Jarang sekali orang tidak mengenali Aunty Aini’s Garden Cafe. Restoran yang terletak di Kampung Chelet , Nilai ini memang cukup sinonim dengan masakan kampung yang sangat lazat.
Malah, Aunty Aini sendiri pernah disiarkan dalam rancangan masak antarabangsa oleh chef selebriti Anthony Bourdein dan Gordon Ramsay. Chef terkemuka, Gordon Ramsay juga pernah ke sini semata-mata untuk menuntut ilmu memasak rendang dari Aunty Aini.
Kafe Aunty Aini ini berkonsepkan desa dan dikelilingi kehijauan tumbuh-tumbuhan di sekitar kafe. Terletak dalam kawasan perkampungan, konsep ini cukup natural untuk Aunty Aini’s Garden Cafe. Pintu masuknya sendiri mempunyai nilai estetika kampung Melayu.
Ruang makan utama restoran ini merupakan sebuah rumah kayu yang cukup menarik. Tumbuhan yang ditanam di sekitar kafe ini menambahkan lagi suasana damai bak desa tercinta. Malah, kalau anda nak tahu, beberapa tumbuhan yang ditanam di sini digunakan untuk dimasak atau dimakan.
Menu yang paling popular di sini ialah hidangan gulai lemak cili api dan gulai lemak tempoyak. Masakan ini didatangkan dalam lebih 10 jenis dengan pilihan dari ayam salai, daging salai, itik salai, udang galah dan banyak lagi. Hidangan ini didatangkan bersama nasi putih.
Selain itu, Aunty Aini juga cukup dikenali kerana masakan rendangnya. Jadi anda mesti mencuba rendang ayam, daging dan itik salai dari beliau. Restoran ini turut menawarkan masakan lauk lain seperti asam pedas, sambal tumis petai, goreng kunyit dan banyak lagi. Masakan western dari Aunty Aini’s Garden Cafe juga perlu anda cuba. Hidangan burger dari mereka merupakan resepi tersendiri Aunty Aini.
Jadi jika anda berada di sekitar Nilai ataupun dalam perjalanan dari selatan ke utara Malaysia, singgahlah ke Aunty Aini’s Garden Cafe. Kami pasti perjalanan anda ke sini cukup berbaloi. Makanan yang lazat dalam suasana yang damai, jangan teragak-agak untuk ke sini. Ikuti juga laman Facebook dan Instagram mereka untuk maklumat terkini.
Alamat: Batu 16, Kampung Chelet, 71800 Nilai, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Makan Tengahari (11.30am-2pm) | Makan Malam (5.30pm-8pm) | Isnin (Tutup)