Bandaraya di-Raja Klang, Selangor memang penuh dengan tempat-tempat makan yang menarik. Bandar yang besar dan luas ini sudah tentu menempatkan pelbagai restoran yang best. Mari kami kongsikan 11 tempat makan menarik di Klang yang mesti anda cuba.
01. Qidot Cafe
Terletak di sekitar Jalan Klang-Banting, Qidot Cafe ini merupakan sebuah kedai makan yang kelihatan seperti rumah English Cottage. Dengan dekorasi luarannya yang berunsur colonial dan hiasan bunga-bunga, kedai ini pasti menarik perhatian anda.
Menu yang mereka tawarkan juga sangat luas, kafe ini bukan sahaja menawarkan makanan lokal yang menjadi kegemaran ramai, malah makanan barat atau western dan kek juga menjadi taruhan mereka.
Makanan lokal seperti nasi lemak, dipelbagaikan. Anda boleh dapatkan nasi lemak biasa yang dibungkus daun pisang, nasi lemak ayam atau nasi lemak sotong yang digelar sebagai nasi lemak Carribbean. Selain itu, nasi ayam, nasi goreng dan bubur juga ada di sini.
Makanan barat staple seperti chicken chop, grilled lamb, burger juga disediakan di samping pasta dan pizza yang berbagai rasa.
Untuk kek yang sedap digandingkan bersama kopi-kopi dan teh yang mereka tawarkan, anda disediakan dengan pelbagai pilihan seperti chocolate indulgence, red velvet, Victoria sandwich dan banyak lagi. Pendek kata, memang banyak pilihan di sini. Anda boleh nikmati dalam suasana yang cukup istimewa.
Alamat: Lot 1658, Batu 9, Jalan Klang – Banting, Kampung Medan, 42500 Telok Panglima Garang, Selangor
Waktu Operasi: 12pm-10pm (setiap hari, tutup pada hari Isnin)
02. Laparbetul.Co
Bagi anda yang sukakan suasana open air dan ala-ala food court, anda mesti cuba Laparbetul.Co yang terletak di Kapar.
Suasana yang selesa, tempat letak kereta yang luas dan variasi makanan yang luas memang menjadikan Laparbetul.Co ini menjadi port lepak yang dikenali ramai.
Kalau nak cerita menu di sini, memang banyak. Antara yang mesti anda cuba ialah roti nan & tandoori, nachos, Korean chicken & samyang dan juga kambing bakar. Kalau mahukan menu yang lebih berat, boleh dapatkan shell-out, nasi lemak, pasta, nasi lemak, char kuey teow dan banyak lagi.
Pencuci mulut pon banyak di sini. Dari pisang goreng cheese ke ABC, Laici Kang ke Coconut Shake, macam-macam ada. Memang sesuai untuk anda datang beramai-ramai. Tak percaya, ikuti laman Facebook mereka, tengok sendiri.
Alamat: 11, Jalan Dusun, Kampung Bukit Kapar, 42200 Kapar, Selangor
Waktu Operasi: 5pm-12pm (setiap hari, tutup pada hari Khamis)
03. Warung Warisan Asli
Restoran yang dibuka sejak tahun 2005 ini memang dah lama beroperasi dan sudah pun dikenali.
Mereka terletak di Taman Bayu Tinggi, Klang dan menyediakan pelbagai menu masakan Melayu. Suasana kedai yang selesa, kemas dan ada unsur tradisional Melayu ini sedia menerima kehadiran pelanggan untuk sarapan pagi hingga ke makan malam.
Waktu pagi, hidangan sarapan mereka termasuk makanan kegemaran ramai seperti nasi lemak dan lempeng kelapa. Untuk makan tengah hari dan malam, mereka tawarkan nasi putih dan pilihan lauk seperti ikan masak tiga rasa, ayam masak padprik, sayur goreng dan banyak lagi.
Kalau anda mahukan sesuatu yang lebih a-la carte, goreng-goreng pon ada. Kalau kedai yang dah lama ni, selalunya mesti sedap. Pastikan anda cuba!
Alamat: No. 2, Jalan Bayu Tinggi 2A/KS6, Taman Bayu Tinggi, Selangor, 41200 Klang
Waktu Operasi: Isnin (Tutup) | Hari Lain (11:00am-04:00pm)
04. Nasi Kukus Sotong Besar
Terletak di tengah-tengah Bandar Klang, Restoran Nasi Kukus Sotong Besar ini memang popular. Malah, mereka juga mempunyai cawangan lain di Shah Alam tau. Kedai yang selesa ini mempunyai keistimewaan dengan teknologi yang mereka gunakan.
Pesanan anda boleh dibuat menggunakan sistem scan, yang hantar makanan pon waiter robot dan pembayaran juga boleh dilakukan secara online tanpa perlu ke kaunter. Level lain ni kan?
Menu utama mereka tentulah sotong Besar yang digoreng tepung rangup. Ini memang menu kesukaan ramai.
Boleh pesan begitu sahaja atau dalam set nasi kukus yang didatangkan bersama nasi kukus serta kuah gulai dan sambal belacan. Selain itu nasi kerabu kambing bakar dan nasi ayam herbal juga antara menu popular di sini. Pastikan anda datang dan cuba sendiri makanan di sini. Memang best.
Alamat: No.1 Tingkat Bawah, Jalan Harmoni 1B/KU3,Kristal Klang Commercial Centre, Kampung Batu Belah, 41050 Klang, Selangor
Waktu Operasi: 11.30pm-10.30pm (setiap hari, tutup pada hari Selasa)
05. GH Corner Bandar Bukit Raja
GH Corner ini memang restoran yang popular dengan lebih 30 cawangan serata negara. Hebat, kan? Kalau banyak cawangan ni, mana-mana pon boleh cuba tapi jika anda berada atau berkunjung ke Klang atau kawasan Selangor, boleh datang ke cawangan mereka yang terletak di Bandar Bukit Raja. Hiasan dalaman restoran ini sangat classy.
Malah, ramai yang terkejut kerana harga makanan di sini agak berpatutan jika dibandingkan dengan look restoran ini yang tampak mewah.
Menu yang mereka tawarkan adalah sangat luas dan berbagai menjadikan mudah untuk anda membawa kaum keluarga datang beramai-ramai.
Dari makanan lokal seperti nasi goreng, Tom yam, nasi ayam dan banyak lagi, ke masakan western seperti grilled chicken chop, grilled salmon dan pasta, tentunya ada sesuatu untuk semua. Jadi, datanglah beramai-ramai.
Alamat: 11, Jalan Rodat 2A/KU5, Bandar Bukit Raja, 41050 Klang, Selangor
Waktu Operasi: 10.30am-10pm (setiap hari)
06. Restoran Rahmat Tan
Untuk anda yang sukakan masakan cina dan mencari makanan masakan cina yang halal di Klang, bolehlah berkunjung ke Restoran Rahmat Tan yang terletak di Bandar Bukit Tinggi.
Restoran ini tampak simple namun kemas dan teratur, membiarkan makanan hidangan mereka menjadi tumpuan utama.
Menu mereka mengetengahkan masakan makanan laut. Masakan laut berteraskan resepi Cina seperti ikan kerapu masak taucho, lala dimasak kamhiong, dan tofu dimasak sizzling style dihidang atas hot plate memang memberikan rasa masakan cina yang asli.
Mereka juga menyediakan makanan lain seperti goreng-goreng dan mee hokkien yang menjadi kesukaan ramai. Jadi jika anda ingin mencari masakan cina di Klang, cubalah Restoran Rahmat Tan.
Alamat: 51-00-1, Jalan Batu Nilam 1, Bandar Bukit Tinggi 1, 41200 Klang, Selangor
Waktu Operasi: 11am-8pm (setiap hari)
07. Sate Famili
Bagi penggemar satay, bila berada di Klang, mesti cuba Sate Famili dari Sate Sidek. Buat pengetahuan anda, sate Sidek ini sudah pun beroperasi sejak tahun 1989 lagi. Lama betul, kan? Tentu sekali sudah dikenali ramai, ianya terletak di Taman Desa Permai di Klang.
Menu utama tentulah satay. Terdapat 4 jenis satay yang mereka tawarkan iaitu ayam, daging, kambing dan perut. Dengan perapan rahsia yang istimewa, satay yang mereka sediakan memang sedap.
Apa lagi jika dimakan bersama nasi impit, timun dan kuah kacang. Di sini juga, mereka sediakan masakan-masakan panas seperti nasi goreng dan mee goreng. Jadi, ada sesuatu untuk semua. Jangan lupa singgah ke Sate Famili bila berada di Klang nanti.
Alamat: No 10, Jalan Meranti Putih 1/KU10 taman desa permai , 41050 Klang, Selangor, 41050 Klang, Selangor, Malaysia
Waktu Operasi: Isnin-Sabtu (10:00am-10:00pm) | Ahad (Tutup)
08. Ikhwan Cafe Bukit Raja
Ikhwan Cafe yang terletak di Bandar Bukit Raja Klang ini menawarkan makanan halal dan bersih, 100% tanpa ragu. Restoran ini memang menarik dan nampak sangat classy. Persekitarannya yang bersih juga membantu mereka dalam menarik perhatian pelanggan.
Menu istimewa mereka ialah nasi ayam Hainan. Namun, mereka menyediakan pelbagai makanan lain dari sarapan pagi hingga ke makan malam. Untuk sarapan pagi, anda akan dijamu dengan makanan typical sarapan pagi seperti roti canai, nasi lemak dan teh tarik. Namun, untuk suatu kelainan, cubalah roti sarang burung. Memang best.
Untuk makan tengah hari dan makan malam pula, anda boleh dapatkan nasi putih yang boleh dimakan bersama lauk-pauk yang pelbagai. Yang penting, bukan sahaja macam-macam ada, semuanya juga disediakan bersih, halal dan tanpa ragu-ragu. Jemput singgah ye.
Alamat: No. 1, Jalan Rodat 2A/KU5, Bandar Bukit Raja, 41050 Klang, Selangor
Waktu Operasi: 7.30am-10pm (setiap hari)
09. Warung Pak Din Grove
Kedai yang selalu padat dengan pelanggan ini bernama Warung Pak Din Grove yang terletak di Palm Grove. Warung ini telah pun beroperasi sejak tahun 1979. Walaupun nampak simple, namun makanan yang ditawarkan di sini cukup istimewa dan sedap.
Warung ini menyajikan pelbagai kuih muih tradisional yang pasti menjadi kegemaran ramai seperti karipap, kuih ketayap, kuih kerja dan popiah. Selain itu, mereka juga menawarkan pelbagai pilihan makanan seperti mee kari, nasi daging, laksa utara, nasi lemak dan banyak lagi.
Snek-snek pilihan ramai seperti pisang goreng dan keropok lekor turut disediakan di sini. Pastikan anda ambil masa untuk singgah ke sini.
Alamat: 44, Jalan Ladang, Taman Palm Grove, 41200 Klang, Selangor
Waktu Operasi: 12pm-6pm (setiap hari, tutup pada hari Jumaat)
10. Bukku Cafe
Kombinasi kedai makan dan kedai buku mungkin sesuatu yang agak unik namun ianya ternyata satu kombinasi yang tepat.
Cafe terpencil di sekitar Setia Alam ini dinamakan sebagai Bukku Cafe dan merupakan sebuah kedai kopi dan makan, yang menyediakan pilihan bahan bacaan yang banyak. Cafe ini bukan sahaja ingin memberikan pengalaman makan yang berbeza dan lazat, mereka juga ingin memupuk sifat suka membaca di kalangan pelanggan mereka.
Dengan tempat duduk indoor dan outdoor, kedua-duanya sangat selesa dan mempunyai suasana yang aman. Makanan yang ditawarkan di sini juga tidak kurang istimewa.
Kombinasi makanan fusion, asian dan western, anda pasti rambang mata dengan pilihan yang ditawarkan. Kami recommend anda cuba salted egg yolk croissant mereka. Roti croissant yang rangup di luar, dan lembut di dalam berinitikan kuah telur masin yang sangat sedap.
Anda juga perlu mencuba molten lava cake mereka yang memang menjadi kegemaran ramai pelanggan mereka.
Dari segi minuman, pelbagai jenis kopi, teh dan coklat boleh dicuba dalam bentuk panas mahupun sejuk. Untuk suatu pengalaman makan yang tenang, aman dan selesa bak dalam novel, datanglah ke Bukku Cafe.
Alamat: No.1, Jalan Singgahsana 4A/KU2, Bandar Bukit Raja, 41050 Klang, Selangor
Waktu Operasi: 10am-5pm (setiap hari)
11. Restoran Itik Salai Atok
Kuah masak lemak cili api memang menjadi antara lauk kegemaran rakyat Malaysia. Kombinasi rasa lemak dan pedas ini memang memikat hati. Isi kuah lemak ini pula boleh berbagai-bagai.
Bukan sahaja ikan dan ayam, namun daging salai juga antara isi kuah lemak yang menjadi kegemaran ramai. Namun, di Klang, terdapat satu kedai yang membawa kelainan dengan menawarkan itik salai. Restoran Itik Salai Atok terletak di Kapar ini memang sangat dikenali ramai.
Menawarkan menu set salai yang dimasak bersama kuah lemak cili api ataupun set sali yang dihidang bersama air asam, anda boleh memilih daging salai pilihan anda antara ayam, daging, itik, keli ataupun arnab. Arnab? Ye, arnab. Menarik, kan?
Memfokuskan kepada waktu brunch, makan tengah hari dan minum petang, restoran Itik Salai Atok ini memang menjadi pilihan ramai. Pastikan anda juga datang mencuba.
Alamat: Jalan Kapar, Kampung Sementa, 42100 Klang, Selangor
Waktu Operasi: 11am-5pm (setiap hari, tutup pada hari Rabu)
Baca: 12 Tempat Makan Menarik Di Sekinchan, Kuala Selangor
Itu dia senarai 11 tempat makan menarik di Klang dari kami. Pelbagai betul makanan yang ada di Klang ya.
Dari makanan kegemaran tempatan hingga ke makanan western semuanya ada. Jadi jika anda masih tertanya-tanya nak makan di mana, nak makan apa, cuba saja antara kedai-kedai ini. Selamat menjamu selera.