Selangor sememangnya dikenali mempunyai banyak tarikan pelancongan untuk seisi keluarga.
Terbaharu, pemaju hartanah Gamuda Land bakal membuka taman air pertamanya, SplashMania di perbandaran Gamuda Cove pada minggu kedua Januari 2023.
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, taman air seluas 18 ekar itu akan menyediakan 24 gelongsor air yang pastinya mendebarkan pengunjung dan 15 tarikan utama.
Lebih menarik, beberapa tarikan itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia termasuk kawasan perairan realiti maya (VR Waterslide).
“Pembukaan Taman Air SplashMania ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada penduduk dari Gamuda Cove, bahkan juga komuniti sekitarnya dan Malaysia secara amnya dengan unjuran pengunjung tahunan seramai 800,000 orang.
“Taman air ini akan membolehkan kami menjangkau peluang ekopelancongan yang belum diterokai di wilayah Lembah Klang Selatan selaras dengan rancangan Tourism Selangor,” ujar beliau.
Lokasi Gamuda Cove yang strategik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di koridor selatan Lembah Klang, serta berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 menjadikannya sangat mudah diakses oleh pelancong tempatan mahupun luar negara.
Gamuda Cove yang terletak di antara Paya Indah Discovery Wetlands dan Hutan Simpan Kuala Langat menjadikan lokasi SplashMania sejuk mata memandang apabila dinaungi oleh lebih 1,500 jenis pokok termasuk spesies pokok asli dan terancam.
Antara keistimewaan dan tarikan menarik di SplashMania termasuklah:
1) Tunggangan dan gelongsor direka oleh Polin Waterparks dan ProSlide Technology yang juga pembangun gelongsor dengan teknologi luar biasa dan rekod keselamatan yang inovatif serta dipercayai.
2) Shaka Waka iaitu gelongsor air multimedia dan audio sepanjang 78 meter dilengkapi pelbagai kesan cahaya LED yang boleh disesuaikan oleh setiap pengunjung sebelum masuk.
3) Gelongsor air Wild Rush pilihan terbaik bagi mereka yang gemarkan aktiviti yang mencabar adrenalin.
4) Atlantis VR iaitu pengalaman yang mengasyikkan di mana pengunjung akan disajikan dengan ‘pengembaraan’ di dunia yang sama sekali berbeza dalam perjalanan maya 250 meter melalui Lost City of Atlantis.
5) Gamuda Land turut akan memperkenalkan aplikasi mudah alih GL Play apabila taman tema air dibuka sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan taman untuk menawarkan kemudahan kepada pengunjung dan pelanggannya.
Menerusi aplikasi tersebut, pelanggan akan dapat membeli tiket mereka lebih awal melalui platform aplikasi tempahan.
Pengunjung juga boleh menavigasi kemudahan di taman berkenaan menggunakan ciri peta taman dan memesan makanan serta minuman tanpa perlu beratur.
Sumber: Mstar