Selamat Datang 2023!
Bersempena kedatangan tahun baru ini, mesti korang pun memerlukan senarai destinasi percutian terkini untuk Cuti-Cuti Malaysia bersama keluarga dan kawan-kawan, kan?
Baru-baru ini Rileklah berpeluang mengikuti ‘Fam Trip Peghelih’ yang dibawakan khas oleh pihak Gaya Travel, Akses Malaysia dan Kerajaan Negeri Perlis bagi menerokai sendiri tempat-tempat menarik yang ada di negeri yang popular dengan Mangga Harumanis itu.
Walaupun kita semua tahu Perlis adalah negeri terkecil di Malaysia, tapi korang jangan pandang sebelah mata tau!
Bak kata orang “kecil-kecil cili padi” Perlis ini, walaupun kecil tapi rupanya banyak kejutan lokasi-lokasi best ada di sana dan pastinya dijamin percutian korang akan jadi memori termanis dalam hidup. Gitchew….
Sebelum ini korang mesti selalu dengar — Perlis yang kecil tu ada apa je, selain jadi lokasi persinggahan untuk pelancong yang nak ke Pulau Langkawi atau masuk ke negara jiran, Thailand?
Tapi bila min dah explore Perlis yang dilaporkan ada penduduk sekitar 255,000 orang — paling buat min jatuh cinta adalah panorama di kiri kanan jalannya yang disajikan dengan sawah padi terbentang luas berwarna hijau keemasan. Cukup permai, cukup mempesonakan & tenang je mata memandang!
Namun kalau ikut pendapat min — masa terbaik kalau korang nak #MaiPeghelih ini adalah pada musim tengkujuh atau monsun. Kenapa?
Yela, masa tu tempat lain semua dilanda hujan lebat, ribut petir dan ombak kuat terutama di bahagian negeri Pantai Timur — jadi bercuti ke utara tanah air macam Perlis la paling sesuai dan selamat di musim tengkujuh. Betul tak?
Okay, ini senarai 15 tempat menarik yang min dah pergi sendiri kat Perlis dan memang rugi kalau korang tak singgah! Jom kita tengok…
15 TEMPAT MENARIK DI PERLIS – SENARAI TERBARU 2023
1. LADANG KENAF
Ini adalah tarikan pertama dan sangat rugi kalau korang tak pergi iaitu Ladang Kenaf yang merupakan ‘hidden gem’ terbaru di Perlis!
Berada di sini seolah-olah korang sedang melancong ke luar negara. Manakan tidak, suasana deretan pokok bunga kenaf yang berwarna putih menyajikan pemandangan indah dan memukau seakan berada di taman bunga negara sejuk Eropah.
Kawasan Ladang Kenaf terletak di tepi jalan laluan utama ke Padang Besar dan kalau korang nak tahu tempat ini sebelumnya merupakan ladang penanaman tebu yang mana Perlis pernah menjadi pengeluar kilang gula terbesar di Malaysia sebelum berpindah ke Johor.
Kalau datang bergambar di Ladang Kenaf ini korang bawalah beberapa props seperti kerusi, topi besar atau selendang untuk gambar yang lebih estetik. Nak rakam video ala-ala tengah ‘healing’ pun menarik kat sini!
Lagi satu pastikan jika ke sini korang standby dengan payung, air dan cermin mata hitam sebab tempat ini walaupun cantik tetapi sangat panas ya…panaih lit lit bak kata oghang utagha! Tapi gambar memang kebaboom cantiknya!
Masuk ke ladang ini percuma saja dan kalau korang bawa drone memang lagi gempak video korang. Maklumlah Ladang Kenaf ini sangat luas ya!
2. WANG KELIAN VIEW POINT
Jika korang pencinta alam semulajadi, korang kena singgah sini iaitu Wang Kelian View Point.
Di sini korang akan dapat menyaksikan pemandangan dan lanskap indah di ketinggian 303 meter dari aras laut.
Tetapi tarikan paling popular yang ramai orang idamkan di sini adalah untuk menyaksikan sendiri panorama menakjubkan dan jarang-jarang sekali dilihat iaitu ‘Fenomena Awan Karpet’ atau kejadian gumpalan awan yang terbentang luas bak permaidani melewati dua puncak Bukit Chabang.
Tetapi menurut penduduk tempatan, tips untuk melihat ‘Awan Karpet’ adalah malam sebelum korang naik mestilah cuaca mendung dan hujan — barulah awal pagi esoknya korang dapat enjoy fenomena luar biasa itu.
Menurut penduduk juga, gumpalan corak awan terbentang dapat dilihat sehingga Empangan Timah Tasoh yang terletak 16.2 kilometer dari kawasan itu.
Disebabkan Perlis tiada banyak bangunan pencakar langit dan amat kurang pencemaran udara, jadi awan karpet ini mudah terbentuk.
Terbaharu Wang Kelian View Point ini mengenakan caj kepada pengunjung dewasa sebanyak RM2 dan kanak-kanak seringgit yang korang kena bayar di pintu gerbang berpalang sebelum mendaki ke puncaknya.
Meskipun ada sedikit trek mendaki tetapi korang jangan risau kerana laluannya adalah jalan bertar dan tidaklah sesukar mana, asalkan korang memakai kasut yang bersesuaian untuk lebih keselesaan.
Selepas mendaki sekitar 5 hingga 10 minit mengikut kelajuan masing-masing, mesti penat korang akan terus hilang bila melihat pemandangan indah yang boleh nampak satu Perlis.
Walaupun cuaca masa korang pergi nanti panas terik, tapi jangan risau angin yang bertiup di puncak Wang Kelian itu pasti dapat menyejukkan badan korang. Nyaman je angin yang bertiup sambil layan view indah!
Di sana ada banyak port untuk korang bergambar cantik seperti papan tanda besar, pelantar tertera tulisan ‘Wang Kelian’ di lantainya serta buaian dengan panorama mempesonakan.
Andai kata tengah seronok bergambar-gambar dan tiba-tiba korang rasa dahaga atau lapar, jangan risau sebab di puncak Wang Kelian View Point itu tersedia dereta gerai-gerai makanan, minuman dan kopi pun ada untuk korang beli sambil menjamu selera dengan view mahal kat sana!
3. “TAMAN RAHSIA” DALAM GUA KELAM
Bila orang sebut ada ‘Secret Garden’ dalam Gua Kelam yang sememangnya popular dan menjadi ikonik pelancongan Perlis — min agak rasa mistik sedikit, kot la ada makhluk halus seperti bunian yang menjadi penghuninya.
Tetapi bila dah menelusuri Gua Kelam yang gelap itu ternyata ‘Taman Rahsia’ tersebut tidaklah semistik yang disangka, sebaliknya ia merupakan sebuah taman rekreasi dikelilingi alam semulajadi cukup indah bak Taman Avatar cuma bezanya tiada limpahan cahaya berwarna-warni.
Itulah keunikan Taman Rahsia Perlis atau “Secret Garden of Perlis” yang terletak dalam kawasan paling hujung Gua Kelam.
Untuk sampai ke taman rahsia ini adalah sekitar 30 minit jika berjalan kaki dari pintu masuk Gua Kelam.
Orang kata kalau dah jejak Perlis rugi tak masuk ke Gua Kelam yang disifatkan antara gua batu kapur tercantik di Malaysia.
Di dalam gua ini terdapat terowong yang panjangnya 370 meter dan terletak berhampiran pekan kecil Kaki Bukit, kira-kira 33 kilometer di utara Kangar, Perlis.
Terowong inilah yang menjadi antara tarikan pengunjung untuk meneroka Gua Kelam.
Gua ini dinamakan Gua Kelam sempena keadaan dan kedudukannya di kaki bukit — selain suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini.
Kelam mengikut loghat utara bermaksud gelap. Mengikut fakta sejarah pula, nama Gua Kelam diberikan oleh pelombong bijih timah suatu ketika dahulu sempena kegelapan gua itu sendiri.
Hari ini sebagai tarikan pelancongan, Gua Kelam menyediakan laluan interpretasi sepanjang 1.5km meliputi jalan atas simen, tanah dan laluan anak sungai.
Sekarang nak masuk ke Gua Kelam adalah percuma dan ia dibuka setiap hari bermula 8 pagi.
4. KAMPUNG WARNA-WARNI
Ini ada satu lagi tarikan yang best kalau korang bertandang di Perlis iaitu “Kampung Warna-Warni” yang terletak di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Sebenarnya kalau korang nak tahu kampung ini dulu merupakan sebuah perkampungan nelayan yang telah ditransformasikan menjadi lebih berwarna-warni dan cantik untuk dijadikan tarikan pelancongan di Perlis.
Sebaik melangkah ke kampung ini pandangan korang pasti terpesona dengan pelbagai cat berwarna-warni yang menghiasi deretan rumah penduduk di sini.
Antara tema warna yang wajib diguna semestinya warna bendera Perlis iaitu kuning dan biru.
Kalau korang nak tahu majoriti hiasan di kampung tersebut adalah hasil kreativiti penduduk sendiri yang banyak menggunakan barangan terpakai — selain terdapat beberapa sudut tarikan yang telah mendapat tajaan daripada beberapa badan korporat seperti Lorong Rakyat, Kebun Nuri Nutrisi, Laman Bunga Kertas dan Laman Laksa.
Jalan-jalan di sepanjang kampung ini, langkah korang sebenarnya akan menuju ke satu lagi destinasi ikonik iaitu Jambatan Tuanku Syed Putra yang juga dihiasi dengan cat berwarna pelangi.
Selain boleh dijadikan sebagai tempat OOTD cantik, kalau korang naik di atas jambatan berkenaan pada waktu pagi atau petang — korang akan menikmati satu lagi suasana yang susah nak jumpa di bandar iaitu detik di mana para nelayan menaikkan ikan hasil tangkapan mereka dari laut.
Silap-silap korang boleh borong ikan segar dengan nelayan di situ dengan harga yang cukup berbaloi.
5. TASIK TIMAH TASOH
Tasik buatan manusia ini antara satu lagi “permata tersembunyi” yang begitu sinonim dengan Perlis dan wajib korang kunjungi.
Tasik Timah Tasoh ini sebenarnya merupakan pertemuan dua buah sungai iaitu Sg. Timah dan Sg. Tasoh sebagaimana kombinasi namanya.
Datang ke sini korang ada 2 pilihan riadah yang boleh dipilih mengikut kesukaan masing-masing iaitu untuk melakukan aktiviti air seperti berkayak, menaiki bot, bermain kapal layar, memancing ikan air tawar atau berkhemah di tepi tasik.
Manakala satu lagi pilihan adalah melakukan aktiviti riadah di kawasan daratan yang luas di tepi tasik seperti menaiki basikal, skuter, kereta api kanak-kanak untuk meronda keindahan sekeliling Tasik Timah Tasoh sambil merakam gambar.
Kalau korang sukakan pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik dengan biasan air seakan cermin di tengah-tengah tasik — korang kena sewa bot yang ada disediakan di Santuari Ikan Air Tawar dengan kadar bayaran serendah RM50 bagi setiap 30 minit dengan 6 penumpang setiap kali perjalanan.
Percayalah kalau korang naik pada waktu petang atau menghampiri senja — korang pasti tergamam dengan panorama matahari terbenam di tengah tasik yang cukup memukau berlatar belakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan Thailand.
Sampai sekarang min masih lagi belum move-on dengan keindahan sunset di sana!
6. TAMAN TASIK MELATI
Jika berada di Perlis dan korang cari tempat nak ‘healing’ atau bersantai sambil menikmati udara segar, korang boleh bersiar-siar di atas titi di sepanjang taman rekreasi Taman Tasik Melati.
Kalau korang nak tahu, Tasik Melati yang terletak di Kangar ini merupakan sebuah tasik kecil tetapi cukup indah dan ia mendapat namanya melalui bunga teratai yang terapung-apung di atas air.
Istirehat di tasik ini cukup memberikan ketenangan apatah lagi dengan keunikan binaan jambatannya yang dilengkapi gazebo berbentuk seakan pagoda.
Tak sah kalau korang singgah ke Tasik Melati ini tidak bergambar kenangan dengan latar belakang binaan pagoda terapung persis seperti berada di Tanah Besar China.
Habiskan masa tak sampai sejam di sini pun dah cukup menenangkan fikiran yang penuh dengan bebanan hidup. Tempat ‘healing’ perfect bagi yang mungkin sedang menghadapi masalah atau tekanan.
7. BATIK INDERAWASIH
Lazimnya apabila sebut mengenai batik, pasti ramai yang mengaitkan seni kraf itu dengan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu yang cukup terkenal dengan hasil seni tersebut.
Tetapi korang jangan terkejut tau kalau sebenarnya Perlis pun ada batik mereka sendiri yang tak kurang hebatnya dengan batik Kelantan atau Terengganu.
Kalau korang nak tahu bagaimana rupa atau keunikan batik Perlis ini — korang boleh singgah ke Batik Inderawasih di Jalan Datuk Kayaman, Kampung Ngulang, Kangar.
Di sini korang berpeluang untuk melihat atau cuba sendiri mencanting batik atau mewarna kit batik yang akan dipimpin oleh pemilik Batik Inderawasih, Zarina Salleh.
Beliau yang telah mengusahakan Batik Inderawasih ini sejak tahun 1993 adalah antara pelopor batik Perlis dan sangat pakar dalam menghasilkan pelbagai produk bermotifkan batik yang menggunakan teknik seperti overlap dan cracking, tie-dye selain proses tradisional mencanting.
Menariknya di sini juga ada disediakan kit batik untuk pengunjung yang ingin berjinak-jinak dengan teknik mewarna batik.
Selain itu, Batik Inderawasih turut menjual pelbagai produk batik seperti kain hiasan dinding, baju wanita, kemeja lelaki, tshirt tie-dye, selendang dan tudung bawal kesemuanya bermotifkan batik untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.
8. MASJID ‘KISSES’ / MASJID RUSIA
Sekiranya korang mahu ke Kuala Perlis atau pulang dari sana, mesti korang akan terpandang masjid lawa umpama Masjid Coklat ‘Kisses’ atau juga digelar sebagai Masjid Rusia.
Sebenarnya masjid dengan kubah unik berwarna-warni ini diberi nama Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (TSFPJ) dan terletak di tepi jalan utama Kuala Perlis-Changlun atau lebih tepat lagi di kawasan Batu 5, Kayang di Kuala Perlis.
Ada yang memberi nama jolokan masjid ini sebagai ‘Masjid Rusia’ kerana ia mengambil inspirasi bentuk bangunan atau menara yang terdapat di Red Square, Moscow, Rusia.
Tetapi tidak kurang juga yang menggelarkannya sebagai ‘Masjid Aladin’ disebabkan bentuk masjid serta kubahnya persis seperti buku kisah dongeng rakyat Timur Tengah, ‘1001 Malam’.
Masjid ini mula digunakan anak kariah bermula pada solat Subuh, 12 November 2021.
Ruang solat di masjid ini mampu memuatkan antara 800 hingga 1,000 jemaah.
Masjid yang dicat berwarna kuning ini dilengkapi teknologi hijau dan jika dilihat pemandangan luarnya juga cukup indah dengan panorama sawah pagi serta ketenangan bukit di belakangnya.
Ramai menjadikan masjid ini sebagai kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terutama kepada pengunjung yang mahu bersolat atau membersihkan diri sebelum pulang ke destinasi masing-masing selepas bercuti sama ada di Pulau Langkawi atau Perlis kerana tempat ibadah ini turut mempunyai kemudahan bilik mandi.
9. “MASJID TERAPUNG” MASJID AL-HUSSAIN
Kalau korang perasan di setiap negeri di Malaysia mesti ada sebuah masjid terapung yang menjadi ikonik negeri masing-masing.
Bagi Perlis, masjid terapung yang dimilikinya dinamakan Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis dan dibina di tepi pantai menghadap laut Selat Melaka.
Disebabkan kedudukannya di tepi laut, masjid ini memiliki ciri-ciri binaan yang mudah dijaga dan tahan lasak.
Jika dilihat pada ciri luaran utama Masjid Al Hussain ialah kubahnya berwarna kuning keemasan beserta motif biru yang sinonim dengan warna rasmi negeri Perlis.
Keunikan yang dapat korang lihat pada masjid ini juga terletak pada menara puncak berkembar berbentuk heksagon atau segi enam pertama di dunia.
Pembinaannya merupakan simbolik bahawa semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa.
Ia dianggap unik kerana, pada setiap kali masuk waktu solat, pancaran cahaya dengan warna tertentu seperti merah, biru, putih dan hijau akan dinyalakan — sekaligus memberi petunjuk kepada para nelayan di laut bahawa telah masuk waktu solat serta para nelayan yang berada nun jauh di tengah lautan.
Kalau korang perasan, sebenarnya mereka menyalakan lampu biru bagi menandakan waktu Solat Subuh dan Maghrib — manakala hijau adalah bagi Solat Isyak.
Menara itu boleh dilihat dari jarak 10 kilometer jauhnya tau! Ada yang pernah tunaikan solat dalam masjid tersebut?
10. TOK KALA RENUN CAFE
Memandangkan di Perlis ini kiri kanan jalan penuh dengan sawah padi terbentang luas, jadi jangan risau dah tentu banyak port menjamu selera dengan pemandangan bendang yang mempesonakan.
Tok Kala Renun Kafe tepi sawah mula beroperasi pada 21 September 2021.
Pengunjung boleh santai menikmati pelbagai hidangan yang menyelerakan daripada menu sarapan hingga ke menu hispter, sambil ditemani pemandangan sawah yang tenang dan nyaman.
Selain nasi lemak dengan aneka masakan berlauk, ada juga pulut kuning rendang daging, sate, mi kari, roti bakar telur gedik, lontong, ketupat rendang daging, mi goreng mamak dan macam-macam lagi.
Terdapat pelbagai jenis ruang makan ada di kafe ini seperti kerusi meja bawah payung, pondok kayu tepi sawah dan bawah khemah serta gazebo.
Malah ada beberapa port untuk pengunjung ber-OOTD juga dihias cantik seperti hammock bawah pohon kelapa dan buaian di tepi sawah.
Tok Kala Renun Kafe ini dibuka dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari kecuali Jumaat.
11. DEFINE CAFE
Satu perkara yang min perhatikan apabila berpeluang bercuti ke Perlis ini adalah negeri ini sebenarnya mempunyai banyak deretan kedai kopi hipster yang berkonsepkan urban. Memang suatu yang menerujakan tambah-tambah lagi min merupakan seorang ‘coffee-lover’.
Kalau korang pun sejenis tak boleh hidup tanpa kopi, korang boleh cuba lepak di sebuah kafe yang sedang viral di media sosial ini iaitu ‘Define Cafe’.
Kafe ini viral kerana konsepnya yang seakan kafe mafia atau yakuza Jepun!
Dengan lokasi kafe di lorong yang agak tersorok dan pintu masuknya pula di bahagian tepi bangunan di tingkat 2 — membuatkan aura kafe mafia itu sudah mula dirasai sebaik menjejakkan kaki di sini.
Apabila melangkah masuk ke dalam Define Cafe ini pula mata tentunya terpana dengan penataan warna tema kafe yang mengetengahkan warna hitam dan dilengkapi cahaya malap di hampir segenap ruangnya.
Malah reka bentuk serta hiasan di kafe ini juga sangat minimalis dan banyak menyuntik elemen gaya yakuza Jepun.
Kalau korang nak tahu juga Barista di Define Cafe ini merupakan anak jati Perlis juga membawa pesona seakan konsep kafenya.
Menyentuh soal hidangan minuman, khususnya kopi — korang memang akan cukup puas hati dan kopinya sememangnya sedap dinikmati dalam suasana yang tenang dan sunyi.
Buat masa ini, kafe ini cuma menghidangkan minuman tidak termasuk alkohol.
Define Cafe dibuka setiap hari dari pukul 1 petang hingga 11 malam.
12. WARONG WESTERN 1.90
Kenapa tempat makan western ini namanya Warong Western 1.90? Adakah harganya semurah RM1.90 sahaja? Tak mungkin la kan?
Ya, korang memang betul! Ada makanan di sini yang dijual hanya pada harga RM1.90!!! Macam tak percaya kan…korang kena datang cuba sendiri.
Lagipun kebarangkalian Western 1.90 ini merupakan satu-satunya kedai yang menjual harga makanan Barat pada harga RM1.90 sahaja di Malaysia, tau!
Restoran yang terletak di tepi jalan di Arau, Perlis ini mungkin nampak biasa-biasa saja tetapi cukup unik.
Antara makanan berharga RM1.90 itu termasuklah Chicken Chop, Chicken Grill, Kulit Ayam Crispy Kriukk Krapp dan Chicken Finger. Cukup berpatutan dengan portion hidangan yang diberikan.
Ada juga menu-menu lain dengan harga berlainan tapi masih murah. Misalnya Burger Daging (RM2.00), Udang Celup Tepung (RM2.90), Chicken Spicy Korea (RM3.90) dan Fish & Chip + Lemon (RM5.90). Lamb Chop, Cheezy Chicken Chop Leleh dan Ramen Spicy Korea pun ada dengan harga RM6.90 setiap satu. Kalau mahu makanan bernasi, boleh cuba Nasi Goreng Chicken Chop (RM7.90)
Untuk menu yang lebih menjimatkan, boleh cuba Mix Platter A (RM13.90), B (RM14.90) dan E (Seafood) (RM12.90).
Jadi kalau dah datang ke Perlis jangan lupa singgah untuk mencuba hidangan menu barat dekat sini.
Tempat makan ini dibuka setiap hari dari pukul 5 petang hingga 11 malam kecuali Ahad.
13. SHAR’NIS CORNER IKAN BAKAR & MAKANAN LAUT
Seperti yang kita tahu selalunya jika nama tempat itu adalah ‘Kuala atau Kole’ — sudah semestinya ia merupakan lubuk makanan laut yang segar-segar belaka!
Di Perlis juga ada lokasi di mana korang boleh membeli dan menjamu selera dengan pelbagai hidangan makanan laut dan ikan-ikan segar iaitu di Kuala Perlis.
Kuala Perlis memang terkenal dengan deretan restoran makanan laut yang bukan setakat segar dan sedap, bahkan murah.
Ada banyak kedai makanan laut yang ada di Medan Ikan Bakar Kuala Perlis, berdepan dengan Hotel Putra Brasmana.
Salah satu kedai yang popular dan tak rugi kalau korang cuba adalah Shar’nis Corner Ikan Bakar & Makanan Laut.
Antara makanan yang paling digemari pelanggan di sini termasuklah ikan bakar, ikan siakap tiga rasa, mentarang bakar dan ikan siakap masak stim limau.
Jika datang di waktu petang, pelanggan bahkan boleh menikmati pemandangan matahari terbenam yang tidak kurang menarik dari sini restoran di tepi pantai Kuala Perlis ini. Dari kejauhan, akan nampak Pulau Langkawi tau!
14. NAT POKOK GETAH
Di Perlis dan Kedah, ‘nat’ merujuk kepada pasar sehari dan Nat Pokok Getah ini antara pasar yang kerap dikunjungi khususnya warga tempatan.
Ia agak unik berbanding kebanyakan pasar sehari di Malaysia kerana terletak di ladang getah.
Di pasar yang terletak di Jalan Arau-Pauh ini, pengunjung boleh melihat aktiviti masyarakat di sini dan turut menyertai dalam aktiviti jual beli.
Selain aneka makanan yang dimasak panas, di sini juga terdapat barang basah, sayuran, barangan keperluan harian dan macam-macam lagi.
Turut ada dijual ialah buah-buahan, pokok bunga, haiwan peliharaan, alatan tukang, barangan elektrik malah produk-produk terpakai seperti pakaian dan kasut.
Dalam seminggu hanya 2 hari sahaja Nat Pokok Getah ini dibuka iaitu pada hari Jumaat dan Ahad dari pukul 7 pagi hingga 2 petang sahaja tau!
15. PADANG BESAR
Kalau dah sampai ke Perlis, memang rugi rasanya kalau korang tak singgah ke Padang Besar — sebuah lokasi kegemaran atau favorit kaum wanita dan lelaki yang sememangnya kaki shopping.
Ini kerana di sana terdapat Arked Niaga Padang Besar yang terletak bersempadan dengan negara Thailand menjadikannya antara spot cukup ikonik bagi pelancong yang mahu mendapatkan aneka barangan dan makanan, termasuk daripada negara jiran itu.
Paling best harga barangan di sini adalah lebih murah berbanding di tempat lain mungkin kerana lokasi yang dekat dengan sempadan Thailand serta peniaga di sini juga majoritinya adalah dari Siam.
Terdapat ratusan kedai yang ada di sini dengan menjual pelbagai jenis produk termasuk makanan, kelengkapan rumah, pakaian jersi, permainan dan macam-macam lagi.
Majoriti pengunjung di sini paling suka memborong kacang-kacang premium seperti Macademia, Pistachio, Almond, Gajus dan pelbagai lagi kerana harga memang cukup murah berbanding di tempat lain.
Biarpun menampung kunjungan pelancong yang ramai termasuk pada hari bekerja, berbelanja di sini terasa lebih mudah dengan fasiliti seperti tempat makan, surau, tandas dan parkir kenderaan juga tersedia.
Arked Niaga Padang Besar ini beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.
P/S: Seronok, kan tengok min jenjalan Perlis? Siapa sangka selama ini ramai duk ingat Perlis tu kecil tapi rupa-rupanya banyak betul kejutan tempat menarik yang langsung tak cemuih walau pergi berulang kali. Jadi korang tunggu apa lagi? #MaiPeghelih la cepat!
Kredit Gambar: Gaya Travel & Rileklah