Seindah namanya, inap desa Pulau Manis Sungai Dakoh, yang terletak di Pos Balar umpama ‘mutiara bersinar’ di tengah belantara.
Untuk sampai ke sana bukan mudah, pengunjung perlu menggunakan pacuan empat roda meredah jalan tanah merah berlumpur, berbatu, selain menyusuri anak sungai.
Penatnya perjalanan kira-kira 5 jam dengan jarak hampir 100 kilometer dari Gua Musang ke Pulau Manis ternyata tidak sia-sia, malah keletihan terubat usai sampai ke lokasi.
Mana tidaknya, pandangan mata terus dijamu keindahan panorama Pulau Manis Sungai Dakoh, di Gua Musang, Kelantan, ini benar-benar mendamaikan.
Tambahan pula, di situ juga tersedia deretan inap desa diperbuat daripada buluh dan rotan dengan kemudahan seperti tandas dan surau menanti siap menanti ketibaan pengunjung.
Sebanyak 11 inap desa ini pula didirikan berhampiran sungai, deruan dan aliran airnya yang jernih menarik hati pengunjung untuk terus merasai sejuknya Sungai Dakoh yang belum tercemar.
Pengalaman berendam di dalam Sungai Dakoh juga pasti membuatkan pengunjung seakan tidak mahu naik ke tebing untuk terus menikmati kedinginan dan kejernihan airnya.
MALAM SEJUK, MENENANGKAN
Lazimnya, pengunjung yang datang pasti akan mengheret mereka bermalam untuk merasai keseronokan di inap desa ini serba-serbi boleh menggamit kenangan kehidupan kampung.
Ditemani suara cengkerik, unggas dan deruan air sungai tanpa henti memberikan ketenangan berbeza pasti bikin hati berasa tenang serta fikiran menjadi lapang.
Itu yang dapat digambarkan suasana malam di inap desa Pulau Manis Sungai Dakoh, Pos Balar, terlupa sejenak kesibukan rutin harian dan masalah yang dihadapi.
BINAAN INAP DESA DARIPADA BULUH
Menurut, Pengurus Inap Desa Pulau Manis, Ahmadi Jalil Biyor — pembinaan rumah inap desa itu adalah hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan secara bergotong-royong bersama 30 Orang Asli sejak dua tahun lalu.
Struktur rumah inap desa ini diperbuat daripada buluh, kayu hutan dan terletak berhampiran Sungai Dakoh.
Selain menambah pendapatan, inap desa ini juga dibina bagi membolehkan mereka yang berkunjung ke Pos Balar ini mempunyai tempat untuk bermalam.
Menginap di sini dikenakan bayaran RM20 sehari dan mampu memuatkan 4 orang — selain dilengkapi dengan kemudahan asas seperti surau dan tandas.
Proses penyelenggaraan dilakukan secara berkala kerana strukturnya daripada buluh dan kayu hutan yang diperoleh di dalam hutan.
Selain itu, dengan pelbagai keunikan Kampung Dakoh akan terus dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang harus dikunjungi.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam usaha mewujudkan aktiviti eko-pelancongan di kawasan kampung Orang Asli di daerah ini.
Bagi yang berminat menginap di inap tersebut boleh menghubungi Ahmadi Jalil di talian 017-9658967.
Sumber: Berita Harian