Pulau Langkawi yang kaya dengan khazanah alam merupakan salah satu destinasi percutian paling popular dalam Malaysia.
Jika anda sedang mencari lokasi penginapan yang menawarkan suasana berbeza di pulau legenda itu, Temple Tree Resort Langkawi adalah jawapannya.
Resort serba unik itu menawarkan 21 bilik dan suite yang mana setiap satunya mempunyai ciri tersendiri, terletak dalam lapan rumah warisan Malaysia asli, yang dibawa khas ke Langkawi dan masih gah berdiri sehingga ke hari ini.
Pengurus Resort, Irene Vairo berkata, lokasi itu menjanjikan pengalaman berbeza, seolah-olah menelusuri kembali memori zaman kanak-kanak dengan binaan rumah klasik yang ditawarkan.
Berikut merupakan 8 rumah warisan yang ditawarkan di Temple Tree Resort Langkawi.
1. STRAITS HOUSE
Straits House merupakan tarikan terbaharu yang ditawarkan di resort itu. Ia merupakan sebuah rumah tradisional berusia 90 tahun dari Pulau Pinang yang diberi sentuhan moden menerusi hiasan dalamannya.
Ia menawarkan panorama indah dengan laman yang luas bersama kolam renang tersendiri. Nak request buat makan-makan atau BBQ di kawasan laman rumah pun boleh.
Straits House ditawarkan sebagai sebuah unit yang dilengkapi empat bilik tidur, ideal untuk percutian berkumpulan atau keluarga sehingga lapan orang.
2. JOHOR HOUSE
Selain Straits House yang baru diperkenalkan, Temple Tree Resort Langkawi sememangnya popular dengan tarikan sedia ada sebelum ini.
Antara yang paling menarik tentunya Johor House, sebuah suite dua bilik tidur, dikenali sebagai Johor 1 (tingkat bawah) dan Johor 2 (tingkat atas).
Rumah berusia 100 tahun itu mempunyai sentuhan Taiwan dalam rekaannya, mempunyai beranda luas yang membolehkan anda bersantai sambil melihat mentari terbenam pada waktu senja.
3. COLONIAL HOUSE
Dibina pada tahun 1920-an, rumah yang pernah dimiliki oleh keluarga Arab itu dibawa dari George Town, Pulau Pinang sebelum dibina semula di Temple Tree Resort Langkawi.
Ia mempunyai empat bilik besar yang boleh disewa berasingan. Lebih unik, Colonial House turut menawarkan common area yang luas untuk dikongsi oleh penghuni empat bilik itu.
4. ESTATE HOUSE
Rumah setingkat yang panjang ini mempunyai lima bilik. Berasal dari Pasir Puteh, Ipoh, Perak, Estate House dibina dengan rekaan siling tinggi serta taman persendirian di bahagian belakangnya.
5. PLANTATION HOUSE
Rumah dua tingkat yang besar ini merupakan banglo klasik yang sesuai untuk mereka yang mahukan suasana berbeza sepanjang berada di pulau legenda itu.
Diambil dari Pulau Pinang, rumah ini dilengkapi enam suite yang boleh menempatkan sehingga 19 tetamu secara keseluruhan.
6. PENANG HOUSE
Dengan seni bina yang mencerminkan pengaruh British di Pulau Pinang, unit ini menampilkan gabungan elemen seni bina Cina, India dan Islam.
Rumah ini dibina pada awal 1930-an, dilengkapi dua bilik tidur yang boleh memuatkan sehingga empat atau lima tetamu pada satu-satu masa.
7. NEGERI SEMBILAN HOUSE
Ini merupakan salah satu unit paling menarik yang ditawarkan di Temple Tree Resort Langkawi.
Berasal dari Mantin, rumah dengan ruang yang luas itu menampilkan binaan tingkap berwarna-warni serta beranda klasik yang mengingatkan kita kepada rumah-rumah kampung lama.
8. IPOH HOUSE
Ipoh House tidak lagi dibuka untuk penginapan, sebaliknya kini diubah menjadi reception lounge. Ia turut menempatkan restoran yang menawarkan anda pengalaman menjamu selera sambil menikmati panorama kolam renang serta kehijauan alam.
Berhadapan Ipoh House, terdapat sebuah lagi kolam renang dengan pemandangan latar belakang indah yang pastinya meninggalkan memori berpanjangan untuk anda.
Pendek kata, Temple Tree Resort Langkawi memang win dari segi keunikan seni bina serta keindahan panorama sekitarnya.
Selain ketenangan jiwa, perut anda juga sudah pasti gembira sepanjang penginapan di sana sekiranya dapat merasai sentuhan air tangan Chef Fairuz Zani Ahamad.
Antara menu yang wajib dicuba adalah nyonya laksa, kari salmon dan ikan bakar. Memang padu!
Untuk maklumat lanjut, anda boleh lawati Instagram rasmi Temple Tree Resort Langkawi.
Sumber: Mstar