Melaka terkenal dengan Perigi Hang Tuah iaitu salah satu tempat menarik dan bersejarah di negeri ini. Jika ada yang tak tahu mengenai sejarahnya, kami sediakan sedikit informasi buat anda.
Negeri Melaka yang tersohor dengan sejarah dan warisan budaya merupakan antara destinasi pelancongan yang paling terbaik di Malaysia. Turut dikenali sebagai Melaka Negeri Bersejarah atau Negeri Hang Tuah, ia telah menjadi pusat tarikan kepada para pelancong untuk datang berkunjung sekaligus melihat sendiri tinggalan sejarah yang ada.
Antara lokasi bersejarah yang menjadi tarikan utama para pelancong di negeri Melaka semestinya Perigi Hang Tuah. Perigi yang menjadi perhatian ramai ini terletak di Kampung Duyong.
Memang tidak dinafikan, perigi ini tidak pernah lekang dari dikunjungi para pelancong tidak kira dari dalam negara mahupun luar negara, yang begitu teruja ingin meneroka dan mendalami sejarah serta kisah unik yang luar biasa tentang kewujudan perigi ini.
Sejarah Perigi Hang Tuah
Perigi Hang Tuah berada di bawah seliaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan telah diisytiharkan sebagai monumen bersejarah. Bentuk asal kedalaman dan keluasan perigi ini adalah kecil sahaja, namun lama kelamaan ia berubah menjadi besar.
Perigi yang mempunyai kedalaman 1.8 meter ini juga sering dikaitkan dengan pahlawan Melayu terbilang di zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hang Tuah. Perigi yang sudah wujud seawal abad ke-13 ini dipercayai telah digali sendiri oleh Hang Tuah untuk kegunaan hariannya.
Dikatakan, Hang Tuah telah menggali perigi ini setelah beliau dikenakan hukuman bunuh oleh Sultan Melaka. Malah ada yang menyatakan bahawa Hang Tuah telah disembunyikan di atas bukit berdekatan dengan tempat terletaknya perigi ini.
Misteri Perigi Hang Tuah
Selain terkenal dengan sejarahnya yang begitu menarik, terdapat juga kisah misteri tentang perigi ini. Misteri yang terkenal semestinya misteri tentang adanya buaya putih yang tinggal di dalam perigi tersebut, dipercayai ada kena mengena dengan Hang Tuah.
Menurut penduduk tempatan, perigi tersebut menjadi tempat roh Hang Tuah bersemadi setelah beliau meninggal dunia. Ada juga yang mengatakan bahawa Hang Tuah memunculkan diri menjadi buaya putih di dalam perigi tersebut yang tidak boleh dilihat oleh calang-calang orang.
Bukan itu sahaja, air dari perigi ini juga selalu dalam keadaan jernih dan bersih. Perigi ini tidak pernah mengering, malah turut dipercayai mampu merawat dan menyembuhkan segala jenis penyakit.
Tempat Menarik Yang Berdekatan
Perkampungan Hang Tuah
Jika anda mengunjungi Perigi Hang Tuah, anda juga boleh singgah ke Perkampungan Hang Tuah. Perkampungan Hang Tuah ini tentunya dibangunkan untuk mengingati serta mengimbau zaman kepahlawanan Hang Tuah.
Di perkampungan Hang Tuah ini, anda dapat meneroka lebih banyak tentang kisah Laksamana Hang Tuah dan menariknya Perkampungan Hang Tuah ini adalah terdapat rumah lima bersaudara iaitu Rumah Hang Tuah, Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir dan Rumah Hang Lekiu.
Dengan adanya rumah lima bersaudara ini, anda dapat merasai sendiri bagaimana suasana zaman kepahlawanan Hang Tuah yang sememangnya penuh dengan keunikan serta kehebatannya yang tersendiri.
Untuk masuk dan berkunjung ke Perkampungan Hang Tuah ini, anda akan dikenakan bayaran yang berbaloi. Harga tiket yang dikenakan bagi warganegara dewasa hanya RM10 dan kanak-kanak hanya RM5. Manakala bagi bukan warganegara, tiket dewasa yang dikenakan berharga RM20 dan kanak-kanak adalah RM10.
Muzium Hang Tuah
Selain rumah lima bersaudara, di Perkampungan Hang Tuah ini juga terdapat Muzium Hang Tuah. Muzium ini telah dibangunkan sebagai salah satu tempat pemuliharaan sejarah atau lebih dikenali sebagai “Muzium Hidup”.
Segala mengenai sejarah, lagenda serta kepercayaan di Zaman Kepahlawanan Hang Tuah telah diperlihatkan melalui pameran-pameran yang memenuhi Muzium Hang Tuah ini. Anda boleh melihat pelbagai jenis lukisan-lukisan yang menggambarkan suasana kehidupan di zaman tersebut.
Di dalam Muzium Hang Tuah ini juga terdapat banyak alatan, replika senjata serta jenis pakaian yang wujud di Zaman Kepahlawanan Hang Tuah yang dapat kita lihat dan sedikit sebanyak dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai sejarah Melayu.
Bagi pihak sekolah yang ingin mengadakan lawatan sambil belajar, Muzium Hang Tuah ini sangat sesuai untuk pelajar-pelajar kerana begitu banyak maklumat dan keterangan tentang sejarah yang tentunya sangat bermanfaat untuk para pelajar.
Rugi jika anda ke Melaka tetapi tidak singgah ke tempat-tempat bersejarah seperti Perigi Hang Tuah, Rumah Lima Bersaudara dan Muzium Hang Tuah. Hal ini kerana, anda bukan sahaja dapat melihat keunikan serta keistimewaan tempat tersebut, malah juga dapat memperoleh ilmu pengetahuan.
Bawa seisi keluarga terutama anak-anak ke sini agar mereka turut mengetahui sejarah yang ada di negara ini. Semoga anda mendapat input mengenai perigi yang penuh dengan sejarah dan misteri ini. Jom ke Melaka!
Mencari tempat menarik yang lain terletak di Melaka? Jangan lupa untuk singgah ke tempat-tempat ini: