Malaysia merupakan salah sebuah negara dalam senarai 10 teratas yang dicari oleh warga China di Trip.com Group untuk melancong ke luar negara, lapor pengendali laman web tersebut.
Negara-negara lain yang turut berada dalam senarai tersebut termasuklah Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Australia.
Pengendali laman web tersebut juga mendedahkan carian mengenai pelancongan luar negara meningkat tiga kali ganda selepas kerajaan China melonggarkan sekatan pergerakan dan polisi sifar Covid-19, Isnin lepas.
China is facing the world’s largest COVID surge with 800 million people estimated to be at risk of infection this winter — about 10% of the planet’s population. Here’s why — and what to know.https://t.co/afYzrWvUrP
— NPR (@NPR) December 16, 2022
Ekoran itu, warga China dipercayai mula melakukan persiapan saat-saat akhir untuk melancong ke luar negara bersempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada penghujung Januari ini.
Terdahulu, kerajaan China turut mengumumkan bahawa bermula 8 Januari depan, pelancong asing tidak lagi perlu menjalani perintah kuarantin wajib apabila tiba di negara itu, sekaligus menamatkan polisi yang sudah dilaksanakan sejak tiga tahun lepas. Manakala, warga China juga dibenarkan untuk kembali melancong ke luar negara.
Dalam tempoh pandemik sebelum ini, kerajaan China tidak membenarkan warganya membuat permohonan passport atau meninggalkan negara, kecuali atas urusan penting, biasanya berkaitan aktiviti perniagaan.
Kes Covid-19 di China dilapor mencatatkan peningkatan sejak kebelakangan ini. Gelombang-gelombang kes baharu yang direkodkan di beberapa wilayah turut mencetuskan kebimbangan banyak pihak, terutamanya di peringkat global.
Beberapa pakar turut menganggarkan kira-kira 60 peratus daripada 1.4 bilion penduduk China — sekitar sepuluh peratus daripada populasi global — berisiko dijangkiti COVID-19 pada beberapa bulan akan datang.
Terdapat kebimbangan bahawa virus tersebut boleh tersebar secara berleluasa ketika cuti Tahun Baru Cina pada bulan hadapan, iaitu ketika kebanyakan penduduk China pulang ke kampung halaman.