari! Sudahlah sedap, suasana kedai ini juga agak nostalgia, mana tidaknya, restoran ini sudah wujud di Jalan Sultan Abdul Samad sejak tahun 1941 lagi! Di mana nak cari kedai yang memiliki nilai antik sebegini?
Alamat: 287-315, Jalan Sultan Abdul Samad, Taman Seri, 42700 Banting
7. Kampung Endah
Ingin mendapatkan hasil laut yang segar tanpa perlu turun ke laut sendiri? Jom ke perkampungan nelayan Kampung Endah.
Jika anda sekeluarga ke sini, dapatlah anda melihat kehidupan seharian masyarakat di sini yang antaranya sibuk membetulkan jaring menangkap ikan dan melimpahkan hasil laut yang berjaya didapati.
Alamat: Kampung Endah, Banting
6. Rumah Dato’ Haji Sidek
Bagi anda yang meminati komik dan siri animasi Anak – Anak Sidek, seperti yang diketahui watak-watak ini bukanlah fiksyen semata-mata, rumah yang diduduki keluarga Sidek ini sememangnya wujud dan ianya terletak di Kampung Kanchong Darat, Banting.
Di hadapan rumah ini terletaknya Tugu Peringatan Keluarga Haji Sidek yang dibina untuk menunjukkan penghargaan atas kejayaan anak-anaknya di dalam sukan badminton.
Siapa yang tidak kenal dengan anak-anak Sidek yang pernah mewangikan nama negara sehingga ke peringkat dunia ini. Bayangkanlah, bukan mudah untuk mengatasi pesaing-pesaing antarabangsa yang termasuklah juara badminton All England. Memang hebat!
Alamat: Kampung Kanchong Darat, Banting
5. Pasar Kampuchea
Jika anda masih tidak puas membeli-belah di Banting ini, apa kata kalau anda sekeluarga singgah ke Pasar Kampuchea. Pasar yang terletak di Jalan Masjid, Kampung Kanchong Darat ini dibuka pada setiap hujung minggu. Kalau anda nak tahu, di sini anda dapat melihat bermacam jenis barangan yang termasuklah pakaian.
Kesemua barangan yang diniagakan di sini dijual di dalam harga yang jauh lebih murah dari tempat lain. Kebanyakkan peniaga yang terdapat di sini adalah dalam golongan Melayu Kemboja yang telah datang ke daerah ini sejak dua dekad yang lalu.
Alamat: Jalan Masjid, Kampung Kanchong Darat
4. Pantai Batu Laut
Dikelilingi oleh pokok-pokok bakau, Pantai Batu Laut adalah tempat pilihan ramai jurugambar dan juga pasangan yang ingin mengambil foto pra-perkahwinan.
Pemandangan unik yang dihasilkan oleh pokok bakau ini menjadikan foto kelihatan lebih dramatik dan menarik. Jadi, jangan lupa untuk membawa kamera anda kalau ke sini.
Alamat: Pantai Batu Laut, Kampung Batu Laut
3. Rumah Api Bukit Jugra
Di atas Bukit Jugra bukan ada satu tapi dua buah rumah api. Rumah api yang pertama telah didirikan pada zaman jajahan British dan terletak pada ketinggian 146 meter dari aras laut. Rumah api yang kedua pula dibina lebih rendah dengan ketinggian 25 meter pada tahun 1976.
Bagi anda yang berpeluang ke Rumah Api Bukit Jugra anda dapat menikmati panorama indah sekitar Kuala Langat yang menyajikan pemandangan Laut Selat Melaka dan Sungai Langat.
Alamat: Jalan Bukit Jugra, Jugra Lama, 42700 Banting
2. Kedai Buku Lao Mao
Kedai buku yang kelihatan sudah dimamah usia ini sebenarnya cukup menarik untuk disinggahi. Terutamanya bagi anda yang meminati komik dan manga. Yang menariknya di sini, anda boleh memilih sama ada untuk membeli ataupun meminjam buku yang terdapat di kedai ini.
Antara buku yang terdapat di sini adalah One Piece, Doraemon, Dragon Ball, Detective Conan, Swordsman Marine, Gods Kingdom, Environmental Officers dan banyak lagi. Harga untuk sebuah komik adalah dalam sekitar 60 sen ke RM1.
Alamat: 119, Jalan Bunga Pekan 4, Banting
1. Masjid Sultan Alaeddin
Masjid Sultan Alaeddin atau nama lainnya Masjid Alaeddin atau Masjid Bandar ini merupakan salah satu masjid yang tertua di Selangor yang dibina pada awal 1900-an.
Masjid yang terletak hanya 200 meter dari Istana Bandar ini adalah masjid yang digunakan oleh Sultan Alaeddin untuk menunaikan solat Jumaat, mimbar masjid ini juga sering digunakan baginda untuk menyampaikan khutbah.
Dikatakan bahawa reka bentuk masjid ini adalah diinspirasikan daripada seni bina kerajaan Deli di Medan, Sumatera Utara. Masjid tua ini telah didaftarkan oleh Jabatan Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada tahun 2008 dan diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapaktanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada tahun 1980.
Alamat: Kampung Sawah Tengah, 42700 Banting
Ada yang menarik perhatian anda? Siapa sangka Banting boleh jadi semenarik ini. Terasa seperti berjalan di dalam muzium terbuka sahaja di sesetengah kawasan di Banting ini.
Dengan rumah-rumah kedai yang lama, kedai makan yang telah wujud berpuluh tahun dan masjid yang klasik, Banting adalah sebuah bandar yang penuh dengan nostalgia namun dalam masa yang sama tidak mengecewakan jiwa remaja anda yang menghauskan keseronokan seperti yang ditawarkan di Tadom Hill.
Tarikan-tarikan ini semua adalah hanya yang terdapat di Banting, bagaimana pula di seluruh Selangor? Kalau anda excited nak tahu, anda boleh meluangkan masa untuk membaca artikel MaiSinggah berkenaan 73 Tempat Menarik di Selangor.
Apa-apa pun, sebelum anda meneruskan rancangan untuk bercuti ke sini, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk melihat senarai hotel menarik yang terdapat di sekitar Banting dengan harga yang berpatutan. Selamat bercuti ke Banting!