Assalamualaikum admin Fiksyen Shasha, di sini saya ingin menceritakan kisah-kisah mistik yang berlaku kepada keluarga saya beberapa tahun lalu.
1) Kirim ‘barang’.
Ketika itu, saya masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan penting iaitu SPM. Kisah ini bermula ketika saya sedang baring sambil membaca buku, entah kenapa ketika itu, hati saya terdetik untuk melihat bawah katil saya.
Rupa-rupanya, ada sebiji telur ayam yang masih sempurna berada betul-betul di bawah katil saya baring. Lalu saya pun menunjukkan kepada kakak saya. Sebenarnya, itu bukan kali pertama perkara tersebut terjadi kepada kami, sudah masuk kali ketiga kami menjumpai telur ayam di setiap bilik.
Kali pertama kami terjumpa di bawah kotak dalam bilik saya dan kakak saya. Masa itu telur ayam tersebut sudah pecah dan busuk. Kali kedua kami terjumpa dalam bilik abang kami. Lalu saya pun mengadu perkara tersebut kepada ibu saya dan ibu saya berjanji akan merujuk hal tersebut kepada tok imam di hadapan rumah kami.
Ibu saya pun meletakkan telur ayam yang sempurna itu di atas TV di ruang tamu. Keesokkan harinya ketika kami ingin berjumpa dengan tok imam, tiba-tiba telur ayam tersebut sudah ghaib, lesap begitu sahaja. Saya cuma bertanya kepada ahli keluarga saya, adakah di antara kami mengalihkan kedudukannya?
Masing-masing menggeleng kepala. Pada masa itu saya berasa ada sesuatu tidak kena. Lalu kami sekeluarga terus menelefon seorang Ustaz, kenalan tok imam berkenaan perkara ganjil tersebut.
Apabila Ustaz itu datang dan membaca sedikit ayat-ayat suci al-Quran dan meneliti bilik-bilik yang pernah diletakkan beberapa biji telur ayam tersebut. Lalu Ustaz itu memberitahu kami bahawa memang ada orang yang mengirim ‘barang’ tersebut kepada kami sekeluarga. Orang itu selalu datang pada waktu Maghrib dengan membawa kereta hitam dan selalu mundar-mandir di kawasan perumahan kami.
Kami sekeluarga langsung tidak bertanya siapakah orang tersebut dan serahkan semua hal tersebut kepada Allah s.w.t. Yang penting, kami tidak mahu terlibat dalam perkara-perkara yang boleh mensyirikkan Allah.
2) Bunian
Kisah ini berlaku kepada kakak dan adik saya ketika adik saya baru berumur dalam 5 ke 6 tahun. ( Sekarang ini adik kecil saya sudah berumur 13 tahun). Ketika itu waktu pagi dalam pukul 10, seperti biasa, saya akan bangun dan membuka semua tingkap di bilik saya. Masa itu kedua ibubapa saya sedang menunaikan Umrah di Mekah dan tinggallah kami bersama keluarga makcik kami. Kebetulan pada masa itu keluarga makcik saya sedang bercuti di Langkawi dan tinggallah saya dan 4 adik-beradik saya. Saya tidur bersama kakak dan adik saya dalam satu bilik.
Berbalik ke cerita tadi, sambil saya membuka tingkap, saya ada terbuka sedikit pintu bilik saya sebab memang berniat untuk membersihkan ruang tamu depan. Pada masa itu adik kecil saya terjaga. Dia mengejut kakak saya dan memberitahu bahawa ada ‘kawan’ di sebalik pintu bilik kami. Ketika itu saya tidak mendengar sebab saya berada di ruang bilik satu lagi.
Kakak saya yang separuh sedar itu pun cuba melihat di sebalik pintu dan memang dia nampak ada seorang budak perempuan sebaya adik saya, berdiri betul-betul di sebalik ruang pintu yang saya buka sebentar tadi. ( pintu itu terbuka sedikit sahaja jadi kita tidak akan nampak keseluruhan orang tersebut).
Budak perempuan itu memakai baju skirt merah. Lalu kakak saya pun beritahu saya kemungkinan keluarga makcik kami sudah balik dari bercuti. Saya pun terus buka pintu bilik tersebut dan memang tiada sesiapa di luar. Saya pun cuba melilau sampai di ruang tamu, masih tidak nampak budak perempuan yang kakak dan adik saya maksudkan.
Muka kakak saya terus pucat. “ Sungguh, kak nampak ada seorang budak perempuan pakai baju merah berdiri dekat pintu bilik kita tadi”.kata kakak saya.
Kebetulan adik lelaki saya datang dan aneh melihat keadaan kami berdua. “ Hampa dua kenapa?” soal adik lelaki saya.
“Lif( bukan nama sebenar) ada nampak dak budak perempuan di pintu bilik kami tadi?’’ soal kakak saya.
“ Tadi Lif terjaga lepas dengar adik sebut-sebut kawan, Lif pun cuba tinjau tengok bilik hampa dua tadi, memang tiada sesiapa pun’’..( Bilik Lif bertentangan dengan bilik kami bertiga).
Memang kami bertiga terus mendiamkan diri sehari. Sejurus selepas keluarga makcik balik, terus kami bercerita pasal hal tersebut kepada makcik.
Tidak beberapa lama kemudian, kami mendapat tahu bahawa ‘budak perempuan’ yang memakai baju merah tersebut rupa-rupanya bunian. Dia datang dari Gunung Jerai untuk cari kawan. Mujur tok imam dan beberapa orang ustaz hantar ‘dia’ semula ke tempat asal dia.
Sekian sahaja cerita saya, maaflah kalau tidak menyeramkan bagi semua para pembaca tetapi selepas berlaku perkara-perkara ganjil tersebut, saya pun percaya bahawa dalam dunia ini ada ‘hidupan’ lain yang menumpang alam ini. Even dalam surah Jinn pun menceritakan perihal jin. Cuma kita perlu ingat bahawa mereka tidak boleh dijadikan tempat untuk bergantung, hanya Allah sahaja kita perlu bergantung. Sekian, terima kasih
hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit