Salah sebuah tarikan pelancongan Pulau Pinang iaitu Bukit Bendera — tersenarai di tangga sembilan daripada 100 bagi ‘perangkap pelancong’ terburuk di dunia oleh akhbar harian Amerika Syarikat (AS).
Akhbar USA Today menganalisis 23.2 juta ulasan Google mengenai 500 tarikan pelancong paling popular merangkumi 65 negara di enam benua pada Julai 2023.
Dalam analisis itu turut disenaraikan kekerapan ulasan menyebut istilah atau kata kunci ‘perangkap pelancong’, berlebihan atau mahal.
Akhbar tersebut membandingkan tarikan antara satu sama lain dengan mengukur kekerapan relatif dan membahagikan bilangan sebutan serta jumlah ulasan untuk tempat berkenaan.
Kemudian, disenaraikan dapatan kajian supaya orang ramai memperoleh maklumat diperlukan sebelum ke destinasi pelancongan popular di samping menawarkan tip merancang perjalanan yang mampu menjimatkan wang.
TURUT TERSENARAI ANTARA TARIKAN PELANCONG PALING BERLEBIHAN DI DUNIA
Dalam masa sama, Bukit Bendera juga direkodkan berada di tangga ke-14 sebagai kawasan tarikan pelancong yang paling berlebihan di dunia.
Ia melangkaui kedudukan pusat tarikan terkemuka dunia iaitu Times Square, New York dan papan tanda Hollywoood, California yang mana masing-masing berada di tangga ke-17 serta ke-23.
EXCO PULAU PINANG SANGKAL LAPORAN ADALAH TIDAK BENAR
Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan artikel terbitan USA Today yang menyenaraikan Bukit Bendera dalam 100 ‘perangkap pelancong’ terbesar di seluruh dunia.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, kenyataan yang dibuat dalam artikel bertarikh 24 Ogos itu sama sekali tidak benar berikutan hanya dibuat berdasarkan 24 ulasan buruk yang diambil secara rawak.
Menurutnya, selain itu, pengumpulan data pula hanya diambil daripada ulasan menggunakan satu bahasa sahaja.
“Artikel itu tidak mengambil dari ulasan yang dibuat dalam bahasa lain antaranya bahasa Melayu, Tamil, Mandarin, Arab dan sebagainya serta tinjauan dibuat sangat terhad.
“Rumusan dibuat hanya berdasarkan 24 komen buruk mengenai Bukit Bendera sedangkan jumlah ulasan baik lebih banyak daripada ulasan berkenaan (buruk),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
47 JUTA PELANCONG SELURUH DUNIA BERKUNJUNG KE BUKIT BENDERA
Hon Wai menambah, sejak 1923, seramai 47 juta pengunjung Bukit Bendera direkodkan.
“Setiap tahun, lebih satu juta pengunjung mengunjungi pusat peranginan yang terletak di Air Itam itu. Kebanyakan mereka adalah pengunjung yang bukan pertama kali datang ke situ.
“Ini menunjukkan, mereka (pengunjung) kembali ke Bukit Bendera kerana terpesona dengan keindahan di situ. Jumlah pengunjung yang direkodkan jelas menunjukkan Bukit Bendera adalah salah satu tarikan utama di Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan Pulau Pinang akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan, antaranya Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
PROJEK KERETA KABEL BUKIT BENDERA SIAP 3 TAHUN LAGI
“Projek ini akan memberi satu pengalaman baru kepada pelancong Bukit Bendera setelah ia siap kelak,” katanya.
Justeru itu, kerajaan Pulau Pinang menafikan kenyataan dalam artikel USA Today yang menyenaraikan Bukit Bendera antara 100 ‘perangkap pelancong’ terbesar di seluruh dunia.
Sumber: Sinar Harian