Port Dickson merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular dan sering dikunjungi terutama apabila tiba musim cuti persekolahan.
Bukan sahaja pantainya yang indah dan banyak tempat menarik dan bersejarah untuk dilawati tetapi ianya juga turut terkenal dengan pelbagai jenis makanan tempatan yang enak dan sering hangat diperkatakan.
Di bawah kami kongsikan senarai tempat makan menarik di Port Dickson yang boleh anda kunjungi bersama keluarga ketika bercuti di sini.
01. Restoran Sri Mesra Ikan Bakar & Seafood
Kalau bercuti disini memang tidak sah sekiranya tidak mencuba ikan bakar dan makanan laut. Jadi, Restoran Sri Mesra Ikan Bakar & Seafood wajib ada dalam list restoran pilihan anda.
Restoran ini sungguh terkenal dan sering sesak dengan pelanggan terutamanya ketika musim cuti. Menu yang disajikan cukup menyelerakan dan harganya setanding dengan kualiti makanan yang ditawarkan. Antara menu popular disini ialah seperti udang, sotong, ketam dan pelbagai jenis ikan segar.
Menariknya, anda boleh memilih sendiri cara masakan mengikut citarasa yang digemari. Selain itu, lauk pauk yang dipesan boleh dimakan bersama nasi putih atau nasi lemak bungkus yang tentunya memikat selera.
Alamat: Jalan Pantai, Teluk Kemang Square, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap Hari (6 pm – 12 am)
02. Cowboy Place Nasi Kukus
Nasi kukus ayam panggang memang mudah didapati di mana-mana saja tetapi apa yang membezakan restoran ini dengan yang lain ialah kerana resipi ayam panggang istimewanya yang tersendiri.
Baca: 25 Homestay Di Port Dickson Yang Istimewa
Ayam tersebut diperap bersama pelbagai rempah ratus berkualiti kemudian dipanggang dengan sempurna menjadikan kualiti makanan disini cukup memuaskan hati. Hidangan ini juga boleh dimakan bersama sup kosong dan ulaman atau bebola daging mengikut citarasa anda.
Ditambah pula dengan suasana ala comboy dengan hiasan topi, seluar, baju dan pistol yang cuba diketengahkan oleh pemilik, selain daripada persembahan Live Band pada waktu malam, pasti menjanjikan anda suasana makan yang unik dan menarik.
Oh ya! Sebelum pulang, jangan lupa untuk bergambar kenangan bersama prop yang telah disediakan.
Alamat: Lot 643,Jalan Pantai Batu 6,71050 Teluk Kemang, 71050
Waktu Operasi:
- Setiap hari, Jumaat – Isnin (9 am – 9 pm)
- Selasa – Khamis (9 am – 7 pm)
03. Kafe Kampung Kaw Port Dickson
Untuk port sarapan pagi terbaik di PD, tentunya anda wajib singgah ke Kafe Kampung Kaw ini.
Pelbagai jenis sarapan pagi yang disediakan seperti nasi lemak kambing bakar, roti bakar, soto, roti kahwin, bubur nasi dan tentunya minuman kegemaran Malaysia Teh Tarik Kaw pastinya memberikan tenaga untuk anda memulakan hari.
Selain itu, kafe ini juga terkenal dengan kuih Gemok yang sering menjadi pilihan pelanggan. Rugi kalau tak cuba!
Alamat: PT3038, Jalan Haji Sirat, Kampung Baru, 71050
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 7.30 am – 2.30 pm
04. PD Famous Coconut Shake Power RM2
Ini pilihan tepat khusus buat anda yang tercari-cari tempat makan yang sesuai buat minum petang dan bersantai bersama keluarga. Menu istimewa yang dijanjikan tentunya Coconut Shake dan Cendol pelbagai jenis.
Nak makan pun boleh, pilih saja antara nasi lemak, laksa, mee bandung atau nasi ayam termasuk juga makanan ala western seperti black pepper lamb grilled.
Konsep kedai ini terbuka seolah olah seperti food court dan layan diri, jadi pasti anda sekeluarga akan berasa lebih tenang dan bersahaja menjamu selera sambil disajikan dengan pemandangan kota PD yang cantik.
Alamat: Kampung Teluk Kemang, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap hari, 11 am – 7 pm
05. Nasi Arab 115 PD
Nikmati masakan Arab dalam suasana santai dan selesa di restoran Nasi Arab 115 PD yang terletak di Teluk Kemang, Port Dickson.
Anda boleh memilih untuk duduk bersila di atas lantar berkarpet di bawah kesejukan pendingin hawa seperti berada di rumah sendiri atau duduk di meja-meja yang disediakan di luar untuk menghirup udara segar.
Mengenai menu restoran ini, hidangan signature restoran ialah Nasi Arab Ayam Bakar dan juga Nasi Arab Kambing Bakar. Bukan sekadar masakan Arab, kerana mereka juga menawarkan hidangan barat seperti Chicken Chop dan Pizza. Harga? Cukup berpatutan untuk saiz hidangan yang mengenyangkan.
Nak tahu dengan lebih detail tentang menu lain yang ada dekat restoran Nasi Arab 115 PD ni? Teruskan dengan membaca review penuh di sini.
Facebook: Nasi Arab 115 PD
Alamat: Nasi Arab PD, No 1 Jalan Coral 1 Medan Coral 71050, Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 11.00 pm)
06. Double Queue Thai Cuisine Port Dickson
Konsep restoran ini bertemakan elegan dan moden berhawa dingin membuatkan suasana makan yang selesa bersama keluarga.
Menu istimewa yang disajikan ialah masakan asli ala Thai yang merangkumi sajian seperti Siakap masam manis, siakap kukus limau nipis, pulut mangga, nasi padkaw, ayam pandan, salad mangga dan semestinya tomyam seafood. Selain itu, restoran ini turut menyajikan masakan buat penggemar vegetarian food.
Tambahan pula, lokasinya yang strategik iaitu berdekatan dengan laut, membolehkan anda menikmati keindahan pantai setelah puas menjamu selera.
Alamat: 4-8-G Persiaran Waterfront, PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap hari (11am-11pm)
07. Asam Pedas Kasih Ibu
Dalam misi menerokai keunikan makanan masyarakat orang Negeri Sembilan, anda wajib membawa keluarga makan tengahari di restoran Asam Pedas Kasih Ibu ini kerana ia menyediakan pelbagai pilihan lauk pauk masyarakat tempatan yang popular.
Semestinya bila singgah makan disini, set asam pedas yang terdiri daripada pelbagai jenis ikan segar pilihan anda harus menjadi menu wajib.
Set hidangan ini juga didatangkan bersama telur masin dan timun buat penambah selera. Selain itu, anda juga boleh merasai sendiri keenakan masak salai, kari daging, paru berlado, masak lemak cili padi, ikan bakar dan banyak lagi. Sedikit tips, datang lebih awal sebelum waktu puncak untuk mendapatkan tempat.
Alamat: No 183, Batu 7 3/4, Jalan Pantai, Telok Kemang, 71050
Waktu Operasi: Setiap hari (8.30am-6.30pm) Tutup : Selasa
08. Restoran Aden
Bagi anda yang ingin mencuba sesuatu yang berbeza daripada makanan tempatan, singgahlah ke Restoran Aden yang menyajikan makanan arab khususnya makanan Yaman asli.
Saiz hidangan yang besar selain daripada makanannya yang enak pasti akan memuaskan selera anda.
Anda boleh memilih sama ada untuk makan hidangan popular mereka iaitu Chicken/Lamb Mandy dan Khabsah ataupun mencuba menu lauk yang dipanggang sempurna seperti Khabab Chicken, Khabab Halabi dan banyak lagi. Pasti tidak akan mengecewakan anda!
Alamat: PD Centre Point, 61, Bandar Port Dickson, 71000
Waktu Operasi: Setiap hari (11am-11pm)
09. King’s Char Kuey Teow
Tempat makan ini merupakan antara yang sangat popular dan sesak dengan pengunjung tidak kira waktu. Konsep terbuka seperti medan selera dan kawasan tempat makannya luas menjadikan restoran ini selesa untuk menjamu selera bersama keluarga atau kawan-kawan.
Menu popular mereka tentunya Char Kuey Teow yang rasanya setanding dengan yang ada di Pulau Pinang.
Apa yang lebih menarik perhatian adalah, hidangan char kuey teow tidak hanya didatangkan terhad kepada kerang atau udang sahaja, tetapi anda juga boleh memesan kambing bakar untuk makan bersamanya.
Untuk dessert pula, terdapat stall popular yang menjual Nyior Aiskrim Kelapa dengan pelbagai perisa topping buah-buahan atau coklat. Pada waktu malam pula, restoran ini turut mengundang Live Band sebagai halwa telinga pelanggan sambil anda menjamu selera.
Alamat: 402, Si Rusa, 4, Jalan Pantai, 71050
Waktu Operasi: Setiap hari (4.30 pm – 2.30 am) Hujung minggu (2 pm – 2 am)
10. Restoran Kulit Kayu Manis
Populariti restoran ini sememangnya tidak dapat disangkal lagi, lihat sajalah pengunjung yang sesak datang menjamu selera terutamanya pada waktu tengahari.
Lauk pauk resipi asli masakan orang Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api, asam pedan Nismilan, masak kurma, gulai tempoyak dan pelbagai lagi tentunya menggamit selera sesiapa saja yang melihatnya.
Tetapi, kalau mahukan sesuatu yang lebih eksotik tetapi sedap, anda bolehlah cuba sup kaki kambing yang turut menjadi menu kegemaran ramai di restoran ini.
Alamat: 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (7.30am- 4.30pm)
11. Hassan Murtabak
Makanan mamak tentunya tidak dapat dipisahkan dengan rakyat Malaysia. Jadi, kalau anda penggemar menu seperti ini, anda wajib singgah dan mencuba sendiri keunikan masakan mamak di sini.
Menunya sedikit berbeza berbanding dengan gerai mamak yang lain kerana pemilik menjanjikan resipi masakan istimewa seperti mee goreng sardin, nasi goreng sardin, nasi goreng kambing tanam dan mee goreng mamak.
Hidangan ringan seperti roti canai, roti cheese, murtabak, selain sup ayam dan sup kambing turut menjadi pilihan kegemaran pelanggan yang berkunjung ke sini.
Lokasinya yang menghadap pantai menjanjikan panaroma indah matahari terbenam yang boleh anda nikmati sambil menjamu selera pada waktu petang. Jangan lepaskan peluang ini!
Alamat: 20-24, Persiaran Kurau 1, Taman Tuah Batu, 71000
Waktu Operasi: Setiap hari, 2pm – 12am manakala Ahad 7am – 11am
12. Port Dickson Water Front
Tempat ini merupakan salah satu tarikan utama pelancong ketika berkunjung ke Port Dickson ini.
Kawasan ini menarik kerana ia menyajikan pemandangan kawasan pesisiran pantai yang indah dan pasti membuatkan anda berasa tenang untuk bersantai bersama keluarga.
Jangan bimbang dengan aktiviti anak-anak kerana terdapat taman permainan kecil yang disediakan selain kawasannya sesuai untuk dijadikan tempat bermain layang-layang.
Jika berasa lapar, boleh isi perut dengan pelbagai pilihan restoran makanan segera Dominos, McDonalds, Starbucks dan kedai makan menarik lain seperti restoran makanan jepun dan korea juga turut terdapat disini.
Alamat: 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Sabtu hingga Jumaat 9am-6pm (Ahad – 9am-5pm)
13. Warung Mak Mah Nasi Ayam
Nasi Ayam tentunya sudah cukup sinonim sebagai juadah kegemaran ramai. Jika anda berada di Port Dickson, singgahlah dan rasai sendiri keaslian resipi nasi ayam turun temurun Mak Mah ini yang telah berada di sini sejak puluhan tahun lamanya.
Baca: 45 Tempat Makan Menarik Di Melaka | Restoran Sedap & Best
Dibuka seawal jam 7am pagi, restoran ini juga menyediakan variasi pilihan sarapan menarik yang menjadi tarikan seperti soto, roti canai, nasi lemak dan aneka kuih muih melayu.
Untuk juadah tengahari, kalau anda mahu menukar selera selain makan nasi ayam, anda boleh menikmati keenakan masakan orang nogori seperti daging salai masak lemak cili api, asam pedas dan gulai kawah. Tentunya dijamin lazat tak terkata!
Alamat: Kampung Bahasa Kapor, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap hari, 7 am – 6 pm
14. Nasi Kandar Al-Wazer Maju
Nasi Kandar Al-Wazer Maju ini ialah sebuah restoran berkonsep mamak yang modern dan simple. Restoran yang cukup selesa ini menawarkan makanan tipikal sebuah mamak. Seringkali dijadikan tempat lepak atau meet-up, Nasi Kandar Al-Wazer Maju ini terletak di Taman PD Jasmin, senang nak cari jika anda sedang berkonvoi atau merancang untuk berjumpa dengan teman-teman.
Menu utama di sini ialah nasi kandar. Memang seperti original Penang nasi kandar, anda boleh dapatkan kuah campur mereka dan makan bersama sampingan ayam, sotong, ikan dan lain-lain. Selain itu, hidangan yang sering dihidang di mamak seperti aneka jenis roti canai, aneka jenis tosai, roti naan bersama tandoori dan macam-macam lagi sedia ditawarkan di sini. Masakan panas dan goreng mamak juga ada. Kalau nak makan nasi beriyani pon boleh. Kalau anda sedang bercuti atau berada di Port Dickson dan ingin mencari mamak berdekatan, pastikan anda kunjungi Restoran Nasi Kandar Al-Wazer Maju.
Alamat: No 6, tingkat Bawah, Taman PD Jasmine, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi:8am-8pm (setiap hari)
15. Yacht Muslim Halal Seafood Restaurant
Dengan nama seperti Yacht Seafood Restaurant, pasti anda dapat meneka bahawa restoran ini merupakan restoran makanan laut, kan? Tetapi, ia merupakan restoran makanan laut Cina Muslim. Namun, jangan risau, semuanya halal dan mesra Muslim. Yacht Muslim Halal Seafood Restaurant ini terletak di Batu 9, Port Dickson dan sesuai dikunjungi dalam berkumpulan. Makan seafood ramai-ramai, barulah syok.
Seperti dikatakan tadi makanan laut di sini dimasak dengan cara masakan Cina. Jadi masakan seperti butter prawn, salted egg yolk crab dan soya steamed fish menjadi antara hidangan popular di sini. Mereka turut menyediakan masakan a-la carte seperti sizzling Yee Mee, seafood fried rice dan lain-lain. Anda juga boleh menikmati hidangan western seperti fish and chips, chicken chop, lamb chop dan macam-macam lagi. Serba lengkap dan pelbagai, memang antara restoran yang perlu anda kunjungi.
Alamat: PT 3913, BATU 9, 71050 Port Dickson
16. Nasi Lemak Burger Bt 6
Nasi Lemak Burger Batu 6 ialah lagi satu restoran yang boleh anda kunjungi apabila berada di Port Dickson. Bermula dari gerai kecil, kini mereka sudah pun mempunyai restoran kecil. Terkenal dengan hidangan nasi lemak dan juga burger yang mereka tawarkan, Nasi Lemak Burger Batu 6 menjadi pilihan orang ramai, tak kira warga tempatan mahupun pelancong. Restorannya yang kemas, bersih dan selesa ini juga sering dipuji atas layanan mesra dari pekerja di sini.
Menu yang ditawarkan di sini sangat simple dan straightforward. Terdapat aneka jenis burger yang mereka sediakan seperti, yang paling popular, burger chicken crispy, burger daging special, roti john dan macam-macam lagi. Pada sebelah malam juga, anda boleh dapatkan menu western dari mereka seperti chicken chop, fish and chips, nuggets dan sebagainya. Tetapi, nasi lemak yang mereka tawarkan sering menjadi sebutan dan merupakan menu paling popular di sini.
Ramai yang mengatakan bahawa sambalnya yang menjadi faktor utama. Namun, kepelbagaian yang mereka tonjolkan juga pasti memainkan peranan. Hanya di sini, anda akan dapatkan nasi lemak ikan siakap sebelah. Selain dari itu, nasi lemak ayam goreng, nasi lemak ayam rendang dan lain-lain turut menjadi kegemaran ramai. Di sebelah pagi, anda juga akan ditawarkan dengan beberapa menu lain seperti Mee hoon, mee goreng, bubur nasi dan banyak lagi. Jangan lupa cuba sendiri Nasi Lemak Burger Batu 6.
Alamat: 22 Taman Si Rusa Jaya Batu, 6, Jalan Pantai, Bandar Baru Sunggala, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: 1pm-11pm (setiap hari, tutup pada hari Jumaat)
17. Isda Asam Pedas
Port Dickson yang terletak di Negeri Sembilan dan berdekatan dengan Melaka menjadikannya antara destinasi yang menawarkan kepelbagaian masakan. Dengan pengaruh dari kedua-dua negeri ini, makanan di Port Dickson ini memang sedap-sedap belaka.
Antara restoran yang menawarkan masakan ternama orang Melaka ialah Isda Asam Pedas yang terletak di Lukut. Kedainya sangat simple dan santai namun sering dipenuhi pelanggan kerana ia pernah digelar sebagai asam pedas terbaik Port Dickson.
Menu utama mereka ialah set asam pedas yang didatangkan dengan nasi putih, ulam, sambal belacan dan telur masin. Namun, anda boleh memilih sampingan lain untuk dinikmati bersama seperti sayur kailan ikan masin, ayam goreng, telur dadar dan sebagainya. Asam pedas yang mereka tawarkan sangat istimewa. Bukan sahaja ikan yang mereka gunakan sangat segar, setiap pesanan di masak berasingan. Itulah rahsia kesegaran masakan asam pedas mereka. Walaupun mengambil masa, kaedah ini sangat memuaskan para pelanggan. Jom kita cuba asam pedas terbaik di Port Dickson!
Alamat: Jalan Bukit Palong Lukut, Taman Perindustrian Perdana Bukit Palong, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: 5pm-8pm (setiap hari, tutup pada hari Isnin)
18. Warung Bobok
Sebuah warung yang simple namun padat dengan hidangan dan sajian lazat, Warung Bobok adalah antara warung yang boleh anda kunjungi di Port Dickson. Dibuka lebih kepada sebelah petang dan malam, Warung Bobok sering dikunjungi orang ramai ketika ingin mencari makan malam. Jadi bila anda bercuti di Port Dickson, bolehlah datang ke sini.
Menu yang mereka tawarkan sangat diverse. Dari makanan tempatan hingga ke western, semuanya ada di Warung Bobok. Makanan di sini lebih kepada nasi putih bersama pilihan lauk-pauk. Jadi, sangat sesuai jika anda makan beramai-ramai.
Ada juga masakan panas dan goreng-goreng dan antara yang istimewa di sini ialah nasi goreng kambing kaw. Anda juga boleh dapatkan sizzling Yee Mee di sini. Menarik, kan? Mee Kari dan sup kambing pon ada. Bagi makanan western pula, ramai yang gemarkan chicken chop mereka. Jangan lupa cuba Warung Bobok.
Alamat: Lot 2317, Jalan Kg Sawah Sunggala, Si Rusa, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: 5.30pm-12am (setiap hari, tutup pada hari Isnin)
19. Warung Salai
Sememangnya Port Dickson menjanjikan lokasi terbaik buat penggemar-penggemar makanan tradisi negeri Sembilan.
Buktinya, selain daripada restoran yang kita telah kongsikan diatas, Warung Salai ini juga merupakan antara salah satu tempat makan terbaik yang wajib anda singgah jika ingin menikmati kelazatan lauk pauk salai.
Menu yang perlu anda cuba ialah seperti ayam kampung salai, daging salai, perut salai, keli salai, puyuh salai, talapia salai dan itik salai. Istimewanya di warung ini, anda akan merasai sendiri suasana tradisi masyarakat Nogori dengan dendangan lagu tradisi yang popular sambil menikmati hidangan.
Selain masakan salai, asam pedas hawau juga turut menjadi pilihan pelanggan didatangkan sama ada dengan ikan, daging atau ayam.
Harga makanannya juga berpatutan iaitu serendah RM8.90 semangkuk. Pastinya berbaloi dan dijamin sedap!
Alamat: Taman Mewah, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu, 11 am – 7 pm
20. Ayam Bakar Station Port Dickson
Kalau pernah singgah di restoran ini, pasti anda akan tidak akan kecewa dengan hidangan ayam bakar dan kambing bakar yang disajikan dengan sempurna.
Menariknya, set hidangan ini didatangkan bersama nasi panas, sup dan minuman dan jangan terkejut sekiranya set ini diberi secara percuma untuk ditambah. Jadi anda bolehlah menikmati hidangan ini sepuas-puasnya!
Alamat: 5, Kampung Tanjung Pelandok, 71050 Si Rusa
Waktu Operasi: Rabu – Ahad (8am – 4pm), Tutup (Isnin dan Selasa)
21. Restoran Mimi Seafood Village Teluk Kemang
Setelah penat seharian melawati tempat menarik di sekitar PD, apa kata bawa keluarga atau kawan-kawan menjamu selera masakan panas makanan laut di Restoran Mimi Seafood Village Teluk Kemang ini untuk makan malam.
Selain daripada makanannya yang menyelerakan seperti barramundi bakar atau ikan pari dan tidak ketinggalan sotong goreng serbuk roti serta tomyam, ruang makannya yang luas dan berkonsepkan ala melayu pasti membuatkan suasana makan malam anda sungguh bersahaja.
Alamat: Kampung Baharu, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: 6pm-12am
22. Restoran Deen Berjaya Kari Kepala Ikan
Rata-rata pelanggan yang pernah singgah menikmati masakan asli kari kepala ikan di Restoran Deen Berjaya ini sungguh berpuas hati dengan hidangan yang disajikan.
Mana tidaknya, sama ada masakan asam pedas ataupun kari, kuahnya sering mendapat pujian kerana pekat dan berlemak.
Lauk sampingan lain yang wajib dipesan ialah seperti sotong goreng tepung, peria goreng dan acar timun istimewanya. Pasti tidak cukup hanya sekadar makan sepinggan nasi jika berkunjung ke sini.
Alamat: Jln Dato’ K. Pathmanaban, Bandar Port Dickson, 71000
Waktu Operasi: Sabtu- Khamis (6.30am-5pm)
23. Gerai Ayam Bakar Pasu Terlangkup
Restoran ini sudah pun viral dan popular dalam kalangan media massa dan juga media elektronik.
Ia bukan sekadar menyajikan ayam bakar biasa yang mudah didapati di mana mana, tetapi ayam tersebut bersama perapan rempah asli, disalai dan dimasak secara terlangkup di dalam pasu.
Menurut pemilik restoran ini, teknik ini digunakan supaya dapat mengelakkan jus ayam tersebut daripada kering dan anda pasti akan berselera menikmati keenakan hidangan ini.
Tambahan pula, sambil makan ayam pasu viral ini anda juga boleh memesan minuman shake atau float yang terdiri daripada air kelapa atau mangga untuk menghilangkan dahaga.
Alamat: 5, Taman Bayu, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 7pm)
24. Che Det Café PD
Pemilik restoran, Tajudin Awang cukup mengkagumi tokoh pemimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga beliau mengabadikan potret serta biodata Tun di segenap ruang restoran miliknya yang dibuka sejak tahun 2010 ini.
Nama restoran ini juga diambil bersempena nama pena yang cukup sinonim dengan Tun. Malahan, apa yang lebih menarik, restoran ini pernah dikunjungi sendiri oleh Tun Mahathir untuk singgah menjamu selera masakan ala Thai disini.
Buat anda yang ingin merasai pengalaman berbeza makan sambil menambah sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang idola negara ini, anda wajib singgah di Che Det Café, dijamin sedap dan selesa!
Alamat: Kampung Bahasa Kapor, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap hari (12pm – 12am)
25. Embok Village Steamboat & Seafood
Restoran ini merupakan tempat makan yang ideal untuk anda singgah sekiranya anda penggemar makanan laut yang dimasak berasaskan kaedah steamboat.
Dekorasi restoran ini cantik dan menyediakan meja makan dan ruang yang besar, sangat sesuai untuk anda membawa keluarga atau kawan-kawan secara berkumpulan.
Tambahan pula, anda boleh merasai sendiri suasana matahari terbenam dan menghirup udara segar tepi pantai yang mengasyikkan sambil menjamu selera hidangan laut yang menyelerakan di restoran ini. Jadi, jangan lepaskan peluang ini!
Alamat: Batu 2 1/2 Pantai Bagan Pinang, 5, Taman Port Dickson Utama, 71900
Waktu Operasi: Setiap hari, 6 pm – 12.15 am
26. Mient’s Burger
Kalau dah jemu dengan hidangan nasi atau makanan laut di Port Dickson, anda bolehlah mencuba apa yang hangat diperkatakan sebagai burger dan roti john ala Malaysia ini.
Restoran Mient’s burger popular dengan hidangan burger ayam, kambing malah ada juga burger arnab dan rusa yang boleh digandingkan bersama French Fries, Nugget, Drumet, Wedges atau Bebola Daging.
Harganya juga murah ditambah pula dengan persekitaran restoran yang bersih dan selesa pasti membuatkan anda ingin mengulangi kunjungan anda ke sini setiap kali datang ke PD.
Alamat: 258, KM 1, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson
Waktu Operasi: Sabtu – Rabu (2pm – 1am), Jumaat (345pm – 1am), Ditutup pada hari Khamis
27. Medan Ikan Bakar Majlis Perbandaran Port Dickson
Satu lagi port ikan bakar menarik untuk anda terjah dan menjamu selera hidangan laut dengan harga yang berpatutan adalah di Medan Ikan Bakar Majlis Perbandaran Port Dickson ini.
Konsep variasi restoran di dalam satu medan makan yang cuba diketengahkan membolehkan anda bebas untuk memilih restoran ikan bakar mana yang memikat selera.
Jangan bimbang, semua restoran disini dijamin sedap dan makanan lautnya pasti segar tidak kira mana satu pun restoran pilihan anda. Kemudahan lain yang turut disediakan disini ialah seperti surau dan tandas awam yang pastinya selesa dan bersih.
Alamat: Jalan Seremban, Batu 1, Negeri Sembilan, 71000 Port Dickson
Waktu Operasi: Jumaat- Ahad (9am – 12am)
28. Inns J Café
Ingin lari sebentar daripada kesibukan kota PD dan suasana pantai yang menghangatkan, anda boleh singgah merehatkan minda dan bersantai di kafe hipster, Inns J Café ini.
Dekorasi dalaman café yang elegan dan berkonsepkan moden kontemporari dengan hiasan 3D pada dindingnya pastinya menarik untuk dijadikan tempat mengambil gambar.
Sambil berehat, anda boleh menikmati hidangan menu ala barat seperti burger, sandwiches, pasta atau masakan grilled. Bukan itu saja, masakan ala kampung, dessert dan aiskrim juga turut disajikan.
Selain itu, tidak sah jika berkunjung kesini, kalau tidak mencuba minuman kopi berkualiti dan fresh brewed yang popular. Jadi , jangan lupa untuk check out this place okay!
Alamat: No.1, 71010, Taman Perindustrian Lukut Indah, 71010
Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (11 am – 11pm) Ditutup pada hari Selasa
29. MHR Burger’s Port Dickson
Uniknya restoran ini adalah kerana menu masakan ala barat yang disajikan merupakan gabungan atau fusion masakan melayu.
Contohnya seperti nasi goreng chicken chop atau menu signature mereka iaitu MHR Talam yang merupakan gandingan nasi goreng bersama ayam crispy, ayam bakar dan sosej bakar, sesuai untuk dikongsi bersama keluarga atau rakan rakan. Pasti meriah suasananya!
Selain itu, menu lain yang boleh dijadikan pilihan adalah seperti variasi masakan pasta, roti john dan oblong.
Alamat: Jalan Remis 2, Tanjung Lembah, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (3pm – 1am)
Begitulah sedikit sebanyak perkongsian tempat makan menarik di Port Dickson khas buat aktiviti jalan-jalan cari makan di sini.
Baca: 30 Destinasi Percutian Terbaik Di Port Dickson
Tips berguna buat anda supaya datang atau buat tempahan lebih awal pada waktu yang sesuai bagi mengelakkan kesesakan pelanggan dan parkir yang penuh untuk restoran-restoran tertentu. Rancanglah perjalanan anda dengan baik. Selain itu, selamat bercuti dan selamat menjamu selera!